Bab 22: Ungkap

45 15 0
                                    

NASKAH muqaddam dibuka. Satu per satu frasa dan potongan ayat pendek dibaca separa kuat oleh Damia. Melihatkan dirinya yang masih merangkak-rangkak membaca al-Quran, Najihah putuskan jualah mengajar Damia itu dari peringkat asas, iaitu muqaddam.

Kalau biarkan Damia itu membaca al-Quran sambil diiringi suara Najihah, itu bukan belajar mengaji namanya. Bagi Najihah, biarlah Damia datang ke kelas mengajinya ini untuk mengasah dan mendapatkan lebih lagi ilmu tentang huruf jawi, hukum tajwid dan segala rencah lain yang berkaitan dengan pembelajaran al-Quran ini.

Biarpun pelajar-pelajar yang lain sudah boleh membaca al-Quran, itu tak membuatkan Damia terasa terasing. Mujurlah ada Najihah. Dialah salah satu tunjang utama yang membuatkan Damia tak ambil peduli membaca muqaddam dari awal biarpun pelajar-pelajar yang lebih muda darinya sudah mencapai tingkat yang lebih tinggi darinya. Bahkan ada di antara mereka yang sudah hampir khatam dah pun.

Selesai sahaja membaca, laju sahaja Damia simpan muqaddam milik Najihah itu. Dirinya sudah lesu untuk membaca lebih-lebih. Dia mahu habis membaca dengan segera kerana mahu habis kelas awal. Ada "seseorang" di luar sedang menunggu.

Usai pelajar-pelajar lain berpamitan pergi, seperti kebiasaan, Damia dan Syafiq rancak berbual di ruang tamu sementara mengisi masa sebelum Damia pulang. Syafiqah yang turut serta bersama mereka juga tidak kalah rancaknya. Bersungguh-sungguh dia bercerita itu dan ini.

"Jemputlah minum," pelawa Najihah sambil meletakkan satu per satu cawan berisi air Milo di hadapan mereka berdua.

Kerja membancuh dan menghidang air, dialah yang lakukan semua. Tapi tak mengapalah, sudah nasib menjadi tuan rumah.

"Terima kasih, Najihah," ucap Syafiq lalu diiringi Damia pula.

Mereka lalu sama-sama meneguk minuman itu. Lega rasanya dapat membasahkan tekak.

"Kamu tak ada homework ke, Syafiqah? Bukan ke kamu tak suka buat homework lambat-lambat?" soal Najihah kepada Syafiqah.

Najihah lalu melabuhkan punggung di sebelah Syafiqah. Kalau diikutkan, dia tak mahu pun bergabung untuk berbual bersama Syafiq dan Damia. Hatinya bagaikan disiat-siat apabila melihat mereka berdua saling bermesraan di hadapannya tadi. Lihat Syafiq di hadapannya itu, banyak pula masa dia nak luangkan bersama Si Damia ini. Kalau tak ada Damia, sudah semestinya lelaki itu sekarang sedang menyediakan sate untuk jualan.

Tapi mujurlah ada Syafiqah. Gadis kecil itulah yang beria-ia memintanya untuk turut serta. Dia tidak tahu yang ustazahnya itu sedang menahan luka yang memedihkan rasa. Biarlah. Biarlah dirinya sahaja yang tahu tentang rasa itu.

"Hari ni Syafiqah tak ada kerja sekolah. Tu yang Syafiqah nak sembang puas-puas dengan Kak Damia," jawab Syafiqah sambil tersenyum lebar ke arah Damia.

Damia dan Syafiq yang mendengar jawapan comel Si Syafiqah itu terus berbalas tawa. Najihah pula hanya mempu tersenyum simpul.

"Erm ... Damia?" Najihah bersuara.

"Ya, Najihah? Ada apa?"

"Hari Sabtu ni, kelas mengaji kita jadi ke? Walaupun hujung minggu?"

Damia pandang sekilas wajah Syafiq sebelum mulutnya dibuka untuk menuturkan jawapan.

"Ha ... . Kalau boleh saya memang nak sangat mengaji setiap hari. Lagipun hari Ahad kan ada. Saya akan gunakan satu hari tu untuk saya berehat sepuas-puasnya. Awak okey kan kalau saya nak belajar setiap Sabtu?"

Najihah angguk lalu menjawab, "Oh, kalau macam tu tak apalah. Saya pun okey je nak ajar awak bila-bila pun."

"Kak Damia nak datang mengaji hari Sabtu ni? Kalau Syafiqah nak datang jugak boleh tak?" sampuk Syafiqah yang kelihatan bersemangat.

KASIH SEMENTARAWhere stories live. Discover now