Bab 20: Kelas Mengaji

48 18 0
                                    

MATA mereka berdua saling bertentang. Bibir Damia masih tak lekang dengan senyuman manisnya. Gerangan yang dinanti dan dirindui sudah tepat berada di depan mata.

"Kak Damia!" teriak Syafiqah lalu dia terus memeluk erat Damia.

Damia pun membalas pelukan. Masing-masing melepaskan pelukan rindu.

Syafiq kekal terpana dan terpesona. Masih tak percaya susuk yang di hadapannya ini ialah Damia. Nur Damia Qistina yang sering menjadi bualan di buah fikiran.

"Syafiqah rindu Kak Damia. Kak Damia kenapa tak datang rumah?" Syafiqah merengek tatkala pelukan antara mereka dileraikan.

"Kak Damia ada hal sikit. Nanti Kak Damia pergi rumah Syafiqah lagi ye." Damia lalu mencubit-cubit perlahan pipi Syafiqah.

Ketika itu juga, matanya terus memandang tepat ke arah Syafiq. Lelaki itu masih terpaku. Lambat-lambat langkahnya dimajukan menuju ke arah lelaki itu.

Najihah yang masih membisu segera mengundurkan dirinya. Dirinya berundur beberapa langkah memberi ruang kepada Damia untuk berbual bersama Syafiq. Tapi entah mengapa, hatinya terasa berat. Berat apabila melihat dua insan itu saling mendekat.

"Assalamualaikum, awak," ucap Damia yang kini menghadap wajah Syafiq.

"Waalaikum ... mussalam." Syafiq telan liur. Gugup.

Memang benar dia Damia. Mahu dirinya menjerit dan ucapkan rasa syukur sekuat hati kerana dia masih berpeluang berjumpa dengan gadis yang dirindunya ini. Biarpun pelbagai rintangan yang mereka hadapi, tetapi takdir Allah siapa yang boleh halang.

"Awak buat apa kat sini?" tanya Syafiq. Salah satu pertanyaan penting yang bermain di fikiran diajukan.

Damia pandang sekilas wajah Najihah sebelum dia leretkan senyum. Pasti lelaki itu terkejut dengan jawapannya.

"Saya datang sini sebab nak belajar mengaji dengan Najihah."

Syafiq terus menjongketkan keningnya. Disangka salah dengar rupanya itulah jawapan yang diucap Damia.

"Mengaji?"

Damia membalas dengan anggukan. Biarlah saham dirinya jatuh pun. Janji dia sudah beritahu perkara sebenar kepada Syafiq.

"Yakah? Alhamdulillah kalau macam tu. Saya tak kisah awak pandai mengaji ke, baru nak belajar mengaji ke. Janji awak ada niat dan usaha nak mengaji. Betul kan, Najihah?"

Najihah yang tersedar namanya disebut laju sahaja mengangguk dan tersenyum. Tetapi senyuman yang dia pancarkan makin lama makin menghilang tatkala melihat wajah Syafiq yang kian berbeza.

Wajah lelaki itu mulai menunjukkan senyuman yang penuh serinya apabila Damia sudah ada di depan matanya. Sangat berbeza dari beberapa minit yang lepas.

Sudahlah Syafiqah yang tadinya terus berlari mendapatkan Damia dahulu dan bukannya dirinya. Tipulah kalau tiada secebis pun rasa cemburu dalam hati Najihah itu. Perit di hati hanya mampu ditahannya.

"Ustazah, jomlah kita start mengaji sekarang. Tak sabar dah ni nak belajar sekali dengan Kak Damia." Syafiqah terus luahkan permintaannya sambil menggoncang-goncangkan tangan Najihah.

Najihah terus tersedar dari lamunannya.

"Hmm ... okeylah." Najihah mengangguk. Lalu matanya dituju tepat ke arah Damia sambil memberi isyarat kepadanya.

Damia yang faham dengan isyarat mata yang disampaikan Najihah segera mengangguk.

"Awak, saya masuk dalam dulu tau. Kelas dah nak start ni," ujar Damia.

KASIH SEMENTARAWo Geschichten leben. Entdecke jetzt