Bab 37: Siapa?

34 11 0
                                    

TIGA hari sudah sudah berlalu tetapi pintu bilik Damia masih tertutup rapat. Apabila dia dengar sahaja suara Damia berbual dengan suaminya di dalam, itu membuatkan Nadia menjerit kegeraman. Tak guna! Ibunya tak halau pun suami isteri tu keluar. Semua yang diramal sebelum ini salah belaka.

'Okey. Jadi ni yang mak pilih, kan? Along takkan tarik balik kata-kata along!'

Bertemankan hati yang bersambar-sambar dengan api kemarahan, Nadia terus menuju ke dalam biliknya. Beg pakaian dikeluarkan. Kesemua pakaian dan keperluan lain dimasukkan ke dalam beg tanpa banyak fikir. Mulutnya tak henti-henti memaki.

Dia sudah mati akal dan putus harap. Ibunya sudah tak endah dengan ugutannya tiga hari lepas. Perancangan untuk lari rumah patut diteruskan. Jadi, memang benarlah ibunya masih sayangkan dan melebihkan adiknya itu dari dirinya.

Dahulu, ibunyalah yang sering menyebelahi dirinya tidak kira apa perkara yang berlaku. Sebarang hasutannya, pasti ibunya akan termakan umpan. Sebarang rancangannya, pasti ibunya akan turuti. Tapi itu yang dulu.

Apabila dia yakin barang yang perlu dibawa sudah tersedia di dalam beg, dia angkat beg itu keluar. Rozaimi sudah membalas pesanan bahawa lelaki itu sudah menunggu di luar rumah. Memang tepat pada masa! Tak salah dia meninggalkan mesej kepada Rozaimi setengah jam lepas.

Dalam kepayahan mengheret beg pakaian yang agak berat itu, nasib tak menyebelahinya. Boleh pula dirinya terserempak dengan si adik yang paling dia menyampah. Dilihat tubuh adiknya dari atas ke bawah sedang memegang sebotol pencuci muka.

Kenapa baru sekarang nak cuci muka? Padahal punyalah banyak masa sepanjang malam ini, pukul 12:00 tengah malam jugalah adiknya mahu turun pergi bilik air. Mulalah Nadia tak puas hati.

Tak hairanlah mereka boleh terserempak. Biliknya dan bilik Damia saling menghadap. Tapi sejak bila Damia ini keluar dari biliknya? Bunyi pintu dibuka pun tak didengarnya pula.

"Kak long nak pergi mana?" Terpacul soalan itu dari mulut Damia. Dia pandang sekilas beg itu sebelum matanya tepat tertancap kepada wajah Nadia.

"Kau tak ada urusan dengan hal aku. Tepilah! Tak payah menyibuk." Nadia teruskan mengheret begnya.

Dia menerobos adiknya, tetapi tak dijangka tiba-tiba langkahnya terhenti. Lengannya ditarik dan secara automatik tubuhnya menghadap adiknya.

"Kak long nak lari rumah ke?"

Nadia diam. Matanya melilau mencari jawapan tetapi tak kunjung tiba pula jawapan yang dicari. Memang betul dia mahu lari rumah, tetapi kenapa rasa berat mahu mengatakan kebenaran? Dia dah muak dengan semua ni.

Nadia rentap tangannya kasar. "Kau diam! Jangan cakap dengan aku. Aku benci tengok muka kau. Kau tak sedar diri, yang kau pernah tampar aku. Lepas tu kau nak buat baik dengan aku? Kau bencikan aku. Samalah dengan aku pun. Aku bencikan kau jugak."

"Bencikan angah sampai nak lari rumah? Habis mak? Bukan ke kak long paling sayang kat mak? Kenapa tiba-tiba macam ni?"

"Kau diam! Kau tak tahu apa-apa!"

Bergegar seluruh ruang di luar bilik itu. Memang suara bingit Nadia itu turun dari ibunya. Tak hairanlah jika nada suaranya itu membolehkan orang di luar pun boleh dengar.

Syafiq di dalam bilik Damia terus munculkan diri. Matanya menatap Nadia sebelum dia arahkan pula matanya kepada isterinya, beberapa saat.

"Apa yang bising-bising ni? Malam buta pun nak bergaduh ke?" Mak Siti juga keluar dari biliknya dengan muka mamainya. Mata digosok-gosok untuk menilik kejadian yang berlaku.

"Ka ... kamu nak pergi mana ni, along?" Terus matanya bertukar bulat apabila melihat beg pakaian yang boleh tahan besar berada di sisi Nadia.

Tanpa menjawab sepatah, Nadia teruskan langkahnya. Sempat dia jeling tajam ke arah ibunya itu. Dia tak hiraukan apa yang berlaku. Kalau diikutkan, dia mahu lari rumah secara senyap-senyap tetapi gagal pula. Tak mengapa, itu semua tak mematahkan rancangannya. Dia tetap berdegil!

KASIH SEMENTARAWhere stories live. Discover now