10: Fitnah

955 99 6
                                    

"Apa benarkah perkhabaran ini?" tanya Tun Abu Jabaar. Mukanya berubah bengis sekali.

"Salam masih hidup, tun bendahara!" kata Tun Kassim.

"Cis, tak guna!" Marah Tun Abu Jabaar. Habis meja kecilnya diterbalikkan. Bertaburan segala dokumen kerajaan dari meja tersebut!

Tun Kassim mengundurkan diri ke belakang. Takut-takut jika hamburan Tun Abu Jabaar itu terkena padanya pula!

Tun Abu Jabaar memencilkan matanya memandang sudut balainya. Hatinya benar-benar rasa tertipu! Bukankah dia sendiri pernah memberi Salam minum racun dahulu? Dan Tuanku Sultan telah menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Salam? Mengapa pula Salam masih hidup? Pelbagai soalan mula bermain dibenak hatinya saat ini!

"Tun, ampunkan hamba, Tun Seri Jasmin sedang menunggu Tun untuk masuk." pesan awang pengawalnya. Takut-takut perasaan awang itu melihat wajah bengis Tun Abu Jabaar dan Tun Kassim. Segera dia keluar semula selepas mendapat anggukkan dari Tun Abu Jabaar.

Seketika kemudian, pintu balai Tun Abu Jabaar terbuka dan wajah adindanya, Tun Seri Jasmin masuk dengan senyuman sunggingnya.

"Mengapa sahaja balai kekanda ini umpama tongkang pecah?" tanya Tun Seri Jasmin.

Hairan melihat keadaan bertaburan itu. Dia lalu duduk di atas alas baldu bersebelahan Tun Kassim sambil menghadap kekandanya, Tun Abu Jabaar.

"Salam, masih hidup!" jelas ucapan Tun Kassim itu. Mata Tun Seri Jasmin membulat! Mulutnya ternganga.

"Adakah Tuanku Sultan ada bertitahkan perkara lain yang tidak kita ketahui?" tanya Tun Abu Jabaar kepada adindanya.

"Pe-perkara lain? Manalah adinda tahu! Setahu adinda, hukuman yang diberi kepada Salam ialah meminum racun! Dan bukankah mayatnya juga telah dibuang ke dalam hutan tebal?" Kata Tun Seri Jasmin dengan yakin.

"Benar adinda tidak tahu?" Tun Abu Jabaar mula merasa curiga akan isteri Tuanku Sultan yang kedua ini.

"Adinda bersumpah! Tidak tahu. Mengapa pula timbul ura-ura sebegini? Sedangkan sudah enam tahun kematian si pembelot itu." balas Tun Seri Jasmin.

Tun Abu Jabaar dan Tun Kassim berpandangan.

"Selang minggu hadapan, ada penghuni dari Istana Bukit Naura akan kembali ke Istana kota menghantar pulang Tengku Mahkota. Apa yang patik dapat ketahui dari orang-orang patik, Salam ialah guru kepada Tengku Mahkota sendiri!" beritahu Tun Kasim dalam nada suara garaunya.

Tun Seri Jasmin bertentang mata dengan kedua-dua lelaki itu. Pandangan dengan kekeliruan perasaan terbit dari wajah rupawannya.

...

Tengku Afkar tersenyum-senyum mengemaskan barangannya. Setelah lima tahun, akhirnya dia akan kembali semula ke Istana Kota! Tempat di mana makam bondanya, tempat kelahirannya, dan tempat ahli kerabatnya yang lain.

Apa yang membuatkan Tengku Afkar lebih teruja ialah, sepupunya , Tengku Nadhir dan Tengku Eijaz juga turut bersamanya. Senanglah hatinya kini, sudah mempunyai dua sahabat baik yang akan bersamanya kala susah dan senangnya.

Kereta dan tandu kuda telah siap diisi dengan barangan. Hanya tinggal mereka berlima sahaja lagi yang belum menaikinya.

Pak Hamid tersenyum menepuk bahu mereka satu persatu, manakala Mak Jiah pula mengesatkan air mata dengan hujung tangan bajunya.

"Sampaikan salam patik pada Tuanku Sultan dan lainnya. Insya Allah, jika ada kesempatan, kami juga akan ke sana selepas siap membersihkan kawasan di sini." kata Pak Hamid.

Sejak Istana itu terbina, keluarganya turun temurun diberi tanggungjawab menjaga Istana itu.

"Baiklah, Pak Hamid. Akan patik sampaikan kelak." ucap Awang Wadi. Salam yang masih berdiri pegun ditoleh seketika.

Cinta Sang PuteraNơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ