Bab 8: Bongkar

132 51 9
                                    

NADIA dan Mak Siti sama-sama bersila di ruang tamu sambil melipat pakaian. Mujurlah walaupun perangai mereka berdua itu dua kali lima, tetapi sekurang-kurangnya terselit jugalah sisi kebaikan dalam diri mereka. Iaitu kerajinan.

"Kamu ambil cuti ni ada apa, Along?" Mak Siti memulakan bual.

"Kejap lagi nak keluar dengan Amelia. Nak sambut birthday dia kat bandar tu."

"Bandar? Ni Amelia yang mana satu ni?" balas Mak Siti dengan nada teruja.

"Ala, mak. Amelia anak Datuk Hisyam tu. Mak tahu kan yang Along berkawan dengan dia. Lagipun mak sendiri yang suruh Along rapat dengan dia."

Mak Siti tampar paha. Dengar sahaja perkataan "Datuk" membuatkan dia secara automatik ingat akan gerangan Amelia itu.

"Ouh dia tu ... ." Menjuih mulut Mak Siti.

Nadia mendesis. Ibunya yang beria-ia suruh berkawan dengan Amelia, tapi dia juga yang lupa.

"Baguslah. Mak suka kamu rapat dengan dia. Tapi ni mak nak bagitahu ... " Badan Mak Siti sengaja dimajukan ke hadapan untuk mendekati anaknya itu. Sebelah tangannya menghadang mulut lagak seperti mahu berbisik.

Nadia mengerutkan dahi. Benda apalah yang ibunya ini mahu katakan sampai mahu berbisik begitu. Macam nak beritahu rahsia negara pula.

"Jangan lupa mintak sikit ganjaran kat dia." Sambung Mak Siti.

Makin berkerut dahi Nadia. "Mak ni! Ke situ pulak."

Mak Siti gelak besar. "Along, Along. Macam tak biasa pulak kamu ni. Kamu kan kawan baik dia mestilah selalu dapat habuan. Pergi teman shopping dia belanja, yang ni kamu nak sambut birthday dia, takkanlah nak sambut free je, kan?"

Sisi mata duitan Mak Siti semakin terang. Kalau bab duit ni, memang dia mahu bolot semua. Sampaikan sanggup gunakan anak-anak sendiri demi keuntungan peribadi.

"Yalah. Mak ni macamlah tak kenal Along. Lagipun bukan mak sorang je tau yang nakkan ganjaran tu. Along pun naklah."

Habis terburai gelak tawa mereka. Gelak tawa jahat. Gelak tawa persis karakter antagonis dalam drama.

Nadia dan Mak Siti. Kalau mahu diibaratkan, mereka seperti pantulan cermin. Dua kali lima saja perangai.

"Bagus! Macam ni la anak mak. Bukan macam adik kamu tu. Degil. Mak suruh buat apa bukannya nak dengar. Lepastu yang tahu makan, tidur, habiskan duit orang. Itu je lah kerjanya." Tiba-tiba angin Mak Siti berubah 200 peratus apabila mengingatkan anaknya yang seorang lagi tu.

"Macamlah mak tak kenal dengan Angah tu. Hidup dia tu memang sentiasa menyusahkan je kerja." Tikaman lidah Nadia mulai mencucuk-cucuk ibunya.

"Menyusahkan sikit je mak boleh terimalah. Ni dah betul-betul menyusahkan. Darah mak ni dah boleh jadi tinggi level KLCC tau tak?"

Nadia mengerutkan dahi lagi tanda tak faham perkara yang ingin disampaikan ibunya.

"Betul-betul menyusahkan? Dia buat apa lagi tu?"

"Kelmarin dia minta duit kat mak. Dia minta seratus. Katanya nak repair motor. Motor dia rosak."

Mak Siti menggelengkan kepalanya. Pening kalau mahu fikirkan pasal Damia tu.

"Aik? Bukan ke motor dia baru je beli dua bulan lepas? Takkanlah dah rosak?" Nadia bertanya kehairanan.

"Tulah yang mak pelik."

"Habis tu? Mak bagilah duit tu kat dia?"

Mak Siti hanya mengangguk. "Kamu tau kan perangai adik kamu tu macam mana. Kalau tak bagi, mulalah perangai merajuk dia tu. Tak nak makanlah, tak nak jaga kedailah. Kalau tak nak jaga kedai, rugilah mak."

KASIH SEMENTARAWhere stories live. Discover now