31: Pilihan

766 73 2
                                    

"Beta tidak bersetuju! Gadis ini pastinya mempunyai muslihat lain. Lagipula jawapan yang diberikannya memperlekehkan pemerintahan tuanku Sultan. Ini sudah melanggar adab. Sebagai seorang gadis, adab dan tatasusila berbicara haruslah lebih bersopan."

❁❁❁❁❁

"Bagaimana Nek Piah? Haruskah beta hapuskan si Dahlia itu juga?" tanya Permaisuri Tun Seri Jasmin dengan wajah yang jelas inginkan madunya itu terhapus.

"Buat masa ini kau perlu berhenti dahulu meminta pembunuhan. Kerana kuasa ku semakin surut dengan pembunuhan lalunya." Jawab Nek Piah. Tangannya ralit menabur-naburkan serbuk putih ke atas mangkuk batu yang berisi abu dan asam berbau kemenyan.

Mulutnya terkumat-kamit sambil memutarkan tangan di sekeliling mangkuk batu itu. Wajahnya sekejap berkerut-kerut. Di tangan kirinya pula terdapat uncang-uncang berwarna hitam pekat yang kemudian dicampakan ke dalam abu tersebut.

Pam! Asap daripada abu-abu tersebut mula berkepul-kepul di hadapan mereka berdua. Permaisuri Tun Seri Jasmin terbatuk-batuk menahan sesak di dada apabila habuk daripada asap tersebut memasuki rongga hidung dan mulutnya.

"Ini, kau berikan tuan Sultanmu untuk minum setiap malam minggu. Bagi pemerintahan yang kau dan kekandamu ingini, turuti saja perintah ku!" Tegas Nek Piah.

Permaisuri Tun Seri Jasmin sekali lagi menahan sakit. Kali ini pada telapak tangannya pula. Bahang panas daripada uncang hitam itu membuatkan kulit tapak tangannya rasa terbakar dari dalam. Segera dia memasukan uncang panas itu ke dalam bakul dan ditutup dengan kain baldu merah agar tidak dicurigai oleh sesiapa kelak.

"Sudah, ini saja untuk kali ini. Kelak jika kuasa ku pulih, aku akan memberitahu mu." Nek Piah dengan selamba mengusir keluar tetamunya itu. Biarpun tetamu itu ialah Permaisuri Tun Seri Jasmin sendiri, dia tidak ambil kisah akan darjat wanita tersebut.

Permaisuri Tun Seri Jasmin mencebik wajahnya. Kalau diikutkan hati barannya, Nek Piah pasti menerima hukuman berat mengikut undang-undang adab kepadanya. Tingkah Nek Piah kepadanya memang tiada beza walaupun dia telah memiliki takhta permaisuri kini.

Permaisuri Tun Seri Jasmin melangkah masuk ke dalam tandu diraja, kemudian diarahkan awang-awang tersebut memandu pulang. Di dalam tandu, Permaisuri Tun Seri Jasmin memikirkan suatu cara untuk menghapuskan juga madunya iaitu, Tun Seri Dahlia.

❁❁❁❁❁

"Bagaimana Tuanku? Adakah tuanku juga bersetuju dengan pilihan patik ini?" Soal Tun Seri Dahlia kepada Tuanku Sultan.

Tuanku Sultan membetulkan duduknya dan tersenyum setelah mendengar perkhabaran daripada Tun Seri Dahlia itu. Hatinya bercampur baur dengan pelbagai perasaan.

"Bagaimana gadis itu boleh berkata demikian di hadapan permaisuri? Pastinya permaisuri tidak akan menerimanya." ulas Tuanku Sultan bersama tawa kecilnya.

"Itu, jika Tuanku permaisuri yang berkuasa memilih. Akan tetapi, ini tugas patik yang telah almarhum tuanku amanahkan." kata Tun Seri Dahlia pula.

"Humm, beta bersetuju juga dengan pilihan Seri Dahlia ini ... sepertinya gadis itu mengingatkan beta kepada seseorang." ujar Tuanku Sultan sambil tersenyum tipis.

"Jika tuanku juga bersetuju, patik ingin memberitahu hal ini kepada Tengku Mahkota, biar Tengku Mahkota juga bersetuju." ucap Tun Seri Dahlia lagi.

"Hal itu usahlah Seri Dahlia fikirkan, biar beta sahaja yang menyatakannya kepada anakanda beta itu sendiri." kata Tuanku Sultan pula. Tuanku Sultan sudah cukup maklum akan sikap anakandanya yang tidak suka diaturkan oleh orang lain itu.

"Baiklah, jika itu kata Tuanku, patik menurut perintah." Balas Tun Seri Dahlia. Dia sendiri juga maklum akan sikap Tengku Mahkota itu. Entah bilakah dirinya akan diterima tengku mahkota sebagai ahli kerabatnya juga?

❁❁❁❁❁

"Apa, benarkah ini?" Soal Tun Kassim kepada anaknya, Tun Syuhara.

Tun Syuhara mengangguk laju. Kedua tangannya juga memintal-mintal hujung baju kebaya. Isteri Tun Kassim, Tun Melur mengelengkan kepalanya berkali-kali mendengar perkhabaran daripada anak gadisnya itu.

"Dasar anak raja biadap. Sanggup dia membelas kasihan kepada gadis yang bertaraf dayang istana daripada anak patik, gadis bangsawan!" ucap Tun Kassim dengan amarahnya.

"Bagaimana pula kedua-dua tengku itu membelas gadis itu?" tanya Tun Melur. Dia juga tidak berpuas hati akan layanan anak-anak Tuanku Sultan itu kepada anak gadisnya.

"Ini semua juga bermula daripada anak Tun Abdul Rasyid. Sejak dia membelas gadis itu, kedua tengku juga turut membelas gadis gaguk itu." kata Tun Syuhara lagi.

Tun Kassim mengusap-usapkan janggut putihnya. Pandangan matanya dicerlungkan ke arah sudut tingkap yang menghadap keluar rumahnya. Satu buah fikiran harus difikirkan untuk menyingkirkan Tun Abdul Rasyid dan anak gadisnya.

Supaya anaknya, Tun Syuhara menjadi puteri mahkota dan seterusnya menjadi Tuanku Permaisuri pada masa akan datang. Senyuman sinis terukir di bibir sambil dia memikirkan rancangannya.

Tun Syuhara dan Tun Melur berpandangan setelah melihat senyuman Tun Kassim itu. Pastinya ketua keluarga mereka itu telah memikirkan buah fikiran yang menarik. Desis hati mereka.

❁❁❁❁❁

"Tengku Adwan, sini." Permaisuri Tun Seri Jasmin memanggil anak kecil yang sedang bermain-main dengan pengawalnya di padang hadapan Taman Seroja.

"Ampun Tuanku," sembah hormat Tengku Adwan. Biarpun masih kanak-kanak namun sopan santun telah diajari oleh bondanya, Tun Seri Dahlia.

"Ini, berikan kepada ayahanda. Uncang ini daripada bonda Tengku Adwan. Dia berpesan kepada beta supaya memberikan ini kepada Tuanku Sultan." beritahu Permaisuri Tun Seri Jasmin.

Tengku Adwan mengangguk-angguk menerima uncang tersebut daripada tangan Tuanku Permaisuri, pesanan daripada wanita itu juga cuba diingatinya.

Permaisuri Tun Seri Jasmin tersenyum sinis melihat kanak-kanak lelaki yang telah berlalu itu. Helaan nafas kasar terhembus. Pastinya selepas ini Tun Seri Dahlia juga dapat dihapuskan, sama seperti almarhum Tuanku Tengku Seri Kadziyah.

❈❁Bersambung❁❈

Maaf lama tak update (T^T)
Harap boleh terima bab ini.
Jika ada salah dan silap, boleh komen dan beri tunjuk ajar. Terima kasih. ♡♡♡

Cinta Sang PuteraKde žijí příběhy. Začni objevovat