Bab 17: Tanpa Rela

96 29 0
                                    

AIR Milo yang siap dibancuh dihidang di atas meja untuk tetamu dua beranak itu. Sambil itu, Damia hanya mampu lemparkan senyum kepada mereka berdua. Senyum yang nampak jelas terpaksa dan dipaksa.

"Amboi, Damia. Makin segak kamu ni. Padahal setahun sekali kita jumpa tapi makin berseri-seri kamu ye," puji Mak Cik Zainab.

"Eh, mana ada. Biasa je mak cik." Damia tersengih malu. Padahal dalam hati berbunga-bunga jugalah rasa.

"Tengoklah anak siapa. Anak Siti Hasmah, kan?" Mak Siti pula menyampuk. Sibuk dan tak nak kalah sungguh.

Damia tayang muka menyampah tatkala dua sekawan itu tertawa riang. Tetapi sempat dia lirikkan ekor matanya ke arah Lokman. Lelaki itu sedang asyik menatapnya. Tidak!

"Umm ... Damia." Lokman mulakan perbualan.

Ketika itu juga suasana terus senyap. Mak Siti dan Mak Cik Zainab seperti tahu-tahu saja mahu memberi ruang kepada anak masing-masing mulakan sesi pikat-memikat.

"Hmm?"

"Awak sihat?"

Damia telan liur. Soalan dari Lokman itu mudah dan ringkas sahaja tetapi entah kenapa terasa seperti susah pula mahu lontarkan jawapan.

Bukannya dia benci akan lelaki itu tetapi dia sedaya upaya cuba untuk menjaga jarak antara mereka biarpun dia tahu tujuan dua beranak itu datang ke rumah ini.

"Sihat," jawab Damia singkat, padat dan jelas.

"Kalau tak ada apa-apa, Damia pergi naik atas dululah ye. Minumlah," sambung Damia dengan selambanya. Tanpa segan-silu dia terus beredar dari ruang tamu itu untuk menuju ke ruang tidurnya.

Dia sudah tiada semangat mahu melayan tetamu lebih-lebih lagi mereka yang mahu berbincang tentang hal perkahwinan ini. Rasa malas dan beban.

Mak Siti tertawa kecil mahu kurangkan rasa janggal. "Aduh Damia ni. Malu-malu pulak dia. Biasalah, budak-budak zaman sekarang ni manalah nak pandai layan tetamu. Semua nak harapkan mak masing-masing, kan ... ."

Mak Cik Zainab dan Lokman hanya membalas tawa sahaja. Tak tahu mahu bereaksi apa.

Dalam hati Mak Siti, dia sudah gelabah tak tentu arah. Iyalah, Si Damia itu pergi menonong begitu saja. Nanti apalah pula Mak Cik Zainab ini fikirkan. Mahu nanti rancangan perkahwinan itu dibatalkan, memang masaklah dirinya itu.

Mak Siti dengan penuh kalutnya terus mendapatkan anaknya yang baru sahaja menapak satu anak tangga untuk menuju ke biliknya. Aduh! Kacau line betullah.

"Angah! Hoi, kamu ni dah kenapa ha? Nak lari dari Lokman? Kamu tahu tak dia tu siapa? Dia tu bakal suami kamu tau. Lagipun bukannya kamu tak kenal dia pun," tengking Mak Siti.

Waktu beginilah yang sesuai mahu "dibasuh" puas-puas anaknya itu tatkala dua tetamu itu masih di ruang tamu.

Damia tarik mukanya. Makin menyampah pula rasanya. Memang dirinya tak akan tenang selagi belum selesainya rancangan perkahwinan itu. Perkahwinan paksa.

"Mak, Angah penatlah. Mak jelah yang layan Lokman dengan Mak Cik Zainab tu. Dan untuk pengetahuan mak, Angah tak pernah setuju pun tentang perkahwinan ni dan Angah tak akan setuju sama sekali," balas Damia geram.

Segera dia sambung semula langkahnya setelah hamburkan amarah yang terbuku di hati itu. Puas. Kalau boleh mahu sahaja dia menempik jawapan itu sekuat hati sehingga Lokman dan Mak Cik Zainab mendengarnya tetapi Damia sedar, dia tak nak mempermalukan ibunya.

"Ni mesti sebab penjual sate tu kan?"

Langkah Damia automatik terhenti. Air liur perit ditelan.

KASIH SEMENTARAWhere stories live. Discover now