Bab 21: Kembali

49 15 0
                                    

TANPA jangkaan mereka, Pak Ya tiba-tiba sahaja muncul dari pintu rumah.

"Eh, Syafiq? Pak Ya tak tau pulak kamu ada kat sini," tutur Pak Ya sambil berjalan ke arah Syafiq.

Kemunculan Pak Ya membuatkan ucapan Damia terbantut. Terpaksa jualah Damia lupakan untuk menyatakan hasrat hatinya itu.

"Oh, Pak Ya. Saja saya duduk sini sekejap. Pukul enam satgi saya pergilah jual sate tu," jawab Syafiq sambil mengucup tangan milik lelaki tua itu.

"Ye ke? Patutlah. Najihah pun tak bagitau Pak Ya yang kamu ada kat sini. Ingatkan Damia ni bersembang dengan siapalah kat luar sini."

Syafiq hanya tertawa kecil sahaja dengan seloroh Pak Ya. Begitu juga Damia. Tapi sempat Damia hela nafasnya. Ada baiknya juga Pak Ya ini tiba-tiba muncul. Jadi tak adalah dia kena menjawab soalan aras tinggi dari Syafiq tadi.

Ketika itu juga, Najihah juga muncul sambil menatang dulang yang berisi teko dan cawan. Air teh yang terisi dalam teko masih kelihatan wapnya.

"Jemput minum," pelawa Najihah sambil menuangkan air ke satu per satu cawan itu.

Damia dan Syafiq menundukkan sekali kepala mereka sebagai tanda terima kasih.

"Ha, Najihah. Baru je Abi cakap pasal kamu."

"Ca ... cakap apa?" Najihah mengerutkan dahi.

"Pasal kamulah. Kamu tak bagitau pun yang Syafiq ada kat sini. Padahal tadi kita terserempak je kat dapur tapi kamu senyap je. Khusyuk sangat buat air," adu Pak Ya dalam nada menyindir.

Lidah Najihah terus menjadi kelu. Dirinya senyap bukan sebab apa, tapi pasti kerana mencuba menahan hati yang terluka.

"Oh yang tu ... Najihah terlupa nak bagitau," dalih Najihah yang cuba menamatkan perbualan.

"Hmm ... yalah." Pak Ya memutuskan untuk tak mahu bercakap panjang tentang hal itu lagi.

Air teh yang dibancuh Najihah diteguknya. Agak panas rasanya, jadi hanya mampu diteguk perlahan-lahan sahaja. Tetapi tatkala menikmati air itu, akhirnya dia terperasan sesuatu.

"Eh, kejap!" Pak Ya segera letakkan cawan di atas meja semula.

"Syafiq. Kamu dengan Damia ni dah lama kenal ke?" Pak Ya sambung bertanya. Bibirnya yang basah dek air yang tersisa dilap menggunakan punggung tangan. Setelah sekian lama, barulah dia terperasan akan hal itu.

Syafiq dan Damia saling bertatapan. Maka bermulalah sesi soal jawab dengan Pak Ya ini.

"Err ... ya, Pak Ya. Saya dengan Damia nak kata lama sangat berkawan pun tak jugak. Dalam tiga atau empat bulan macam tu mungkin?"

Damia pun segera mengangguk. Apa yang Syafiq tanya, dia setujukan sajalah. Janji bukan dia yang jawab.

"Oh, ye ke?" Pak Ya mengetuk jari-jemarinya pada meja. "Kamu berdua kenal dari mana?"

Syafiq dan Damia sama-sama tersentak. Masih kosong fikiran mereka dengan pertanyaan Pak Ya itu.

"Dia orang kenal sebab Damia ni selalu beli kat gerai Syafiq tu," celah Najihah tatkala terlihat mereka berdua masih membisu.

Pantas Pak Ya memandang wajah anaknya itu. Wajah berseri Najihah ditatapnya dalam. Dia seakan-akan faham sahaja apa yang Najihah rasakan ketika itu.

"Hmm ... patutlah." Perlahan dan lembut sahaja Pak Ya menuturkannya.

Damia tersenyum nipis sebelum dia memutuskan untuk mengerling jam di telefonnya. Sudah beberapa minit jugalah dia di situ. Dirinya harus pulang segera.

KASIH SEMENTARAWhere stories live. Discover now