Bab 24: Tudung Biru

54 13 0
                                    

JARI-jemari masih menguis-nguis nasi di dalam pinggan dari tadi. Ayahnya yang sedang duduk menghadapnya, bukan main berselera lagi tapi dirinya tidak sedikit pun menjamah juadah yang sudah terhidang.

"Aik, Jihah? Kamu dah kenapa? Termenung je dari tadi." Pak Ya langsung menegur anaknya itu.

Mana taknya, makanan yang dihidangkan sedikit pun tidak luak. Takkanlah nak mengharap dirinya seorang sahaja yang makan semua itu. Kalau tak habis, kan dah membazir.

Najihah segera gelengkan kepalanya. Tersedar jua dari renungan panjang.

"Tak ada apalah, Abi." Lalu dia terus memasukkan suapan kecil nasi ke dalam mulut. Masih lagi mahu berlakon tak terfikirkan apa-apa.

Pak Ya terus menjeling. Ceh! Nak tipu konon. Sudah 25 tahun dirinya membesarkan Najihah itu, takkanlah dia tak kenal lagi anaknya itu macam mana.

"Ye la tu. Entah-entah tengah fikir pasal Damia. Tak pun ... Syafiq." Pak Ya mengagak.

Najihah terus membatu. Alamak! Ayahnya ini, macam tahu-tahu saja apa yang ada di dalam benaknya. Memang tak ada peluanglah kalau nak menipu pun.

"Jihah, cuba cerita kat Abi. Benda apa yang kamu fikirkan sangat dari tadi ni?" tambah Pak Ya yang mula kerisauan.

Najihah hela nafasnya. Terpaksa jualah dia membuka mulut untuk bercerita perkara sebenar. Mana tahu, ayahnya boleh membantu. Tapi jikalau ayahnya tak dapat membantu pun, dirinya dapat meluahkan pun sudah cukup.

"Kelmarin, kan Damia datang mengaji ..."

"Ha, lepas tu?" Pak Ya membetulkan posisi duduknya.

Najihah langsung menceritakan segala kejadian yang berlaku kelmarin. Rasa tertanya-tanya masih lagi menyala dalam diri. Entah benar atau tidaklah Lokman itu bakal suami Damia. Tapi jika itu benar, itu bermakna Damia datang belajar mengaji dengannya itu tidak ikhlaslah?

Kunyahan dalam mulut Pak Ya diperlahankan. Dia cuba menghadam apa yang diberitahu anaknya tadi. Nampak gayanya, masalah yang didengarnya ini bukan calang-calang masalah.

"Jadi kamu nak kata yang Damia tu kena paksa kahwin, sebab dia tak sukakan bakal suami dia tu?" soal Pak Ya.

Najihah hanya membalas dengan anggukan. Itu sahajalah spekulasi yang mampu difikirnya sekarang ini.

Pak Ya hela nafas. "Kamu fikir yang Damia datang mengaji sini bukan sekadar mengaji semata-mata. Macam tu?"

Najihah tidak memberi reaksi. Mahu mengiyakan atau menidakkan, dia tidak tahu mahu beriak bagaimana.

"Hmm ... Jihah. Tak baik tau berburuk sangka dekat orang. Entah memang betul Damia tu nak berubah, kan dah jatuh fitnah tu." Pak Ya mulai memberi nasihat.

Najihah pandang wajah ayahnya. "Bukannya berburuk sangka, Abi. Tapi Jihah rasa terkilan. Damia tak pernah pun bagitau Jihah pasal hal ni. Patutlah bukan kemain rapat dengan Syafiq tu."

Pandangannya dibuang ke arah lain tatkala mulutnya masih terjuih-juih mengadu.

Pak Ya menggeleng. "Jadi, kamu cemburulah ni?"

Mata Najihah segera membulat. Terlepas cakaplah pula. Memang nampak jelaslah yang dirinya itu sedang dilanda cemburu.

"Ce ... cemburu? Cemburu sebab apa pulak?" Tergagap-gagap Najihah mengatakan itu kerana menggelabah. Pak Ya kalau bab-bab berkaitan ini, memang laju saja mahu mengusik.

"Cemburulah. Sebab kamu dah berburuk sangka kat Damia tu. Ini siap cerita kat Abi yang Damia tu mendekat dengan Syafiq semata-mata nak lari dari bakal suami dia." Pak Ya tertawa kecil sambil tergeleng-geleng kepalanya.

KASIH SEMENTARAWhere stories live. Discover now