Bab 15: Tunjuk Belang

68 34 1
                                    

PINTU bilik diketuk dua kali oleh Mak Cik Zainab sebelum dia tolak pelahan-lahan daun pintu itu. Terlihat Lokman yang berkaca mata sedang ligat jari-jemarinya menaip di laptop.

"Boleh ibu masuk?"

"Eh, ibu. Masuklah. Ni kan rumah ibu. Buat apa nak minta izin Lokman pulak."

Mak Cik Zainab lalu melabuhkan punggungnya di atas katil bujang milik anak terunanya itu. Dia hanya tatap sahaja anaknya yang masih sibuk dengan kerja-kerjanya.

"Yelah. Tapi ni kan bilik kamu. Privasi kamu," ujar Mak Cik Zainab.

Lokman hanya tersenyum dan angguk perlahan. Tetapi lain pula dengan Mak Cik Zainab. Dia hanya pancarkan riak wajah yang penuh keraguan.

"Ibu masuk bilik Lokman nak buat apa, bu? Nak bincang sesuatu ke?"

Macam tahu-tahu saja Lokman ini. Memang ada benda yang ingin dibincangkan pun antara dirinya dengan Mak Cik Zainab itu.

"Ya. Ibu ada benda nak tanya sikit," jawab Mak Cik Zainab.

Lokman pantas menghentikan tugasnya. Pandangannya kini tepat memandang wajah ibunda tercinta.

"Benda apa tu, ibu?" Semakin fokus Lokman dengan nada dan wajah seriusnya.

Mak Cik Zainab hela nafas. "Lepas kamu putus dengan budak Kuala Lumpur tu, kamu memang dah tak jumpa pengganti dah ke?"

Lokman buang pandangan ke arah lain. Soalan yang agak terus-terang dari ibunya itu pasti membuatnya sedikit tersentak.

"Ni mesti ibu nak cakap pasal kahwin, kan?" Lokman terus menyambung kembali tugasnya yang terjeda. Berpura-pura sibuk lihat dari lagaknya.

"Lokman, ibu tahu kamu tak suka cakap pasal ni. Tapi sampai bila kamu nak mengelak? Umur kamu dah nak dekat 30 tau. Bukannya muda lagi."

"Lokman bukannya tak suka cakap pasal kahwin, ibu. Tapi Lokman anggap yang diri Lokman ni tak ada rezeki lagi dalam jodoh. Lokman memang teringin nak kahwin tapi selalu gagal. Dah banyak kali Lokman cuba, tetapi tetap tak boleh," balas Lokman.

Putus cinta berkali-kali memang memeritkan. Kadang terasa takut dan malas pula mahu memulakan hubungan yang baru kerana tidak sanggup kecundang lagi sekali. Itulah apa yang Lokman rasakan sekarang ini.

"Ibu faham. Kamu masih mencari bakal isteri yang sesuai untuk kamu. Kamu putus dengan Dayana tu pun sebab ibu, kan? Sebab kamu risau ibu tinggal seorang kat sini?"

Lokman tertunduk "Hmm ... ."

Mak Cik Zainab telan liur. Agak gementar jugalah nak beritahu perkara sebenar dengan anaknya ini.

"Ka ... kalau mak jodohkan kamu dengan anak Mak Cik Siti tu, kamu okey tak?"

Mata Lokman terbuntang luas. Dia kenal sangat dengan gerangan Mak Cik Siti dan anak-anaknya itu. Sangat kenal dan disebabkan itulah dia agak terkejut.

"Ibu! Mak Cik Siti tu kan kawan baik ibu. Takkanlah ..." Belum sempat Lokman habiskan ayat, ibunya memotong.

"Tadi Mak Cik Siti datang rumah. Dia yang suruh ibu tanyakan benda ni kat kamu Lokman. Sebenarnya, ibu tak kisah kamu nak pilih perempuan mana pun, sebab tu pilihan kamu. Sebab tulah ibu tak kisah sangat nak berbesan dengan kawan baik sendiri," pangkas Mak Cik Zainab.

Laju Lokman menggelengkan kepala. "Tak naklah, bu. Ibu bagitahu je la yang Lokman tolak lamaran Mak Cik Siti untuk anak dia. Lagipun Lokman bukannya suka Nadia tu."

Mak Cik Zainab membetulkan posisi duduknya. Nadia? Sejak bila pula dia cakap pasal gadis seorang tu?

"Bukan dengan Nadialah. Tapi Damia, adik dia."

KASIH SEMENTARAWhere stories live. Discover now