Bab 31: Dera

75 11 0
                                    

MASUK sahaja ke dalam rumah, mulutnya ternganga luas. Bagasi yang ditarik segera terlepas daripada genggaman. Tak percaya apa yang dilihat sekarang ini. Ada seorang budak perempuan sedang sibuk mewarna kertas lukisan sambil bergelak tawa menonton televisyen.

"Hoi! Kau ni siapa, ha?" jerkah Nadia dengan mata mencerlungnya.

"Syafiqah."

"Aku tak tanya nama kau. Aku tanya siapa kau? Tak faham bahasa ke?" tempik Nadia lagi.

"Umm ... pelajar Sekolah Kebangsaan Haji Taib," jawab Syafiqah selamba. Malas mahu melayan orang gila yang tiba-tiba sahaja masuk ke rumah ini.

Nadia kepalkan tangan. Giginya diketap kuat. Kecil besar saja dia lihat budak perempuan itu. Kenal pun tidak, dah berani melawan.

"Eee ... kau loyar buruk dengan aku? Kau memang nak kena ni!" ugut Nadia tapi belum sempat dia mulakan langkahnya untuk menghabiskan Syafiqah, Damia segera menghalang.

Tangan Nadia ditarik kasar sebelum tubuhnya ditolak dengan kuat. Terjelepok dia di atas lantai.

"Kau jangan berani sentuh adik aku!" marah Damia. Takkan sesekali dia biarkan orang lain mahu mencederai Syafiqah. Dirinya sudah berjanji untuk melindungi Syafiqah tidak kira apa pun.

"Kau dah kenapa tolak-tolak aku ni, angah? Kurang ajar!" Nadia masih merungut kesakitan. "Memang budak tu siapa?" Kini matanya tepat mengarah kepada Syafiqah. Rasa geramnya semakin membara.

"Dia adik ipar aku. Kenapa? Ada masalah?" bidas Damia sambil menyilangkan tangannya. Syafiqah di belakangnya hanya tersenyum puas.

Dada Nadia makin berombak. Tak guna! Adik kepada penjual sate tu rupanya. Patutlah tak sedar diri. Si Damia ini pun beria mahu menyebelahi budak tu. Nadia mendengus.

Dia terus bangun dari duduknya. Punggung yang sedikit sakit setelah mencium lantai tadi dibiarkan. Sekarang ini, hatinya lebih sakit. Senang-senang Damia ini bawa orang luar masuk ke dalam rumah mereka.

Kelibat ibunya menjadi sasaran. Jika tak kerana ibunya, pasti budak itu tak akan berada di sini. Takkanlah ibunya sudah dapat menerima semua ini? Takkanlah ibunya sudah menerima Syafiq ketika ketiadaannya? Tak mungkin! Semua itu tak dapat diterima akal.

Nadia terus menarik bagasinya dengan kasar. Sempat dia menjerit penuh amarah kepada Damia. Masih tidak puas hati dengan apa yang berlaku. Sekarang ini, dia perlu menghadap ibunya untuk mendapatkan penjelasan. Ibunya takkan senang-senang menerima masuk keluarga menantu yang dibencinya itu.

Langkah terhenti sesampainya di dapur. Mulut ternganga luas. Pelbagai masakan sudah terhidang di atas meja. Semestinya hidangan itu baru siap dimasak kerana bau sedapnya yang masih menusuk hidung. Damia takkan mampu masak semua ini. Dan gerangan yang mahir memasak di dalam rumahnya ini sudah pasti ibunya.

Setelah apa yang disaksikannya tadi, kali ini ibunya pula sanggup memasak untuk mereka? Sah! Ibunya itu pasti kena sihir guna-guna. Hati Nadia makin meronta-ronta.

Ibunya itu seorang yang keras kepala. Kenapa mudah sangat dia menerima Syafiq? Nadia makin tak tenteram. Langkah diteruskan lagi menuju ke bilik ibunya di tingkat atas. Mulutnya tak henti-henti memanggil walaupun tiada sahutan.

"Mak! Bukak pintu ni. Along dah balik!" Pintu diketuk berkali-kali. Pintu yang terkunci dari dalam, semestinya ibunya berada di dalam bilik.

Beberapa kali diketuk, akhirnya pintu dibuka. Kalau dibiarkan Nadia di luar, boleh tercabut pintu itu diketuknya.

"Mak! Apa ni?" sungut Nadia tanpa basa-basi.

"Tutuplah pintu tu dulu," arah Mak Siti pula. Nadia pun hanya turuti sahaja. Langsung dia labuhkan punggung di birai katil bersebelahan ibunya.

KASIH SEMENTARAWhere stories live. Discover now