Bab 28: Aku Terima Nikahnya

83 14 0
                                    

"AKU terima nikahnya Nur Damia Qistina Binti Hassan dengan mas kahwinnya 35 ringgit tunai."

Dengan terlafaznya akad pada waktu petang di pejabat agama tadi, kini Damia sudah sah menjadi suri hati kepada seorang lelaki yang amat dicintainya. Betapa syukurnya dia rasakan sekarang ini kerana setelah pelbagai rintangan dan cabaran yang dia dan Syafiq hadapi, akhirnya cinta mereka terikat jua.

Biarpun pernikahan tadi sememangnya tidak diterima baik oleh ibunya, tetapi alhamdulillah ibunya tidak buat hal yang bukan-bukan. Tetapi itulah, muka ketat sentiasa ditayang sepanjang proses akad tadi. Sewaktu Syafiq mahu menyalami ibunya sahaja, seperti dalam jangkaan jabat tangan itu tak terbalas.

Damia sugul. Dia yang memilih jalan ini tetapi Syafiq yang terima padahnya. Sampai bila ibunya itu mahu terbuka hati untuk menerima Syafiq? Dia tahu pernikahan ini tak direstui dan dia berharap sangat yang ibunya itu akan berubah. Tapi tak mengapa, sedangkan pantai boleh berubah, inikan pula hati manusia. Damia cuba menyedapkan hati.

Kedengaran pintu diketuk beberapa kali sebelum ada seseorang menguaknya. Daun pintu ditolak perlahan-lahan sebelum tubuh Syafiq kelihatan sepenuhnya.

Rambut basahnya yang sedikit berjuntai menutupi dahi membuatkan Damia pegun. Baru selesai solat agaknya. Tak pun, mandi? Tapi mandi apanya dengan waktu lewat sebegini. Lagi satu jam mahu masuk ke hari baru pula tu.

"Assalamualaikum ..." Turut lelaki itu lorekkan senyuman kepada Damia yang masih membatu.

"Waalaikumussalam." Damia membalas senyuman. Tiba-tiba rasa gugup memukul diri. Adakah ini perasaan normal bagi seseorang yang bergelar pengantin baru?

Syafiq terus menutup pintu sebelum langkahnya ditujukan ke arah katil. Dia labuhkan punggung betul-betul di sebelah Damia. Masing-masing terus senyap. Ini kalau dibiarkan, sampai keesokan harilah mereka takkan bercakap.

"Syafiqah tidur dah ke?" tanya Damia yang cuba menghalau kejanggalan.

"Haah. Baru je tidur."

Damia angguk. Patutlah beria-ia masuk bilik. Si adik dah masuk tidur rupanya.

"Bilik ni okey tak? Maaflah sebab sempit sikit." Syafiq teruskan berbual.

"Eh, okey je awak. Selesa je," jawab Damia.

Biarpun bilik Syafiq sedikit kecil jika mahu dibandingkan dengan biliknya, tetapi tidaklah sesempit seperti yang dikatakan. Katil pun boleh tahan besar juga. Cukuplah untuk tidur berdua.

"Haih ... tadi kata dah janji tak nak guna perkataan awak lagi dengan abang. Takkan dah lupa?"

Damia tepuk dahinya. Alamak! Gugup punya fasal sampaikan lupa janji sewaktu baru melangkah masuk ke dalam rumah tadi. Petang tadi, mereka sama-sama sudah bersepakat dengan perkara tersebut. Cik isteri dipanggil sayang, encik suami pula dipanggil abang. Yalah, mereka sudah menjadi pasangan suami isteri, nak juga dipanggil dengan panggilan mesra.

"Maaf, abang." Damia tersenyum nipis. Syafiq turut membalas senyum. Tak mengapalah, bukan hal besar pun. Lagipun masing-masing masih cuba menyesuaikan diri dengan suasana dan status yang baru.

Keadaan menjadi senyap semula. Mata Damia meliar cuba mengamati seluruh pelosok bilik. Padahal dari petang tadi dia berkurung dalam bilik itu. Keluar dari bilik tadi pun sekali sahaja. Itu pun sewaktu makan malam.

Kelihatan mereka seperti susah hati tetapi sedaya upaya cuba menyembunyikannya. Mungkin masing-masing sedang memikirkan nasib yang bakal menimpa pada masa hadapan. Nasib tentang perkahwinan mereka. Tetapi mahu fikirkan jauh-jauh pun, bukannya boleh buat apa pun. Mereka berdua yang bersetuju sendiri dengan pernikahan ini tanpa adanya paksaan.

KASIH SEMENTARAWhere stories live. Discover now