Bab 11: Tanpa Duga

79 43 1
                                    

TELEFON tak lepas dari tangan Najihah. Dari tadi dia mengharapkan satu panggilan masuk dari seseorang tetapi panggilan itu tak kunjung-kunjung tiba sehinggalah ke malam hari.

'Patut ke aku call dia dulu?' desis hati Najihah kegusaran.

Dia beranikan diri jua untuk memulakan langkah. Log panggilan di telefon dia buka, kenalan yang disimpan sebagai "Syafiq" itu dia segera tekan dan dail.

Dalam beberapa saat sahaja, panggilan Najihah diangkat.

"Assalamualaikum, Najihah?" Kedengaran suara Syafiq di hujung talian.

"Waalaikumussalam, Syafiq. Maaf menganggangu. Sebenarnya ni saya nak tanya pasal Syafiqah. Kenapa dia tak datang kelas mengaji tadi? Ada benda yang berlaku ke?"

Nafas Syafiq kedengaran tercungap-cungap. "Syafiqah ... dia demam."

"Demam? Ya Allah!" Terbeliak mata Najihah mendengar berita itu.

"Awak tak bawa dia pergi klinik?" sambung Najihah yang sudah tak tentu arah. Mendengar pelajar kesayangannya ditimpa musibah, mana boleh bertenang.

"Klinik dah tutup malam-malam macam ni. Nak bawak pergi hospital, memang taklah Syafiqah tu nak pergi. Ni saya tengah beli ubat kat kedai," jawab Syafiq.

Najihah picit dahinya. Tak boleh jadi ni. Dirinya kena lakukan sesuatu.

"Habis tu? Awak tinggal Syafiqah sorang-sorang kat rumah?"

Syafiq terkejut. Syafiqah sekarang ditemani Damia di rumah, tetapi takkanlah dia mahu beritahu perkara sebenar. Tak naklah Najihah tahu yang dia benarkan Damia tinggal untuk satu malam di rumahnya itu.

"Syafiq? Syafiq? Kenapa senyap ni?" Berkali-kali Najihah memanggil Syafiq tetapi tiada jawapan dari mulut lelaki itu.

"Najihah. Se ... sebenarnya ..." Maju mundur perasaan Syafiq untuk bersuara.

Terdengar Syafiq seperti acuh tak acuh mahu menjawab, Najihah memotong, "Tak apalah, awak. Saya tolong tengok-tengokkan Syafiqah tu. Bye, Assalamualaikum."

Najihah tutup panggilan. Seraya tudung sarung labuh berwarna kelabu yang digantung dia ambil dan dipakainya.

"Najihah? Najihah? Tunggu!" Syafiq terus menggelabah tetapi dah terlambat.

Panggilan tiba-tiba diputuskan? Najihah mahu tengok-tengokkan Syafiqah? Itu bermakna dia akan bertemu Damia di rumah nanti. Tak boleh jadi!

Najihah keluar dari biliknya. Kunci kereta di dalam laci dia ambil sebelum dia meminta izin dari ayahnya yang sedang berada di ruang tamu.

"Abi, Jihah nak keluar kejap." Tangan Pak Ya Najihah kucup.

"Eh? Nak pergi mana malam-malam ni?" Terkebil-kebil mata Pak Ya.

"Syafiqah demam. Tu yang Jihah nak pergi tengok dia kejap. Si Syafiq tu pun satu. Dah tahu adik dia demam, tinggal adik dia sorang-sorang kat rumah," terang Najihah dengan perasaan geram. Padahal dirinya itu yang salah faham terhadap Syafiq. Dia tak tahu lagi akan perkara yang sebenar.

"Syafiqah demam?"

"Itulah. Ni yang Jihah nak pergi tengok-tengokkan Syafiqah tu. Risau betullah hati Jihah ni Abi."

"Ha, yalah. Malam-malam bawak kereta tu hati-hati tau. Kalau ada apa-apa, call je Abi." Pesanan dari Pak Ya sempat dia titipkan.

Najihah mengangguk laju. Kakinya melangkah keluar dari rumah dan segera masuk ke dalam perut kereta berjenama Avanza miliknya.

*****

"Syafiqah, tunggu kejap tau. Kejap lagi Along kamu sampai bawak ubat." Damia mengusap-usap kepala Syafiqah.

KASIH SEMENTARAWhere stories live. Discover now