Bab 27 ~ Sorry ~

8.5K 419 60
                                    

KHALIS termenung sendirian. Dia sangat risaukan keadaan Dato' Kamila yang masih diperiksa doktor. Dato' Izhar sudah berlalu ke surau untuk menunaikan solat asar. Begitu berat dugaan demi dugaan menimpa keluarga. Sedangkan suatu ketika dahulu,merekalah yang digelar keluarga sempurna.

Semua masalah berpunca daripada dia sehingga membabitkan ahli keluarganya yang lain. Dia buntu. Apa yang harus dia lakukan untuk memulihkan segalanya kepada yang asal? Bagaimana dia mampu mengembalikan senyuman mama, papa dan Khayra yang dulu?

Mata berairnya sengaja ditutup agar tidak dilihat orang lain. Sesungguhnya dia rindukan kehidupan yang dulu. Hidup yang dipenuhi dengan gelak tawa orang yang dia sayang. Kini, dia hanya menjadi saksi kepada air mata yang berjujuran. Hendak menenangkan mereka juga dia tidak mampu.

"Ya Allah...berilah aku peluang untuk membetulkan segalanya. Jika sakit yang dilalui mama begitu berat, biarlah aku menanggung rasa sakit itu. Aku tidak sanggup lagi melihat dia menahan sakit. Engkau berkatilah keluargaku Ya Allah," rintih Khalis di dalam hati. Tiada siapa lagi yang mampu dia harapkan selain Yang Esa.

Sebaik sahaja Dato' Izhar mengambil tempat duduk di sisinya, dia turut membawa diri ke surau. Mereka bergilir untuk menjaga Dato' Kamila yang masih menerima rawatan daripada doktor pakar.

"Khalis...awak Khalis kan?" panggil satu suara wanita. Wanita itu menyedut oksigen semahunya. Nafasnya tersekat-sekat dek kalut mengejar langkah lelaki yang tampak seperti seseorang yang dia kenal.

Khalis mengalihkan tubuhnya ke arah si pemilik suara yang dia kenal. Satu suara yang tidak pernah dia lupakan. Wanita berwajah manis yang kelihatan sedikit lesu itu dia tatap. Lama mata mereka berbicara, menyelami hati masing-masing dek rindu yang menggunung.

"Lis sihat?" tegur Rania lembut. Tanpa dipaksa, air mata kerinduannnya mengalir. Namun dia cepat-cepat menghampus air matanya. Dia tidak mahu merosakkan pertemuan mereka selepas enam tahun lamanya.

"Sihat. Imani macam mana pulak? Kenapa nampak penat ni?" tanya Khalis dengan riak penuh kerisauan. Enam tahun berlalu, tetapi hatinya masih sama. Rania Imani satu-satunya wanita yang menduduki carta teratas di hatinya selain Dato' Kamila dan Khayra.

Senyuman yang teselit seribu rasa terukir di bibir merah jambu Rania. Hatinya kembali bergetar buat insan bernama lelaki setelah kemunculan Khalis. Begitu hebat hati mengkhianati tuannya sendiri.

"Saya okay. Awak janganlah risau."

"Kalau macam tu, saya dah nak kena pergi," bicara Khalis dengan lembut. Rania Imani yang dia kenal sangat lembut hatinya. Dia tidak mahu wanita itu berjauh hati, tetapi dia juga tidak mahu memberikan apa-apa harapan terhadap hubungan yang sudah lama terputus.

"Kejap...," ucap Rania perlahan.

"Saya cuma nak Lis tahu yang saya masih tunggu awak. Dari dulu sampai sekarang."

"Kita tak ada jodoh, Imani. You deserve a better person. At least, better than me." Kaki Khalis mula mengorak langkah untuk pergi, namun kata-kata Rania menghentikan langkahnya.

"When you're the one that I love, no one is better than you. Lis yang cakap dekat saya dulu. Lis dah lupa ke?" soal Rania dengan dada berombak. Semudah itukah Khalis melupakannya?

"Sejarah tu, biarlah kekal sejarah. Tak perlu kita ungkit balik benda yang dah lepas. Awak ada hidup awak dan saya ada hidup saya. Lebih baik kita fokus pada hidup masing-masing daripada fikirkan sesuatu yang tak pasti," ungkap Khalis tegas. Dia harus membina tembok sebelum dia kalah dengan panahan anak mata redup milik Rania.

"Apa yang tak pasti? Lis masih sayangkan saya kan?"

Rania terpempan apabila Khalis menggelengkan kepalanya. Jawapan lelaki itu bertindak seperti jarum yang mencucuk-cucuk hatinya. Dia tertunduk pasrah sebelum menayangkan senyuman manis. Puas hatinya kerana persoalan yang bermain dalam dirinya sejak enam tahun lepas sudah terjawab. Dia sudah lenyap dari hati lelaki itu.

Titanium Milik Khayra ✔Where stories live. Discover now