Bab 46: Masalah

29 8 0
                                    

PELEKUH penghidup motosikal ditendang buat kesekian kalinya. Sampai nak tercabutlah rasanya Syafiq menendang benda alah tu tetapi enjin motosikalnya tetap tak kunjung hidup. Syafiq merengus geram.

Rasanya baru beberapa minggu lepas, dia sudah bawa motosikalnya diservis di bengkel kepunyaan Mail. Takkanlah sekejap sahaja motosikalnya sudah buat hal. Nak kata Mail tipu, itu tak mungkin. Dia sudah kenal Mail lebih dari 10 tahun, dan servis yang keberikan Mail sentiasa memuaskan.

Mungkin, motosikal tu dah tua agaknya. Nak hidup enjin pun, semput-semput aje bunyinya. Dia suruh tukar motosikal barulah tu.

Alahai, dugaan betul. Waktu nak ambil isterinya pulang dari kerjalah motosikalnya nak buat hal.

Daripada dia biarkan isterinya itu menunggunya yang pastinya takkan kunjung tiba, dia mesti telefon isterinya segera. Terpaksalah dia biarkan isterinya tu pulang sendiri hari ini.

"Sayang, abang mintak maaf sangat sebab buat sayang tertunggu. Abang nak bagitahu yang motor abang rosak. Abang tak boleh ambik sayang baliklah hari ni. Abang mintak maaf sangat." Syafiq mulakan ucapan apabila panggilannya diangkat Damia.

"Ooo ... ye ke. Tak apalah. Kalau macam tu saya balik sendiri."

"Sayang tumpanglah kawan ke, naik Grab atau pun teksi ke. Janji balik. Kalau naik Grab tu, duit nanti abang bayar balik tau. Abang mintak maaf sangat." Kata maaf masih tak putus dari dilontarkan Syafiq.

"Ish, abang ni. Tak payahlah mintak maaf. Bukan salah abang pun. Tak apa, saya usaha cari jalan untuk balik, ye."

"Terima kasih, sayang. Apa-apa hal, call abang."

Syafiq matikan talian dan keluhan berat dilepaskan. Wajahnya diraup kasar lalu skrin telefon ditatap semula. Nama Mail menjadi sasaran untuk dia buat panggilan seterusnya. Hanya kawannya itu sahaja yang mampu dia harapkan sekarang ini untuk selesaikan masalah yang dihadapi.

*****

Damia kerling jam di tangan. Sudah hampir 20 minit dia menunggu di pondok perhentian bas ini. Selalunya dia menunggu suaminya datang menjemput di situ dan suaminya tak pernah terlambat walaupun seminit pun untuk mengambilnya. Hari ini, lain pula jadinya.

Gegelung gelisah sudah melingkar dalam hati. Dia pandang kawasan di depannya. Jalan raya agak sibuk kerana waktu begini orang ramai sudah pulang dari bekerja. Lepas itu dia alihkan pandangan ke arah bangunan syarikat VeoBay Group yang hanya terletak beberapa meter dari situ. Tadinya kawasan parkir di depan bangunan itu dipenuhi kereta, tapi sekarang sudah beransur lengang.

Orang lain yang menunggu di perhentian bas itu sudah beredar pergi apabila bas yang ditunggu mereka tiba. Maka tinggallah Damia berseorangan. Makin tak tentu arah Damia jadinya. Suami aku ni lupa ambik aku ke? Dah nak dekat setengah jam dah ni. Soal Damia dalam hati.

Lebih baik dia dail suaminya sekarang. Mungkin betul suaminya terlupa. Maklumlah, suaminya tu kan, kadang terlalu busy sediakan satenya untuk dibawa meniaga kejap lagi.

Tapi apabila Damia bawa keluar sahaja telefonnya dari tas tangan, peranti itu berdering. Perkataan 'Husband' terpapar pada skrin. Automatik bibir Damia senyum segaris. Rupanya, suaminya tak lupa pun tentang dirinya. Macam tahu-tahu aje suaminya tu.

Panggilan dijawab. Suara suaminya di hujung talian didengar dengan penuh fokus. Dengar nada suaminya bercakap, seperti suaminya tu tergocoh-gocoh mengejar sesuatu. Tiada ketenangan yang tersurat dalam nada bicaranya.

Kepala Damia digelengkan dan perkataan tak mengapa dipaculkan. Lalu dia senyum sekadar memaniskan wajah. Biarpun begitu, riak kekecewaan tak mampu disembunyikan. Kalau Syafiq nampak wajah Damia sekarang ini, pasti lelaki itu ditindih dengan rasa bersalah yang menggunung.

KASIH SEMENTARAWhere stories live. Discover now