Bab 7: Syak Wasangka

227 55 4
                                    

HANYA dua kali gigitan sahaja, secucuk sate itu habis dilahap Damia. Kalau boleh dengan lidi-lidi dia mahu makan sekali melihat tahap kegelojohan dia itu.

"Seriuslah Syafiqah 11 tahun?" Suara Damia memecah hening seketika. Mata pelanggan-pelanggan tertumpu pada mereka berdua. Syafiq dah mulai tundukkan wajah. Damia yang bersuara, dia pula yang malu.

Damia segera menunduk-nundukkan kepalanya kepada mereka yang memerhati tadi sebagai tanda minta maaf.

"Awak ni, kenapa terkejut beruk pulak? Beruk pun terkejut elok lagi tau tak?" Syafiq terus menegur Damia.

"Maaflah, terkejut tadi. Bukan apa, saya tengok adik awak tu kecil je badan. Ingat baru darjah satu atau dua. Entah-entah dah darjah lima?" Terkebil-kebil mata Damia tidak mempercaya.

Syafiq menyeringai. Potongan timun dia cucuk menggunakan lidi lalu disuap ke dalam mulut setelah dicecah kuah kacang. Nikmat!

"Mungkin adik saya tu tak cukup zat? Dia makan pun sikit je. Makan nasi pun tak pernah menambah. Sayur pun tak makan. Demand sungguh padahal orang kampung je."

Mulut Dania bulat membentuk seperti 'o'. Sempat dia tersenyum melihat mulut Syafiq yang terjuih-juih bercakap perihal adiknya.

"Kenapa awak tiba-tiba tanya pasal Syafiqah ni?" Dahi Syafiq berkerut. Tiba-tiba pula Damia berminat tahu tentang adiknya itu.

"Umm ... bukan apa. Saya teringin sangat nak jumpak adik awak tu. Walaupun saya tak nampak sangat muka dia masa hari tu, tapi saya tahu mesti dia comel kan?"

Syafiq tergelak kecil. "Mestilah. Tengoklah abang dia siapa." Sempat lagi Syafiq tayang muka bangga.

Perasan! Terus saja Damia menampar lengan Syafiq. Syafiq laju mengelak sebelum tamparan kedua sempat menghinggap.

"Ni awak nak jumpa adik saya ni ada apa-apa ke? Takkanlah pasal comel je." Mata Syafiq terus merenung tajam Damia. Renungan menggoda.

Damia apa lagi, terus berdehem macam nak tercabutlah anak tekak tu. Mukanya terus memerah.

"Saja."

Jawapan ringkas Damia membuatkan Syafiq menjongketkan kening. Matanya tak lepas dari merenung Damia dari tadi. Itu bukan jawapan yang dia nak!

"Kenapa tenung saya macam tu?" Damia semakin tak keruan.

"Dahlah, awak pergi tolong kawan awak tu. Jangan nak curi tulang pulak. Mentang-mentanglah gerai ni awak punya, saja nak mengelat eh." Terus saja Damia menolak-nolak lelaki yang duduk di hadapannya itu. Gamaknya mahu menghalau.

Syafiq buat muka sedih. Tapi sempat dia separa bisik kepada Damia. "Kalau awak nak jumpa Syafiqah, boleh. Tapi tunggu masa yang sesuai dulu. Okey?"

Damia memuncungkan mulut.

Ala ... .

*****

Masuk sahaja ke dalam rumah, bilik tidur yang dicarinya. Mata dah sayup-sayup mahu terkatup, mengantuk sangat. Padahal tadi bertentang wajah dengan Syafiq, bukan main segar-bugar matanya bagai tak berkedip. Haih ... Damia, Damia.

Sate yang dibungkus dalam plastik dia letak di atas meja. Nanti pandai-pandailah Kak Long Nadia dan ibunya makan sendiri. Dah nama pun makanan, makan sajalah. Tak ada masa dia nak pelawa-pelawa makan bagai.

"Baru teringat nak balik?"

Suara Mak Siti menerjah dari tingkat atas. Tergedek-gedek Mak Siti menuruni satu-persatu anak tangga itu.

"Hmm ... ." Acuh tak acuh Damia menjawab.

Mak Siti terus mencapai bungkusan plastik hijau yang Damia letak tadi. Benda apa lagilah budak ni bawa balik.

KASIH SEMENTARAजहाँ कहानियाँ रहती हैं। अभी खोजें