Bab 2: Baju Kurung

165 61 3
                                    

LELAKI itu langsung berjalan mendekati Damia. Matanya umpama sedang menagih harapan daripada gadis itu.

"Sungai mana satu ni? Yang mana?" tanyanya dengan sedikit keras dan tegas biarpun niatnya bukan untuk memarahi Damia.

Damia agak tersentak tapi dia faham lelaki itu dalam keadaan cemas. Pasti Syafiqah itu orang yang dia sayangi kerana itu kelakuannya jadi sedemikian.

"Mari saya tunjukkan." Seraya itu Damia menghidupkan enjin motosikalnya bersedia untuk menunjukkan arah keberadaan budak perempuan tadi.

Lelaki itu terus mendapatkan motornya semula. Pelekuh penghidup motor ditendang beberapa kali sebelum bunyi enjin yang merapak itu kedengaran semula. Patutlah bunyinya begitu, lihat model motosikal milik lelaki itu saja sudah faham. Model berjenama EX5 lama itu yang sudah luntur warnanya. Ekzos motor pun sudah kelihatan berkarat.

"Nak saya ikut ke?" Tiba-tiba Najihah mempelawa diri untuk membantu tapi segera lelaki itu menolak.

"Tak apalah ustazah. Ustazah kan tengah sibuk ajar mengaji. Janganlah batalkan kelas mengaji disebabkan hal ni."

Ustazah Najihah mengangguk faham. Dia sememangnya mahu membantu mencari Syafiqah itu tapi dalam masa yang sama dia teragak-agak mahu menghabiskan kelas mengaji lebih awal. Lagipun kedengaran pelajar-pelajarnya di dalam rumah itu masih membaca al-Quran dengan penuh semangatnya.

Lalu Damia meneruskan tunggangan motosikalnya sebelum diiringi lelaki itu. Damia tak mahu bercakap panjang, takut dibentak pula nanti.

Ustazah Najihah hanya mampu melihat sahaja Damia dan lelaki itu beredar dengan motor masing-masing. Perlahan-lahan kelibat mereka hilang dari pandangan.

'Ya Allah, Kau permudahkanlah segala urusannya.' Doa dari Najihah dipinta.

*****

Damia melihat-lihat lelaki itu melalui cermin sisinya. Lelaki itu masih mengikut rapat di belakangnya. Memang dia tekad percayakan kata-kata Damia tanpa menyoal kesahihan keberadaan Syafiqah itu.

Tapi siapa Syafiqah? Ah! Itu tak penting lagi bagi Damia. Yang penting sekarang dia dapat tunjukkan keberadaan budak perempuan di tepi sungai tadi kepada lelaki itu.

Mahu berkenalan, entah. Mahu mendapat pujian dan ganjaran, juga entah. Dia memang mahu bantu lelaki itu.

Tapi jika budak perempuan tadi bukan gerangan yang dicarinya, mahu malu Damia nak menghadap muka lelaki itu lagi. Sudahlah bagi harapan palsu, nanti disangka menipu pula tu.

Tiba di lokasi yang dituju, Damia memberhentikan motosikalnya di tepi jalan berdekatan sungai itu. Lelaki itu turut mengikuti dan meletakkan motosikalnya di belakang Damia.

"Budak tu ke yang awak cari? Dia ada kat bawah sana." Jari telunjuk Damia pantas menuding ke arah budak perempuan tadi.

Dia sedang bermain dengan batu-batu kerikil di tepi sungai. Mujurlah budak perempuan itu tidak berganjak dari tadi. Kalau tidak, satu hal pula mahu mencari lagi.

Lelaki itu mengecilkan mata umpama meneropong ke arah yang ditunjukkan Damia. Lalu tanpa bersuara lelaki itu berlari pantas mendapatkan budak perempuan itu. Sepertinya memang budak itu yang dicarinya.

Damia tidak menyusuli lelaki itu malah dia masih tetap berada di atas motornya. Mahu ikut nanti dikira penyibuk pula.

"Adik! Adik!" panggil lelaki itu sambil berlari mendapatkan budak perempuan itu.

Budak perempuan itu langsung memandang arah suara yang memanggilnya.

"Along?"

Langsung lelaki itu bertinggung dan memeluk kejap budak perempuan itu. Pelukan dileraikan usai melihat-lihat keadaannya yang tiada apa-apa itu.

KASIH SEMENTARAحيث تعيش القصص. اكتشف الآن