Bab 40: Hasrat

38 8 1
                                    

PUNAT alat kawalan jauh ditekan. Rasanya dari tadi Damia menghadap televisyen sahaja. Maklumlah, televisyen rumah orang, ada Astro pula tu. Banyaklah saluran dan rancangan yang menarik jika nak dibandingkan televisyen di rumah ibunya itu. Bukan ibunya tak ada duit, tapi tahulah ibunya itu kedekut sangat.

Hari ini, dah masuk hari kedua Damia dan suaminya tinggal di homestay kepunyaan Mak Cik Zainab. Seronok pula menumpang seketika di homestay ini.

Tinggal di homestay ini sahajalah mampu membuatkan Syafiq dan Damia bebas dari menerima tikaman panah-panah kebencian Mak Siti itu. Sudah Mak Siti yang biarkan mereka tinggal di homestay ini, jadi tak jadi masalahlah buat mereka. Mak Siti benarkan mereka pergi pun sebab dia dah muak mahu menumpangkan laki bini itu di rumahnya.

Serta, alang-alang Mak Cik Zainab sudah beri mereka tinggal percuma sahaja di situ, mereka guna sahaja peluang ini. Lagipun bukannya mereka berniat mahu ambil kesempatan. Selepas rumah asal yang dibina semula itu siap, nanti mereka keluarlah dari homestay ni.

Terpaksa jualah mereka tinggalkan Mak Siti berseorangan di rumah. Tetapi bukannya abaikan terus pun. Waktu Syafiq bekerja di gerai, Damialah yang akan menemani Mak Siti sehinggalah Syafiq tamat bekerja seperti biasa.

Bukannya mereka tak boleh tinggal di rumah Mak Siti itu tetapi mereka juga perlukan privasi. Duduk di rumah Mak Siti tu, setiap hari mahu hilang anak tekak mereka tu kerana sering bertengkar. Stres hidup! Disebabkan itulah Damia memilih tinggal di sini berbanding di rumah ibunya.

Biarpun homestay ini tidaklah semewah mana, tetapi suasananya cukup nyaman. Satu tingkat tetapi cukup luas. Siap ada air conditioner lagi. Bentuk rekaan rumah yang agak moden membuatkan mereka tertarik untuk tinggal di sini. Patutlah homestay Mak Cik Zainab sentiasa menerima sewaan dari para pengunjung luar. Kemudahan yang disediakan amat memuaskan.

Dalam fikiran Damia melayang tadi, matanya lalu tertumpu kepada suaminya yang baru keluar dari tandas. Dengan tuala yang masih disangkut pada leher, dia majukan langkah untuk menuju ke arah isterinya.

Syafiq selepas sahaja pulang dari meniaga, terus dia menjemput isterinya dari rumah Mak Siti dan pulang untuk mandi seperti biasa. Semuanya disebabkan Damialah. Kata Damia, bau asap yang melekat di baju Syafiq sedikit tak selesa untuk disedut.

Syafiq dah nama pun sayang bini, ikut sahajalah kata Damia itu biarpun terpaksa mandi malam-malam. Lagipun, dia sendiri pun rasa rimas tak mencuci tubuh badan selepas bekerja.

"Sayang tak nak tidur lagi ke?" Tanpa dipelawa, Syafiq terus menghenyakkan punggungnya di sebelah Damia.

"Tak ngantuk lagilah, bang. Kejap lagi saya tidur," jawab Damia tayang sengih.

"Hmm ... ye la," balas Syafiq sambil mengeringkan rambutnya dengan tuala. 

Kalau diikutkan matanya yang sudah sayup-sayup mahu terkatup itu, mahu sahaja dia merebahkan dirinya di atas katil sekarang juga. Tapi melihat isterinya yang leka menonton televisyen itu, dia putuskan untuk menemani isterinya sahaja. Selalunya Damia yang akan menemaninya tatkala makan ataupun buat apa-apa saja. Biarlah kali ini dia buat benda yang selalu dilakukan isterinya itu.

"Abang, saya nak tanya sikit boleh?" Damia ajukan soalan. Badannya ditegakkan dan wajah kacak suaminya diteliti.

"Ha, tanyalah." Syafiq pandang sekilas wajah Damia sebelum menumpukan semula pandangannya ke kaca televisyen.

"Tadi abang pergi rumah Pak Ya, buat apa?"

Pertanyaan itu meluncur jua setelah dari siang tadi Damia bergelut memikirkan tentang itu. Selalunya, setiap kali Syafiq mahu bertemu Pak Ya, Syafiq selalu memberitahu tujuannya bertemu dengan lelaki tua itu. Tetapi siang tadi karenah Syafiq lain sedikit. Saat Damia bertanya, Syafiq hanya membalas dengan senyuman sahaja.

KASIH SEMENTARAWhere stories live. Discover now