48 : Khabar Angin

816 73 16
                                    

Nurin lekas-lekas menyudahkan kerjanya garis bibirnya sedari tadi menegang hampir ke setiap hujung telinganya. Usai menyusun kudut terakhir, dia lantas menuju ke arah kamar dayang. Baju baru berwarna hijau pohon pisang lantas diambil daripada almari simpanan lalu disarungkan ke tubuh moleknya. Selesai berpakaian, dia menyikat rambut panjang lalu disanggul kemas.

Sesudah meneliti penampilannya disebalik biasan cermin, dia tersenyum puas hati. Uncang yang berisi sedikit wang diikat dan diselitkan pada sisi pinggang. Nurin mengambil sepatu yang dihadiahkan oleh Tengku Mahkota kemudian berjalan pantas menuju ke tempat yang telah dijanjikan.

"Nurin!" sapaan Dayang Ina langsung tidak didengarinya. Terus sahaja dia menuju ke gerbang pintu.

"Haih, ke mana pula perginya Nurin itu? Bukankah petang ini ada pemilihan akhir untuk dayang ke istana Puteri Mahkota?" gumam Dayang Ina sendiri.

"Agaknya ke manalah Tuanku hendak mengajak Nurin berjalan-jalan, ya?" tanya Dayang Kuna. Wajahnya jelas menunjukkan rasa ingin tahu.

"Tuanku? Kenapa pula Nurin hendak diajak berjalan-jalan oleh Tuanku? Bukankah Tuanku sedang menghadap bakal Tengku Puteri Mahkota bersama Tuanku Permaisuri dan Tun Seri?" Dayang Ina hairan.

"Ah, kamu selalu lambat berfikir! Bukankah Nurin di bawah istana Tengku Mahkota, pastilah yang mengajak Nurin berjalan itu ialah Tengku Mahkota!" balas Dayang Kuna.

"Hah? Dari mana Kuna tahu Nurin hendak berjalan-jalan? Saya tidak sempat bertanya pun kepadanya, dan kalau dia berjalan-jalan pun ... dari mana Kuna tahu Tengku Mahkota yang mengajaknya?" Dayang Ina masih terpinga-pinga akan kenyataan Dayang Kana yang tidak pasti kesahihannya.

"Ada orang nampak dan dengar, Tuanku Mahkota mengajak Dayang Nurin keluar istana petang ini!" bisik Kuna.

"Benarkah?"

"Benar! Awang yang berada di kamar istana Tengku Mahkota tadi telah menyiapkan sepasang baju kemas. Maknanya, tuanku memang akan keluar dan berjanji temu dengan Dayang Nurin! Apa kamu tidak melihat penampilan Nurin yang lebih kemas daripada biasa itu?"

"Ah, mustahillah! Pasti Ketua Dayang Awa yang mengajaknya membeli keperluan." sangkal Ina lagi.

"Tak mahu percaya, sudahlah. Nanti Nurin pulang ... cuba kamu tanya, betul atau tidak kata saya ini." Kuna mempamirkan senyuman yakin.

Ina merapatkan keningnya ke tengah. Seakan sukar untuk dia percaya, akan tetapi dia juga mencurigai akan asbab Tengku Mahkota memberikan sepatu baru kepada Nurin. Bukan itu sahaja, Tuanku juga mencarikan guru bagi mengajar Nurin untuk lancar berbicara. Mungkinkah perasaan Nurin tidak bertepuk sebelah tangan?

"Cerita apa yang tersebar itu?" tegas satu suara. Masing-masing Dayang Kuna dan Ina terkejut lantas berdiri tunduk. Gerun rasanya membalas pandangan yang cerlung ke arah mereka saat ini.

❇✳❇

Tun Seri Dahlia tersenyum berpuas hati. Sungguh senang benar Tun Haseen menerima pelajaran yang diajarinya itu. Gadis di hadapannya ini benar-benar luar biasa. Apa sahaja yang diajarinya sangat mudah bagi gadis itu menerimanya.

"Baiklah, bagi pelajaran tentang perdagangan luar ... esok patik akan beritahu," kata Tun Seri Dahlia.

"Baik, Tun Seri," kitab yang telah selesai dicatit ditutup kemas lalu dialihkan di sisi meja. Pena dan dakwat yang digunakan juga diletakkan kemas di atas bekasnya agar tidak mengotori meja belajar.

"Tengku Puteri selepas ini perlu membiasakan ucapan mengikut adab ... agar kelak tiada siapa berani melawan kata Puteri," tegur Tun Seri Dahlia.

"Ahh, patik masih belum sah menjadi Tengku Puteri ... selepas termeterainya akad, pasti patik akan biasakan diri dengan ucapan adab itu." balas Tun Haseen polos.

Cinta Sang PuteraDär berättelser lever. Upptäck nu