Bab 32: Derita

50 11 0
                                    

"HOI! Korang buat apa tu?" sergah Damia apabila dia melihat ada tiga budak lelaki sedang mengerumuni Syafiqah. Syafiqah pula hanya menutup kedua-dua belah telinganya dengan telapak tangan.

Hari ini, dia ambil tugas yang selalu digalas Syafiq selama ini iaitu mengambil Syafiqah pulang dari sekolah. Motosikal EX5 milik suaminya dipinjam dan berkobar-kobar dia mahu menjemput Syafiqah. Tapi apabila tiba sahaja di luar pagar sekolah, rasa geramnya kian tercabar apabila dia saksikan situasi itu.

Damia turun dari motosikalnya. Langkahnya semakin laju mendekati Syafiqah yang terus memeluk dirinya. Tetapi matanya masih memandang tajam budak-budak lelaki yang mungkin sedang membuli Syafiqah tadi.

"Korang buat apa dengan Syafiqah, ha?" tanya Damia dengan nada tegasnya tak ubah seperti seorang ibu tiri.

Pelajar-pelajar lelaki itu tertunduk kaku. Kaki mereka umpama sudah melekat di tanah. Mahu lari, tapi seperti tak boleh pula. Masing-masing terketar dengan kemunculan singa betina itu yang bila-bila masa sahaja boleh membaham mereka.

"Korang ni memang tak malu ke buli budak perempuan? Apa korang ingat korang nampak hebat ke membuli orang ni?" Bercekak pinggang Damia sembur amarahnya. "Lepas ni, akak tak nak tengok dah korang buli Syafiqah. Kalau tak, akak report kat mak bapak korang. Faham tak?" sambungnya.

"Faham ... kak." Takut-takut budak-budak lelaki itu bersuara.

"Cepat mintak maaf dengan Syafiqah sekarang."

"Kami mintak maaf ..."

"Bagus. Dah, pergi balik!" tempik Damia lantang. Berterabur habis budak-budak lelaki itu berlari. Tahu pun takut.

Damia tertawa riang. Puas dia melihat pembuli-pembuli itu kecut perut. Ingat kental sangat hati itu. Ini baru kena sergah sedikit, dah pucat mereka itu.

"Syafiqah okey tak?" tanya Damia sambil melihat-lihat keadaan diri Syafiqah.

Syafiqah menggeleng. "Syafiqah okey. Terima kasih, Kak Damia."

"Sama-sama. Lain kali kalau ada budak-budak nak buli Syafiqah, bagitahu je akak. Akak boleh settlekan diorang tu," ucap Damia bangga diri.

Syafiqah tergelak. Terhibur juga dia dengan celoteh kakak iparnya ini. Sedikit sebanyak hatinya yang dirudum resah dapat dia lupakan.

Damia lorekkan senyuman. Suka dia lihat Syafiqah tersenyum begini setelah dua hari wajah Syafiqah diselubungi muram. Bukan dia sahaja perasan dengan perubahan ketara Syafiqah itu, bahkan Syafiq juga.

Sejak dua hari yang lepas, Syafiqah lebih banyak mendiamkan dan mengasingkan dirinya. Mahu makan pun dia seperti tak ada selera. Mahu berbual pun, nak tak nak sahaja dia membuka mulut. Dalam erti lain, perangai Syafiqah itu luar daripada kebiasaan.

Mereka tak tahu punca Syafiqah menjadi sebegitu. Sudah banyak kali ditanya, tetapi apa yang dijawab Syafiqah, dia hanya mengatakan dirinya penat. Itulah jawapan yang berkali-kali diulang apabila ditanya.

Tapi mujurlah, kejadian tadi seakan memberi petunjuk tentang perubahan sikap Syafiqah itu. Sekurang-kurangnya, punca masalah yang Syafiqah hadapi sudah berada dalam pengetahuan Damia dan sudah dia selesaikan.

*****

"Betul ke tadi adik kena buli lagi?" tanya Syafiq tatkala masing-masing sedang asyik menikmati makan tengah hari.

Syafiqah telan liur. Dipandang wajah Damia sesaat sebelum kepalanya tertunduk. Kejadian tadi pasti sudah dilaporkan oleh kakak iparnya itu. Lambat-lambat kepalanya diangguk.

Dia tak memarahi dengan sikap Damia yang tak ubah seperti penyampai berita itu, tetapi dia agak kesal kerana masalah sebenarnya masih belum diketahui oleh kedua abang dan kakak iparnya. Mereka tak peka!

KASIH SEMENTARAWhere stories live. Discover now