Bab 27: Luahan Hati

44 13 0
                                    

BIASAN wajahnya pada cermin diamati dengan teliti. Nak kata comot seperti yang diungkapkan ibunya tadi, taklah sangat. Cuma sememeh sedikit saja.

Jari-jemari diseluk ke dalam beg tangan. Sehelai tisu basah ditarik lalu disapu tisu itu pada setiap inci wajahnya. Solekan yang ditepek tadi habis tertanggal. Tapi tak mengapalah, lebih baik ditanggalkan semua kesan solekan itu daripada solekannya kelihatan tak sekata seperti tadi.

Kerana malas mahu mengenakan solekan baru, Damia biarkan sahajalah wajahnya tanpa secalit pun solekan. Malas. Buat apa mahu cantik-cantik di hari pernikahan paksa ini! Damia merengus.

Damia capai beg tangan yang diletak di tepi singki. Belum sempat langkahnya melepasi pintu tandas, terasa sesuatu bergetar di dalam beg tangan. Cepat-cepat Damia buka zip beg dan diambil telefon pintar miliknya.

Disangka Syafiq, tetapi bukan. Semangat Damia jatuh menjunam semula apabila dilihat nama yang terpapar pada skrin itu padahal hatinya baru sahaja berkobar-kobar. Dalam benaknya, mungkin benar apa yang diduga. Syafiq sudah tekad mahu memutuskan tali persahabatan antara mereka.

Tapi tidak mengapa, Damia cuba abaikan dulu lelaki itu. Sekarang ini, dia perlu utamakan panggilan masuk itu. Lagipun si pemanggil itu juga merupakan antara gerangan yang agak rapat dan baik dengannya.

"Assalamualaikum, Najihah."

"Waalaikumussalam, Damia. Maaf call awak tiba-tiba. Majlis nikah awak dah selesai ke?" tanya Najihah.

Damia diam seketika. Kalau diikutkan, dirinya amat berharap majlis ini tak akan terjadi pun.

"Belum. Tok kadi belum sampai lagi," jawab Damia jujur.

Najihah angguk. Getaran yang kedengaran pada suara Damia turut dirasa. Dia tahu, pernikahan ini bukan yang Damia inginkan. Tetapi siapalah dia mahu mencampuri urusan keluarga orang lain. Lagipun bukankah selepas pernikahan Damia ini, peluangnya untuk mendapatkan Syafiq semakin luas?

"Ye ke. Saya call awal sangat ni." Najihah tertawa kecil. Damia pun turut membalas tawa biarpun anginnya tidak baik sepanjang hari ini.

"Tapi alang-alang saya call awak, saya nak ucap selamat pengantin baru, Damia. Walaupun kita baru kenal beberapa bulan je, tapi saya seronok berkawan dengan awak," ucap Najihah seikhlas hati.

"Terima kasih, Najihah." Damia senyum pahit. Tersentuh dengan kata-kata Najihah biarpun dirinya mahu lenyapkan diri dari pernikahan ini.

Najihah masih tak bosan untuk menghubunginya. Tak disangka, dia berpeluang untuk berkawan dengan orang yang sebaik Najihah ini. Sedikit sebanyak Najihah sentiasa ada untuk kurangkan rasa keluh-kesah.

Tapi jauh di sudut hatinya, timbul satu rasa ketidakpuasan. Najihah setia menghubunginya, tetapi Syafiq? Takkanlah sehingga sekarang Syafiq masih mahu mengabaikannya seperti dirinya tak pernah wujud dalam hidup lelaki itu? Kelakuan Syafiq itu umpama mengantung dirinya tak bertali.

"Lagi satu ..." Najihah jeda bicaranya. "Tadi saya ada call Syafiq," ucap Najihah. Bercakap mengenai Syafiq kepada Damia itu amat berat bagi dirinya tetapi apakan daya, dia harus sampaikan jua apa yang dipinta oleh lelaki itu tadi.

Dengar sahaja nama Syafiq, Damia buntangkan mata. Baru sahaja dia terfikirkan tentang lelaki itu. Perasaannya bercampur-baur antara lega, sedih, marah dan kecewa. Tetapi rasa marah mendominasi perasaannya. Kenapa baru sekarang?

"Awak cakap apa dengan dia?" Perlahan sahaja suara Damia.

"Syafiqah demam, sebab tu saya call dia untuk tanyakan keadaan Syafiqah. Saya nak tanya tu je sebenarnya. Tapi belum sempat saya tutup panggilan, dia pulak mahu sampaikan sesuatu. Dan benda tu dia mahu sampaikan kat awak, Damia."

KASIH SEMENTARAWhere stories live. Discover now