Bab 43: Berita Baik

35 6 2
                                    

TERPEKIK-pekik Damia memanggil suaminya dari luar. Memang tak dihiraukan sudah orang sekeliling sebaik sahaja dia turun dari kereta Grab itu.

Kasut dicabut tanpa sempat dia susun. Terus dia boloskan diri masuk ke dalam rumah tanpa memberi salam. Nampak gaya berlari, macam baru kena kejar dengan hantu aje Damia ini.

"Ye, sayang. Kenapa ni? Tak malu ke menjerit-jerit macam tu." Syafiq yang sedang memotong sayur-sayuran terus hentikan tugasnya. 

Damia tak hiraukan teguran suaminya. Dia terus duduk di atas kerusi menghadap suaminya. Termengah-mengah dia mencuri nafas. Berlari dari luar macam kena kejar, padahal tak ada apa pun.

"Abang, saya ada berita baik nak bagitahu." Damia tak mampu kawal senyumnya.

Syafiq terus mencelah, "Sayang dapat kerja, kan?" tekanya.

Memang sahlah dapat kerja melihat akan reaksi isterinya itu. Pulang dari temu duga dalam keadaan ceria tak seperti selalu, tipulah kalau Syafiq tak tahu. Jadi, itu sahaja berita baik yang masuk akal pun.

Damia angguk laju. Barisan gigi putihnya tak dapat disembunyikan. Memang betul pun! Syukur, Ya Allah.

"Alhamdulillah ...," ucap Syafiq lalu dia raup wajahnya. Begitu juga isterinya. "Jadi sayang dapat kerja jadi apa kat tempat Zaid tu?" soalnya.

Damia mengulum senyum. "Jadi personal assistant dia. Dia lantik saya dalam lima bulan gantikan sorang akak ni. Akak tu cuti bersalin tiga bulan. Tapi sebab dia ikut suami dia duduk kat Australia, dia tambah cuti tanpa gaji dua bulan. Jadi, saya akan kerja dengan Zaffranlah sepanjang lima bulan tu. Tapi kalau prestasi saya memuaskan, dia akan suruh saya kerja sepenuh masa gantikan akak tu," beritahu Damia dengan rasa yang terujanya.

Baru sahaja pisau yang dipegang mahu membelah timun, Syafiq tersentak. Wajah isterinya yang tak lekang dengan senyum itu dipandang tajam.

"Jadi personal assistant?" tanya Syafiq seolah-olah tak percaya.

"Ye, jadi PA. Pembantu peribadi dia. Kenapa? Abang tak suka ke?" 

Wajah Syafiq terus berubah muram. Seperti ada aura hitam yang merasuki tubuhnya. Padahal tadi dia turut kelihatan gembira dengan khabar yang diberitakan isterinya itu. Apabila dia tahu sahaja jawatan kerja yang ditugaskan untuk isterinya, terus dia berubah 180 darjah.

"Abang tak suka saya jadi PA?" ulang Damia tatkala suaminya masih membisu.

Keluhan berat kedengaran. "Bukan tak suka tapi abang macam tak percaya pulak yang Zaid tu sanggup lantik sayang jadi PA dia. Abang ingat sayang dapat jadi staf biasa je. Jadi akauntan ke, auditor ke. Tu abang tak terkejutlah sangat. Ni ... jadi PA!"

Damia segera berpindah tempat untuk duduk bersebelahan suaminya. Lengan suaminya dipaut. 

"Saya tahu abang tak berkenan dengan kerja saya tu. Saya pun mula-mula terkejut jugak. Kalau ikut qualification saya, memang saya tak layak pun kerja kat sana tapi Zaffran yang kasi saya peluang. Dia nampak kesungguhan saya nak bekerja. Saya pun, dah rezeki datang bergolek, takkan nak sia-siakan pulak," terang Damia panjang dan lebarnya demi mendapatkan persetujuan suami yang mukanya sudah mengalahkan pelam muda.

Syafiq biarkan lengannya dipaut erat. Tak mahu meleraikan pautan isterinya yang tak putus merayu. Lagipun isterinya tak salah pun kenapa dia mahu marah? Bukankah dia sendiri yang suruh Damia pergi mencuba nasib di syarikat Zaid itu tetapi kenapa dia seperti tak boleh terima apabila Damia dapat kerja di sana?

"Walaupun abang ni orang kampung, abang tahu PA tu buat apa. Kerja PA tu ikut je buntut bos setiap masa. Sayang tu dah kahwin. Suami sayang ada kat depan mata sayang ni," kata Syafiq jujur. 

KASIH SEMENTARAWhere stories live. Discover now