Bab 30: Kemaafan

45 12 0
                                    

SUASANA senyap. Sudah lima minit mereka bertandang di ruang tamu itu, tetapi satu suara pun tidak kedengaran. Masing-masing masih membisu. Yang kedengaran pun, hanyalah suara penyampai berita di televisyen. Berita yang disampaikan pun sememangnya serius, maka tak hairanlah jika situasi di ruang tamu itu bertambah tegang.

Mak Siti tidak sesaat pun mahu memandang tiga manusia yang kini di hadapannya. Sengaja matanya dialihkan ke kaca televisyen. Dirinya tak kuasa mahu melayan tetamu yang tak diundang itu.

Tetapi itulah, tindakan Mak Siti itu di luar jangkaan Damia dan Syafiq. Mereka fikir, mungkin awal-awal lagi mereka sudah dihalau, tetapi lain pula jadinya. Pintu dibiarkan terbuka apabila Mak Siti sedar akan kehadiran mereka. Jadi itu cukup baik bagi mereka. Cuma cara layanan Mak Siti itu sahajalah yang menjadi isu sekarang ini.

Tanpa membuang masa, Damia paksakan diri untuk memulakan langkah. Dia mendekati Mak Siti dan kepalanya ditunduk. Tangan berkedut ibunya diraih. Keampunan dari ibunya harus dimohon. Sudah banyak dosa yang dia lakukan, semata-mata kerana cinta. Tetapi tak sanggup juga dia melepaskan cinta, hanya kerana harta. Restu seorang ibu mesti dipinta.

"Mak ... angah mintak maaf, mak. Angah tahu mak masih marahkan angah, tapi angah tak nak kita jadi macam ni. Angah masih sayangkan mak." Air mata mencurah turun dari kolam mata.

Mak Siti merentap tangannya kasar. Takkan sesekali dia robohkan batu-bata keegoan yang sudah dia dirikan selama ini. Takkan sekali-kali dia berlembut dengan mereka-mereka yang menentang perancangannya dahulu. Kerana mereka, persahabatannya dengan Mak Cik Zainab goyah. Kerana mereka jugalah dirinya terpaksa menanggung malu dengan apa yang sudah terjadi.

Syafiq terus mendekati isterinya yang ditawan tangisan. Wajahnya turut tertunduk. "Mak, Syafiq pun nak mintak maaf. Syafiq tahu mak bencikan Syafiq dari dulu. Tapi tolong bagi peluang untuk ..."

"Kau diam! Kau tak layak panggil aku mak. Sampai mati pun aku tak akan anggap kau sebagai menantu aku!" jerkah Mak Siti yang kini matanya tepat memanah Syafiq.

Syafiq hela nafasnya. Sudah diagak apa yang bakal dihamburkan Mak Siti itu sebelum dia menapak ke dalam rumah ini lagi. Dia sedar dirinya siapa. Dirinya bukannya menantu pilihan. Tapi dia tekad berusaha sedaya upaya agar ibu mentuanya itu dapat menerimanya.

Tubuh Damia terketar-ketar menahan tangis dan geram sekali gus. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia membalas kata-kata ibunya tadi tapi apabila dia teringat akan permintaan Syafiq sebelum mereka bertolak keluar rumah tadi, dia akur. Syafiq sudah memesan kepada dirinya agar tidak melawan dan terima sahaja setiap bait bicara ibunya.

Syafiq menggenggam tangan isterinya seperti mahu saling menyalurkan kekuatan. "Selagi saya bergelar suami kepada Damia, selagi tu tiada apa-apa panggilan yang boleh saya panggil Mak Siti daripada panggilan mak. Mak tetap mentua Syafiq. Syafiq pun dah anggap mak macam mak Syafiq sendiri," tutur Syafiq dengan lancarnya.

Mak Siti tertawa sinis. "Jangan mimpilah. Kau fikir kau berpura-pura baik depan aku ni, aku nak restui hubungan kamu berdua?" Dia bangun dari duduknya. "Jangan fikir aku bagi kau orang masuk rumah aku ni, aku akan restui perkahwinan kau orang tu, tau."

Damia pantas menghalang kaki ibunya dari terus melangkah. Kaki ibunya dipeluk kuat dan ucapan rayunya tidak henti keluar dari mulut.

"Mak ... kalau mak tak boleh terima Syafiq, Syafiq reda. Asalkan mak dapat maafkan Damia. Damia tu masih anak mak. Saya tak akan paksa mak terima saya serta-merta," rintih Syafiq yang turut melutut. Doa kepada Yang Maha Esa tidak henti dipinta dalam hati. Semoga ibu mentuanya seorang ini dapat berlembut hati.

"Eleh ... jantan macam kau ni aku takkan percaya." Mata Mak Siti mencerlung tajam ke arah lelaki itu. "Kau mesti sengaja kan bawak Damia datang sini untuk berbaik dengan aku, sebab kau nak bolot harta aku kan!" Jari telunjuk dituding tepat ke wajah Syafiq.

KASIH SEMENTARAOnde histórias criam vida. Descubra agora