Bab 29: Izin

54 12 0
                                    

MULUT semakin rancak mengunyah kerepek. Hanya dengan mengunyah sesuatu sahaja yang dapat meredakan geramnya.

Mana taknya, baru sahaja Mak Siti mahu bersenang-lenang, tiba-tiba dia mendapat mesej dari Damia. Kalau setakat mesej merayu memohon ampun, mungkin dia boleh abaikan jugalah. Tetapi mesej ini Damia menyatakan yang dia mahu membawa Syafiq dan adiknya ke rumah! Itu gila namanya.

"Mak! Takkanlah mak nak biar je angah tu bawak suami dia kat sini? Siap nak bawak adik ipar dia sekali pulak tu. Mak halanglah dia," cadang Nadia tak puas hati. Sekarang ini, jurus menghasut ibunya patut digunakan.

Mak Siti masih terdiam. Nafas dihela panjang. Otaknya masih tak henti memikir untuk membuat keputusan apakah patut dia menerima kunjungan tersebut atau menghalau sahaja.

"Itulah mak. Berlembut sangat dengan angah tu. Hari tu bukan main lagi nak jodohkan dia dengan Lokman. Lepas tu, bila angah dengan penjual sate tu kahwin, mak biarkan pulak. Peninglah!" sambung Nadia lagi.

Kali ini jelingan tajam dihadiahkan Mak Siti. Anaknya itu dari tadi mengomel sana sini, nanti ada juga yang makan penampar.

"Kamu boleh diam tak? Mak tengah pening ni tau. Ni tambah kamu pulak tak henti-henti bercakap, lagi serabutlah mak!" marah Mak Siti dengan mata mencerlungnya.

"Ala, mak. Nak fikir apa sangat. Sepatutnya mak kena putuskan hubungan dengan laki bini tu. Senang. Dah angah suka melawan mak, mak halaulah dia."

"Ewah ... cakap senang eh kamu ni. Lebih sudu dari kuah! Mak separuh nyawa lahirkan angah tu, takkan mak senang-senang nak buang dia. Sejahat-jahat mak, mak ada hati perut lagi tau. Bukan macam kamu tu," bidas Mak Siti.

Kadang terasa melampau pula anak sulungnya itu. Salah dari dirinya sendiri juga kerana terlalu manjakan anak kesayangannya itu sampaikan mulutnya pun tak bertapis.

Nadia mencebik. Kena sindir dengan ibu sendiri, tahu pun sentap. 

"Along pun ada hati perutlah mak. Kalau along tak ada hati perut, dah lama along mintak macam-macam kat penjual sate tu sebab angah dah langkah bendul along tau. Tapi bila difikirkan, macamlah penjual sate tu ada duit sangat nak beli macam-macam." Nadia membuka mulut lagi. Masih cuba mempertahankan perdebatannya.

"Padan muka kamu kena langkah bendul dengan adik sendiri. Lain kali cakap besar lagi. Nak kahwin dengan CEO la, anak Datuk la. Last-last, jadi andartulah kamu," balas Mak Siti semula. 

Apabila dibedil sebegitu oleh ibunya, Nadia terus mati kata. Mahu menyangkal, pasti ibunya ada saja bahan untuk membidas. Sudahlah, daripada biarkan perbualan menjadi tak berpenghujung, lebih baik dia diamkan diri tanda mengalah biarpun hati masih panas.

Mak Siti menyambung kunyahannya. Geram. Berdebat dengan anaknya yang seorang ini, bukannya membantu pun. Malah makin merosakkan keadaan adalah.

Mak Siti jeling Nadia yang kini mengalihkan fokusnya kepada telefon pintarnya. Tersenyum-senyum anaknya bermain telefon. Entah apalah yang dibuatnya itu. Pantas jelingan Mak Siti kepada anaknya bertukar. Matanya sedikit membulat. 

"Kamu hari ni tak kerja ke? Kelmarin bukan kamu dah ambik cuti ke?" tanya Mak Siti dengan penuh rasa keganjilan.

Nadia tujukan pandangan ke arah ibunya. Matanya menerawang mencari idea untuk menjawab soalan ibunya. Lihat ibunya yang sedang memasang muka serius itu, Nadia hela nafasnya.

"Err ... along dah berhenti kerja, mak," jawab Nadia jujur.

"Hah? Berhenti kerja?" Semakin terbeliak mata Mak Siti dengan jawapan tak disangka-sangka itu. 

Nadia telan liur lalu hanya tertawa janggal. Tertawa pun sekadar mahu ibunya tak berang dengan pengakuannya itu. 

"Habis tu? Siapa yang nak bagi duit kat mak bulan-bulan? Takkan nak harapkan kedai runcit tu je? Kamu tahu tak sekarang ni mak berharap kat kamu je?" 

KASIH SEMENTARADonde viven las historias. Descúbrelo ahora