Bab 12: Kebenaran Yang Menyakitkan

85 41 1
                                    

HARI ini, Damia beranikan diri untuk menggunakan telefon pintarnya setelah hampir seharian telefonnya itu dibiarkan dalam mod senyap. Sebaik sahaja skrin telefon dihidupkan, bertalu-talu notifikasi masuk.

'"53 missed call from Mak"

53 kali ibunya menelefon? Matilah Damia kalau dia balik rumah sekejap lagi.

Damia mengeluh kuat. Petang nanti dia akan balik untuk menghadap ibunya pula. Bersiap sedia sajalah untuk menerima segalanya.

Sudahlah! Malas mahu difikirkan tentang ibunya itu. Yang penting sekarang, dia mahu habiskan dan luangkan masa yang tersisa di rumah Syafiq ini sebelum dia pulang.

Damia keluar dari bilik. Kakinya melangkah ke arah dapur. Kelihatan Syafiq turut di situ. Dia sepertinya sedang sibuk menyediakan sesuatu. Sedang memasakkah?

"Awak buat apa tu?"

Syafiq menusuk ketulan-ketulan daging dan ayam di lidi kayu. Sudah semestinya Syafiq sedang mempersiapkan sate.

"Buat sate ni ha ... kenapa? Awak nak tolong ke?" seloroh Syafiq yang gigih melakukan tugasnya. Padahal dirinya hanya ajak-ajak ayam sahaja.

Damia tersenyum janggal. Dirinya memang malas sedikit kalau bab-bab memasak ni, tetapi terpaksa jua dia terima memandangkan Syafiq telah banyak membantunya.

"Boleh je, awak." Lalu Damia membasuh tangannya dan menempatkan duduknya di hadapan Syafiq yang turut duduk bersila di lantai.

Mata Damia membuntang sedikit luas apabila dia lihat bahan-bahan yang tersedia. Satu besen dipenuhi ketulan ayam yang dipotong dadu, dan satu besen lagi diisi dengan daging yang juga dipotong dadu. Kedua-duanya sudah siap diperap.

"Banyak juga eh awak buat sate ni. Awak buat sorang diri ni tak penat ke?"

Syafiq senyum senget. "Alah bisa tegal biasa awak. Dari dulu saya buat benda ni sorang-sorang. Kadang Syafiqah ada jugak membantu, tapi saya tak galakkan sangat dia tolong. Yalah, dia kan budak lagi."

Mulut Damia membulat membentuk huruf 'o'.

"Ha awak, cakap pasal Syafiqah kan, dia okey dah ke?" Damia lalu menoleh ke belakang lagak mahu mengetahui keberadaan Syafiqah.

"Dia kat dalam bilik dia. Nasib baiklah panas badan dia dah surut. Esok dia sihat sepenuhnya la tu. Dahlah esok Isnin, dia sekolah pula."

Damia menghela nafas lega.

"Ni, tadi awak kata nak tolong saya kan? Tengok sini, saya ajarkan." Syafiq terus mengubah topik. Fokusnya kini tertumpu pada sate pula.

Damia angguk kepala.

"Okey. Mula-mula, ambil tiga ketul isi sate ni, tak kiralah daging atau ayam. Yang penting antara dua tu. Lepas tu cucuk dia kat lidi ni." Syafiq memberi tunjuk ajar.

Damia yang tak berkedip matanya turuti sahaja arahan Syafiq. Hari ini, dia kena belajar buat sate pula. Masak nasi yang senang tu pun baginya susah untuk dibuat, apatah lagi sate ni.

"Lepas cucuk, ambil lemak kat dalam bekas ais krim ni, dan cucuk pada bahagian paling hujung."

Syafiq lalu meletakkan bekas ais krim yang terisi lemak daging dan ayam betul-betul di hadapan Damia.

Damia ikut saja apa yang dibuat dan diarah Syafiq. Satu cucuk sate pertama yang dibuat oleh Damia sudah siap! Rasa bangga pula padahal mencucuk sate saja.

"Nasib baiklah awak bagi saya buat cucuk sate ni, senang sikit kerja." Damia lalu tertawa kecil.

Tergeleng-geleng kepala Syafiq. Senyuman tak lekang dipancarkan di bibir. Takkan pula dia mahu suruh tetamu buat kerja yang susah-susah.

KASIH SEMENTARAWhere stories live. Discover now