Bab 38: Dalang

40 9 3
                                    

LOKMAN. Hanya sebaris nama itu mampu membuatkan darah Syafiq menggelegak. Dendamnya kepada Lokman menjulang-julang tinggi.

Dia tak menyangka bahawa Lokmanlah pelakunya apabila dia hadir di balai polis tadi. Sebaik sahaja pihak polis menyatakan maklumat tentang pelaku itu, hatinya redam. Jiwanya terasa tersiat-siat. Tak pernah terlintas dalam fikirannya bahawa Lokman dalang di sebalik kebakaran itu.

Fikirnya dulu, setelah dia berkahwin bersama Damia, Lokman dapat menerima semuanya. Lokman juga sudah lama tidak menampakkan dirinya setelah Damia lari dari hari pernikahannya. Jadi kerana itu Syafiq fikir Lokman sudah reda bahawa Damia bukan jodohnya.

Tetapi semua itu salah! Lokman menyimpan dendam terhadap dirinya. Dendam kesumat yang menyebabkan tergadainya nyawa Syafiqah yang tidak bersalah. Panas relung dada Syafiq mengingat semula kejadian itu. 

Mujur atas prosedur dan arahan polis, ahli keluarga mangsa tidak dibenarkan bertemu dengan pelaku jenayah kerana tidak mahu pelbagai masalah timbul. Jika Syafiq bersua muka dengan Lokman tadi, entah apalah nasib yang bakal diterima Lokman. Silap-silap boleh jadi arwah Si Lokman itu.

Syafiq sudah bertekad bahawa dia takkan berlembut dengan Lokman. Mahu dia ajar Lokman itu sehingga separuh mati. Tetapi sanggupkah dia bersemuka dengan lelaki yang membuatnya menderita sejak-sejak ini? Syafiq mahu lihat muka Lokman pun rasa jijik.

Lokman sudah ditahan di jel dan akan disoal siasat untuk siasatan lanjut. Biarlah pihak polis sahaja yang melakukan kerja mereka mengikut undang-undang,

Undang-undang. Perkataan itu terngiang-ngiang dalam benak Syafiq. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika Lokman disabit kesalahannya kerana membunuh dengan niat.

Hutang nyawa dibayar nyawa! Setelah pelakunya ditangkap, hanya perbicaraan di mahkamah sahaja yang tinggal sekarang ini. Syafiq berharap keadilan memihak kepadanya. 

Dikhabarkan juga, Mak Cik Zainab juga sudah mengetahui tentang berita anaknya diberkas tadi. Dirinya terus dilarikan ke hospital kerana pengsan sebaik sahaja polis tiba di rumahnya. Ibu mana yang dapat menerima anak mereka melakukan jenayah? Lebih-lebih lagi jenayah yang sudah meragut nyawa seseorang. 

Syafiq raup wajahnya berkali-kali. Rasanya dalam minggu ini, bertalu-talu masalah datang memukul dirinya. Tanpa henti, tanpa sempat dia menarik nafas lega. Ada saja benda yang datang menerpa.

Memikirkan perihal Lokman sememangnya memeningkan kepala. Lokman, pelaku kebakaran itu sudah ditangkap tetapi kenapa dia tak boleh berasa lega? Adakah kerana dia masih tak boleh terima akan kematian Syafiqah disebabkan lelaki itu?

Terlintas sahaja nama Syafiqah dalam kepala, Syafiq terus bertukar lemah. Matanya bertakung dengan air semula. Nafas dihela panjang sebelum dia buka langkah menuju ke sebuah meja kayu.

Di atas meja kayu itu, terletaknya senaskah al-Quran yang masih dibalut plastik lut sinar. Al-Quran peninggalan keluarganya. Al-Quran yang dipeluk Syafiqah ketika tragedi itu. Luarannya sedikit kehitaman kesan kebakaran itu tetapi isi kandungannya masih selamat tanpa sedikit cela.

Itu adalah salah satu keajaiban yang Syafiq saksikan di hadapan matanya. Tatkala harta benda walhal tubuh seseorang sudah rentung dimamah api, al-Quran itu masih elok fizikalnya.

Pernah dia membaca di dada akhbar dan kaca televisyen tentang kejadian itu. Rumah hangus terbakar, tetapi al-Quran tetap selamat. Tak sangka, perkara itu dia saksikan betul-betul di hadapannya.

Al-Quran itu diambil dan langkahnya diatur semula duduk di birai katil. Syafiq terus memeluk al-Quran itu seerat-eratnya. Apabila dia memeluk kitab itu, dirinya terasa dekat dengan keluarganya. Air mata turun dengan galak saking kesedihan yang ditanggungnya.

KASIH SEMENTARAWhere stories live. Discover now