Bab 42: VeoBay Group

41 7 5
                                    

VEOBAY Group. Melihat papan tanda besar yang tertera di tingkat atas bangunan itu membuatkan rasa gemuruh dalam diri Damia makin mencanak-canak meningkat. Mana taknya, hari ini dia akan menjalani temu duga di syarikat ini.

Tak sangka ada juga syarikat besar di bumi Perlis ini. Selalunya, syarikat yang gah berdiri mencakar langit ini sering dilihat di Kuala Lumpur. Tapi tak pelik jugalah kerana VeoBay Group ini didirikan di bandar Kangar, yang bermaksud jauh dari tempat tinggal Damia di Bukit Pelarit. Nak datang ke Kangar ini pun, jauh juga perjalanan. Ambil masa 45 minit juga tu. Itu pun datang menggunakan perkhidmatan Grab. Disebabkan itu dia tak datang ke sini menggunakan motosikal milik suaminya.

Kan dah membazir wang. Kalau tak dapat kerja di sini, tak tahulah nak cakap apa.

Ketepikan tentang VeoBay Group atau apa-apa pun, yang Damia rasa tak sedap hati sekarang ini ialah jawatan yang akan dia sandang sewaktu ditemu duga di sini nanti. Tak tidur malam dia memikirkan hal itu!

Suaminya memberitahu bahawa Zaid yang menawarkan kerja di syarikat ini kepadanya seminggu yang lepas. Hatinya gembira mendengar tentang tawaran di syarikat ini tetapi timbul juga rasa ragu-ragu. Dia ditawarkan bekerja di sini tetapi posisinya bekerja tidak dapat diketahui. Malah, ketika dia bertanya suaminya semula, suaminya hanya menjongketkan bahu. Kata Syafiq, Zaid akan memberi kerja mengikut kelulusan setelah dia menemu duga Damia.

Pertama kali dalam sejarah, dia datang untuk interview tanpa mengetahui akan jawatan kerja tersebut. Haih!

Kalau ikut kelulusan, entah-entah dapat jadi cleaner kat sini? Ah! Tak kisahlah, janji ada kerja. Damia cuba menyedapkan hati untuk menerima walaupun terasa berat. Biarpun begitu, Syafiqlah yang memberi dorongan untuk Damia datang mencuba nasib di syarikat ini. Mana tahu, ada rezekinya di sini. 

Damia memang tak peduli untuk kerja di mana-mana pun. Jika dia dapat bekerja di syarikat ini pun, dah terlebih baik rasanya. Tak sangka syarikat ini kepunyaan Zaid.

Cakap pasal Zaid, mahu terjojol biji mata Damia apabila suaminya memberitahu yang syarikat ini milik Zaid Zaffran! Lelaki yang dia bertemu tempoh hari merupakan CEO di syarikat ini? Shocked, but not surprised.

Tak hairanlah, tengok gaya Zaid sewaktu di kampung itu pun dah tahu. Paling koman pun, pasti Zaid tu anak Datuk. Ala-ala anak Datuk Megah Holding gitu. Jadi, apa baranglah nak jadi CEO pun. Sempat lagi Damia puji. Bakal bos tu.

Tapi kenapa dia dengan senang hatinya mahu datang temu duga ke sini? Adakah kerana suaminya atau kerana dirinya sendiri? Damia akui kedua-duanya. Kerana dia mendapat dorongan dan keizinan suaminyalah, dia sudah tercegat di hadapan bangunan ini. Dan, kerana tekad yang ada dalam dirinya untuk mencari kerjalah yang membuatkan kakinya mulai melangkah masuk ke dalam bangunan ini.

Bertemankan rasa gementar, langkah diatur. Butang lif ditekan menuju ke tingkat 7 usai bertanya arah kepada seorang pengawal keselamatan berwarga Nepal. Sebaik sahaja memasuki ruang lif yang kosong itu, nafas dihembus cuba bertenang.

Takkan berdebar jumpa Zaid pulak? Damia dah geleng kepala. Minta simpanglah. Sejak bila dia terhegeh-hegeh dengan lelaki itu. Lelaki itu yang tawarkan kerja melalui suaminya, dia terima ajelah.

Apa yang dia risau sekarang ini ialah takut gagal memperoleh kerja buat berapa kali entahnya. Kalau dia gagal dapat kerja di sini, dia mahu berkurung seharian dalam bilik. Mahu mogok. Berjalan jauh datang ke Kangar, lepas itu membazirkan masa, tenaga dan air liur pula tu. Memang patut dirinya mahu buat begitu.

Kalau Zaid tu tak bagi aku apa-apa kerja kat sini, siap kau Zaid! Aku report kat suami aku! Sempat lagi Damia mengugut dalam hati.

Eleh, kalau report kat Syafiq pun dia boleh buat apa je? Syafiq dengan Zaid pun baru kenal, bukannya kawan baik pun. Damia mengeluh lagi.

KASIH SEMENTARAWhere stories live. Discover now