Bab 32 ~ Rindu ~

8.8K 451 89
                                    

KHAYRA melangkah lemah ke kereta yang sudah terparkir di hadapan ruang masuk hospital. Sepuluh minit sudah berlalu sejak pertengkaran antara dia dan Rayhan berlaku, namun air matanya tetap mengalir. Hati wanita mana tidak hancur melihat suaminya sendiri memeluk wanita lain.

Khayra masuk ke dalam perut kereta tanpa berkata apa-apa. Pandangannya dilemparkan ke luar tingkap. Dia bersyukur kerana Zahira seolah-olah faham. Wanita itu langsung tidak berkata apa-apa. Hanya memandu dengan tenang.

Air mata Khayra kembali mengalir tanpa dipinta. Semakin lama, entah kenapa, hidupnya terasa semakin memenatkan. Dia penat melakar impian untuk bahagia. Hubungan dia dan Rayhan juga bertambah rumit.

Ya Allah, kenapa susah sangat nak bahagia? Kenapa tak ada kesudahan dugaan yang mendatang? Sesungguhnya dia impikan hari-hari yang dihiasai gelak tawa. Adakah mimpinya hanya sekadar mimpi yang tidak akan berubah menjadi realiti?

Kasut tumit tinggi yang dipakai Khayra dicampak ke tepi. Kakinya diangkat sebelum lengannya memeluk lutut. Dia menghamburkan segala rasa yang tersimpan. Dia sudah tidak kisah dengan tanggapan Zahira. Biarlah satu dunia tahu, dialah wanita paling malang.

Sejak dulu lagi, dia sentiasa diuji dengan kehadiran lelaki. Papanya pernah tertuduh merogol seorang gadis sehingga dipenjara selama enam tahun. Sebelum itu, berita mengenai Khalis merosakkan anak dara orang pernah tersebar luas dan ditambah pula dengan Gabriel yang menyesakkan dada.

Masih ada lagikah ruang di dalam hidupnya untuk bertemu dengan lelaki yang baik?

Dia fikir, Rayhan lelaki yang bakal menggantikan segala memori lukanya. Tetapi hari demi hari, Rayhan hanya sama seperti lelaki-lelaki yang lain. Dengan matanya sendiri, dia nampak Rayhan bersama wanita lain. Perempuan yang pernah menjadi musuhnya ketatnya.

"Puan Ayra okay?" Zahira bertanya sesudah memakirkan kereta di hadapan rumah agam Khayra dan majikannya. Hatinya pilu melihat Khayra yang tidak berhenti menangis. Mata indah milik Khayra juga sudah kelihatan sembap.

"Hmm...okay je." Khayra menjawab dengan suara serak.

"Erm...saya tak berniat pun nak masuk campur urusan hidup Puan Ayra. Tapi...kalau saya cakap something boleh?"

Khayra angguk perlahan.

"Saya tahu Puan Ayra ada masalah dan saya tak tahu apa sebenarnya yang berlaku antara puan dengan boss. Tapi kan Puan Ayra...kalau saya boleh bagi jalan penyelesaian, saya akan minta puan percayakan boss," tutur Zahira dengan nada lembut.

"Tak tahulah Zahira. Saya dah penat percayakan dan berharap dengan manusia. Hanya Allah dan diri saya yang saya percaya sekarang ni," balas Khayra lemah.

"Saya dah kerja lama dengan boss. Saya yakin dia sayangkan Puan Ayra sepenuh hati. Mulut boleh menipu, salah faham boleh terjadi tapi mata takkan bohong. Tak ada satu perempuan pun boss pandang sama macam dia pandang puan."

"Mana awak tahu?"

Zahira menghadiahkan senyuman nipis.

"Saya tahulah puan. Saya ni secretary dia kut. Dah naik bosan saya tengok cara dia layan dan pandang orang. Macam patung je. Tak ada perasaan langsung."

Kening Khayra terangkat. Kenapa dia tak pernah dilayan macam tu pun sebelum ni?

"Dulu kan, saya ingat boss memang tak minat dekat perempuan. Tapi sekarang, baru saya faham. Rupa-rupanya, boss perlukan perempuan yang tepat. Dan saya percaya perempuan itu ialah Puan Ayra." Zahira menghabiskan bicaranya sambil tersenyum simpul.

"Entahlah, Zahira. Saya tak tahu nak cakap apa." Khayra masih meragui kenyataan Zahira.

"Buat masa sekarang, saya cuma harap Puan Ayra letakkan kepercayaan dekat boss. Sikit pun jadilah. Saya yakin boss takkan sakitkan hati puan. Dia manusia biasa puan, kadang-kadang dia pun buat silap, sama macam kita. Dia bukan malaikat. Memang dia nampak okay, tapi hati manusia ni hanya Allah yang tahu."

Titanium Milik Khayra ✔Where stories live. Discover now