Bab 52: Cabaran

60 5 3
                                    

SYAFIQ terus tadah tangannya usai mengerjakan solat isyak. Doa kepada Allah patut dipinta. Hanya Dia sajalah tempat hamba-Nya untuk mengadu segala keluh-kesah yang menghimpit diri.

Rasa sugul pulak hati bila kena sembahyang seorang diri macam ni. Rindu nak solat sekali dengan si isteri. Padahal dulu, setiap malam dia dan Damia solat maghrib dan isyak berjemaah.

Damia sekarang dah makin sibuk. Ditambah pulak hubungan dia dan Syafiq yang agak tegang tu, lagilah membuatkan hubungan mereka tu makin hanyut.

Damia tu, nak makan sekali dengan suami pun jarang, apatah lagi nak solat berjemaah sekali. Dia lagi suka solat sendiri-sendiri agaknya.

"Ya Allah Ya Tuhanku. Aku ingin panjatkan syukur ke hadrat-Mu, kerana akhirnya aku dan isteriku bakal diberi tanggungjawab yang besar untuk menjaga amanah-Mu. Aku berterima kasih kepada-Mu kerana kami diberikan kesempatan untuk memegang peluang ini. Kau permudahkanlah segalanya. Berikanlah kesihatan yang baik kepada diriku, isteriku dan kandungannya."

"Dan aku harap, hubungan kami suami isteri dapat diperbaiki semula. Aku tak sanggup hidup bertegang urat dengan isteriku lagi. Kau ampunilah dosaku. Sungguh, aku dah banyak sakitkan hati dia. Sebagai seorang suami, aku patut jaga fizikal dan mental isteriku, lagi-lagi selepas dia mengandung sekarang ni tapi aku gagal. Berikanlah peluang untukku berbaik semula dengan isteriku, Ya Allah ..."

Terkumat-kamit Syafiq membaca doa sambil matanya ditutup rapat. Dia mahu fokus dan khusyuk dengan doa yang dipinta. Bersungguh-sungguh dia mengadu kepada Yang Maha Esa.

Usai berdoa panjang, lafaz amin ditutur sebagai penutup doanya. Wajah diraup lama.

Sekarang, barulah dia rasa tenang sedikit selepas mengadu akan rasa yang terbuku dalam hati kepada Allah. Dah rasa macam membebaskan bebanan yang dipikul diri.

Baru aje diri berura-ura bangun nak melipat sejadah, tiba-tiba tubuhnya mengeras. Tindakannya terus jadi kaku bila kepalanya menoleh ke belakang.

Ada isterinya sedang berdiri kat depan pintu yang sedikit terbuka tu. Dan nampak jelas, wajah isterinya tu sayu dan muram. Matanya jugak kelihatan berkaca-kaca.

Damia ... menangis ke?

"Sayang?"

Tak terus menyahut suara Syafiq, Damia terlebih dulu mendekati suaminya itu. Langkah perlahan-lahan dibawa memasuki ruang kamar. Lalu dia terus bersimpuh di sisi suaminya yang masih setia duduk di antara dua sujud tu.

Damia tundukkan wajahnya. Dia cuba menahan air mata tetapi matanya tetap bertambah kelam. Tak mampu menahan lagi, akhirnya bendungan air matanya pecah mengalir di lurah pipinya.

"Sayang ... kenapa ni?" Cuak jugaklah Syafiq tengok isterinya macam tu. Masuk-masuk bilik je terus nangis.

Pelukan diberi suaminya membuatkan esakan Damia semakin kuat. Tersedu-sedan dia menahan tangis yang menyerang diri sambil menyembamkan wajah ke dada bidang suaminya,

Syafiq usap-usap kepala isterinya sebelum isterinya mengangkat wajahnya semula. Merah muka Damia, macam kena lumur dengan sos tomato pulak. Mata pulak bengkak semacam.

"Abang ..." Akhirnya Damia bersuara semula. "Saya nak mintak ampun kat abang," ucapnya diselangi tangisan yang makin menggelora.

Melopong mulut Syafiq dengan permintaan maaf isterinya. Siap menangis-nangis lagi tu. Dia pulak yang rasa bersalah sekarang ni.

"Saya dah banyak sakitkan hati abang. Saya dah banyak buat abang kecewa sejak dua menjak ni. Saya marah abang, saya tinggikan suara kat abang."

"Pasal hal kat hospital tadi pun, saya mintak ampun jugak. Sumpah, saya tak berniat pun nak sakitkan hati abang. Saya betul-betul tak sedap badan masa tu, sebab tu saya pilih balik dengan Encik Zaffran." Makin galak air mata Damia mengalir turun.

KASIH SEMENTARAOpowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz