42 : Enggang dan Pipit

673 66 3
                                    

Tanjak berwarna hijau tua dipakaikan di atas kepala. Hiasan songket emas menyinari kepala si pemakai. Tengku Afkar berpuas hati melihat biasan wajahnya yang tampan daripada bingkai cermin di hadapannya. Hari yang dinanti telah tiba. Senyuman penuh makna terukir di bibirnya.

"Tuanku, jika tuanku telah bersedia ... silalah," pandu Awang Wadi. Hari ini dia mahu memastikan kehadiran Tengku Afkar. Mujur dia lebih awal daripada biasa. Jika terlewat, pasti bayangan Tengku Mahkota ini sudah tiada di Istana.

"Baik, apa yang ditunggu lagi? Ayuhlah," Tengku Afkar mengekori langkah Awang Wadi.

*

"Nurin, benarkah seperti apa yang patik dengar?" tiba-tiba Dayang Ina bertanya. Raut wajahnya meminta penjelasan daripada Nurin.

Nurin yang tidak mengerti akan pandangan itu, berdiam diri. Tangannya tetap meneruskan kerja mengosok pakaian-pakaian Tengku Mahkota.

"Nurin, jelaskan kepada patik, benarkah Nurin ada hubungan rahsia bersama Tengku Mahkota?" ulang Dayang Ina. Dahinya berkerut seribu.

"Ha? Da-dari mana pu-pula cerita itu Dayang Ina de-dengar?" tanya Nurin semula. Bicaranya bertambah baik setelah dilatih guru.

Dayang Ina melepas keluh berat. Kain yang sedang dicucinya diletakan ke dalam bakul rotan.

Nurin menelan air liur menanti balasan.

"Sedangkan merpati boleh membawa khabar dari luar negeri, Inikan pula cerita dari dalam Istana. Nurin, jujurlah kepada patik ... benarkah cerita itu?" sekali lagi Dayang Ina bertanya. Kali ini nadanya lebih lembut daripada biasa. Dia perlukan penjelasan jujur daripada gadis naif ini. 

*

Tun Haseen mengetap bibirnya. Hatinya bertambah gementar duduk bersama dua orang gadis di dalam balai khas itu. Diantara mereka, salah seorang bakal menjadi ibunda negeri ini. Di sebelah kanannya anak bangsawan dari pembesar cukai tanah. Tun Delima Merah namanya.

Manakala seorang lagi gadis yang terpilih ialah,

"Huh, patik tidak sangka tuan hamba juga layak hingga ke tahap ini! Adakah tuan hamba menggunakan hubungan ayahanda tuan hamba selaku sahabat Tuanku Sultan?" Tun Syuhara mencebikan muka tanda tidak berpuas hati.

Tun Haseen cuba menenangkan hati mendengar tuduhan itu.

"Patik layak bukanlah kerana hubungan ayahanda patik semata. Tetapi patik percaya pilihan Tuanku permaisuri dan juga Tun Seri Dahlia."

"Huh, tetapi layakah seseorang seperti tuan hamba menjadi permaisuri? Asyik bersama orang miskin, tuan hamba mana tahu hal Tengku Mahkota. Bahkan tuan hamba tidak tahu apa yang Tuanku gemari, bukan?" bidas Tun Syuhara.

Tun Haseen mendiamkan diri. Tidak tahu hendak menjawab apa. Sesungguhnya dia benar-benar tidak mengenali siapa Tengku Mahkota negeri ini. Melihatnya pun belum pernah. Apa yang dia tahu, Tengku Mahkota dibesarkan jauh dari Istana Kota. Itupun diketahuinya daripada ayahanda dan Tengku Hamzaa.

"Patik tahu apa yang tuanku gemari ... tuanku gemar memancing!" jawab Tun Delima Merah pula.

Tun Syuhara tertawa. Jelas tawanya mengherdik jawapan itu.

Tun Haseen masih diam memerhati. Manakala Tun Delima Merah pula menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Hahahaha, patik tidak pernah mendengar jawapan bijaksana seperti ini. Hahahaha,"

"Benar, bukan? Tuanku suka memancing, kerana itulah di dalam kawasan istana ini terdapat beberapa buah kolam." ujar Tun Delima Merah lagi.

"Benar, benar ... hahahahaa," Tun Syuhara menghabiskan sisa tawanya.

"Jikalau tuan hamba benar-benar pasti itulah jawapannya ... mengapa bertanya kemudian mentertawakan jawapan itu? Sudah pastilah kerana jawapan itu salah dan aneh," dakwa Tun Haseen.

"Hahahahaa, lalu mengapa tuan hamba tidak tertawa?" Tun Syuhara menyeka air mata yang bertakung. Hampir pecah perutnya tertawa.

"Jika benar jawapan patik salah, mengapa perlu tertawa hingga mengalir air mata! Patik benci orang yang berpura-pura seperti tuan hamba!" Tun Delima Merah terus mengangkat punggung. Merah padma wajahnya menahan malu. Sungguh dia tidak sangka Tun Syuhara mentertawakan dirinya seperti itu.

"Tun Delima Merah ..." tidak dia pedulikan lagi Dayang yang menyeru namanya. Kasut yang terletak elok di bawah tangga dipakai. Kakinya dilangkah laju,

Hap!

"Ish, di manakah terletaknya biji mata tuan hamba?" jerkah satu suara garau. Tun Delima Merah mengangkat wajah, tanjak berwarna hijau dengan hiasan emas itu diperhatikan.

"A-ampun tuanku, pa-patik tidak sengaja," Tun Delima Merah tidak berani mengangkat wajah semula. Dia segera berundur kemudian masuk semula ke dalam balai yang ditinggalkan tadi.

*

"Sebagai orang yang berpelajaran dan anak bangsawan, peribadi tuan hamba tidak sama dengan apa yang tuan hamba miliki," tegur Tun Haseen.

"Huh? Tuan hamba juga terlihat begitu miskin untuk memiliki takhta ini. Bukankah enggang sama enggang, pipit sama pipit. Sayap kecil burung pipit tidak mampu menyaingi burung enggang," balas Tun Syuhara.

"Ketibaan Tuanku Sultan Aqhar Al-Maisur, Tuanku Permaisuri Tun Seri Jasmin dan Tun Seri Dahlia ..." laungan dari pengawal istana menghentikan perbualan kedua-dua gadis itu. Tidak lama kemudian, Tun Delima Merah juga kembali bersama.

Tun Haseen membuang jauh perasaan tidak enaknya kepada Tun Syuhara. Dia kembali fokus memikirkan ujian terakhir daripada Tuanku Sultan kelak.

"Ha? Tengku Mahkota pun ada," Tun Syuhara tersenyum lebar melihat kelibat Tengku Afkar yang melintasi sebentar tadi.

Tun Haseen yang terdengar turut melihat ke arah pandangan Tun Syuhara. Akan tetapi dia tidak dapat mengecam wajah itu kerana Tengku Mahkota telah berpaling dan masuk ke dalam balai yang lain.

"Tu-tuan ha-hamba .., patik gementar," Tun Delima Merah mengenggam tangan Tun Haseen. Dia cuba menenangkan perasaannya. Tidak sangka dia telah membuat Tengku Mahkota murka sebentar tadi.

"Yakinlah, patik yakin Tuanku tidak akan memperlekehkan tuan hamba seperti tadi," pujuk Tun Haseen. Dia sengaja menyebut sikap Tun Syuhara kepada gadis itu tadi.

Tun Syuhara berpura-pura tidak mendengar. Wajahnya bersemangat menghadapi ujian terakhir ini. Dia yakin, Tuanku Sultan dan permaisurinya akan memilih dirinya menjadi suri hati Tengku Mahkota itu. Segala persiapan telah dia sediakan dengan teliti. Pakaian songket berwarna merah, solekan wajah, dan penampilan dirinya dijadikan anggun untuk tatapan seisi istana hari ini.

"Ampun tuanku," ketiga-tiga gadis itu memberi sembah ampun kepada pemerintah agung.

"Silakan duduk," Tuanku Sultan tersenyum lebar melihat tiga gadis pilihan yang telah layak menjalani ujian terakhir hari ini. Setelah baginda duduk mengambil tempat di atas singgahsana, kesemua hadirin di balai itu juga turut duduk.

*

"Burung pipit sama enggang, mana boleh sama terbang. Nurin, jikalau hatimu tidak mahu terluka ... janganlah Nurin menyimpan perasaan kepada Tengku Mahkota. Kerabat di-raja hanya memilih yang bijaksana dan bangsawan seperti mereka sahaja. Kita ini apa adanya? Hanya menjadi hamba dan suruhan di Istana. Janganlah mengidamkan intan payung seperti itu." nasihat Dayang Ina.

Nurin mengetap bibir. Nasihat Dayang Ina disematkan di dalam hati. Sesungguhnya dia tahu semua itu. Dia cukup sedar siapa dirinya. Orang yang dilahirkan di atas tilam emas tidaklah senasib seperti dirinya yang hina.

"Lagipula hari ini ialah hari ujian terakhir bakal puteri mahkota. Patik berdoa semoga bakal ibunda kerajaan ini bukanlah seperti tuanku permaisuri sekarang ini." ucap Dayang Ina lagi.

Mengingati tamparan yang pernah Nurin terima daripada Tuanku Permaisuri, dia turun berdoa mengharapkan perkara yang sama. Walaupun dia tidak mungkin memiliki Tengku Mahkota, sekurang-kurangnya dia perlu mendoakan yang terbaik untuk bakal pemerintah kerajaan itu kelak.

1088
13-12-2018 * 21:08

Cinta Sang PuteraWhere stories live. Discover now