Bab 20 ~ Titanium ~

7.9K 445 61
                                    

KHAYRA duduk bersila sendirian di atas katil sambil menenyeh matanya yang sedikit gatal. Setelah beberapa minggu berkahwin dengan Rayhan, itu kali pertama dia bangun seawall jam lima pagi. Kelibat Rayhan tidak lagi kelihatan di sebelahnya. Lelaki itu memang selalu bangun awal. Entah apa yang dia buat pun Khayra tidak tahu.

"Rayhan?" panggil Khayra. Dia sudah tidak lagi kekok memanggil suaminya dengan nama sebenar. Itu pun dipaksa Rayhan habis-habisan. Sehari suntuk lelaki itu mogok tak mahu bercakap dengan Khayra hanya kerana dia asyik memanggilnya 'encik'.

Kaki Khayra melangkah ke dapur dan ruang tamu. Bayang Rayhan masih tidak kelihatan.

"Oh..." Ada satu lagi bilik yang belum Khayra lawati. Bilik kerja Rayhan. Dia tidak pernah masuk ke bilik itu. Malas nak mengganggu privasi dan tumpuan Rayhan dalam menyiapkan kerjanya. Dia tahu yang antara suami dan isteri tidak sepatutnya ada privasi, namun dia dan Rayhan bukanlah seperti suami isteri yang lain.

Perlahan-lahan, tangan Khayra membuka tombol pintu besar itu. Dia teragak-agak untuk masuk. Bagaimana kalau Rayhan tidak suka? Khayra mengintip terlebih dahulu di sebalik pintu sebelum kakinya masuk ke bilik itu secara automatik. Ternganga mulutnya memerhati bilik yang sudah kelihatan seperti perpustakaan.

Rak buku tersusun rapi di dinding memenuhi bilik luas itu. Khayra tergelak kecil. Boleh dia nampak bertapa bosannya hidup Rayhan. Sejak awal-awal dia memasuki rumah itu, warna yang dia jumpa hanyalah hitam, putih dan kelabu. Itulah warna dinding, perabot, tirai, katil, pinggan mangkuk dan segala benda yang lain.

Oleh sebab itu, Khayra telah mengambil inisiatif untuk menambah 'seri' di dalam rumah agam itu. Sayang sekali, hiasan, alatan dan rekaan rumah sangat menarik dan moden namun kurang satu elemen iaitu ceria. Segenap rumah dia dan Rayhan sudah dia serikan kecuali bilik kerja Rayhan yang masih kelihatan seperti bilik pejabat dia di RedRay Holdings.

Tangannya menyentuh buku-buku yang tersadai di rak. Dia tidak tahu yang Rayhan suka membaca buku. Masih banyak yang harus dia pelajari tentang suaminya. Beberapa minggu belum cukup untuk mengenali insan bergelar suami.

Dia berjalan sehingga ke hujung bilik yang menempatkan meja kerja Rayhan. Keluhan dilepaskan. Patutlah tidak ada di bilik, rupa-rupanya Rayhan tertidur di atas meja kerjanya. Tersentuh hatinya melihat lelaki itu tidur berlapikkan lengan sahaja. Wajah lesu itu Khayra tatap. Adakah dia salah kerana meletakkan sempadan antara mereka?

Bukankah isteri harus sentiasa ada di sisi suami? Bukankah isteri yang seharuskan meringankan beban suami? Tetapi kenapa dia rasa kehadirannya hanya menambah rasa sunyi lelaki itu. Adakah permintaannya terlalu berlebihan? Tipulah kalau dia cakap yang dia langsung tidak sayangkan Rayhan. Lelaki itu sedikit-demi sedikit sudah masuk ke hatinya.

Namun Khayra masih berbelah bahagi. Hatinya sering kali menyamakan Rayhan dengan Titanium yang nyata dua orang yang berbeza. Dia tidak mahu menyayangi Rayhan kerana orang lain. Jika Rayhan tahu sekalipun, pasti lelaki itu akan kecewa. Biarlah dia menanti sehingga sepenuh hatinya terbuka untuk suaminya. Hanya suaminya.

Lagipula, kalau Rayhan itu Titanium, mana mungkin lelaki itu akan membohonginya. Titanium juga tidak akan melakukan hal yang sama. Dia yakin kedua lelaki itu tidak akan menipu. Khayra berharap dia tidak salah menilai orang.

Tangan Khayra mengalihkan rambut yang menutupi mata Rayhan. Dia menolak beberapa dokumen dan fail ke tepi. Perlahan-lahan tangannya mendarat di pipi Rayhan yang sejuk. Jarang sekali dia diberi peluang untuk menatap wajah lelaki itu. Rayhan selalu sibuk. Keluar awal pagi sehingga lewatt malam. Kadang-kadang, Khayra sudah tidur baru dia balik.

Titanium Milik Khayra ✔Onde histórias criam vida. Descubra agora