Bab 25: Musnah

55 14 2
                                    

"WAALAIKUMUSSALAM. Ha, Najihah. Ada apa call mak cik ni?"

Najihah masih terdiam biarpun suara Mak Siti jelas kedengaran di hujung talian. Tatkala itu, fikirannya menerawang entah ke mana hala.

Kepalanya ditundukkan. Dia memang sedang sakit hati tetapi kenapa terasa berat melaporkan kepada Mak Siti? Adakah perbuatannya ini betul atau tak?

'Astaghfirullah ... apa yang aku buat ni?' Hati Najihah mulai tersedar.

Bila difikirkan semula, tak tergamak dia lakukan semua itu. Entah syaitan apalah yang merasukinya tadi.

"Najihah? Mak cik tanya ni, kenapa kamu call? Kamu nak cakap pasal Damia ke?" sangka Mak Siti.

Najihah hela nafasnya. Matanya dipejam seketika sebelum mulutnya dibuka.

"Tak ada apalah, mak cik. Saya tertekan call pulak. Maaf," dalihnya masih menyembunyikan perkara sebenar.

Dirinya akur. Entah ke berapa kalinya dia terpaksa beralah demi kebahagiaan Damia dan Syafiq. Biarpun hati panas dengan bahang cemburu, tetapi dirinya tak sanggup berbuat demikian.

"Lah, ye ke. Ingat sebab apalah tadi ..."

Najihah hanya tersenyum. Senyum yang sudah kelat. Dia bukan sahaja sudah menipu Mak Siti, tetapi turut dia menipu dirinya sendiri.

"Ha, Najihah. Alang-alang kamu dah call mak cik ni, mak cik nak tanyalah sikit. Macam mana dengan perkembangan Damia tu? Dia rajin tak mengaji? Dia lancar dah ke?" Bertubi-tubi soalan yang dituju kepada Najihah.

Najihah diam semula. Pantas pandangannya dipindah ke arah pintu bilik yang sedikit terbuka. Kelibat Damia di luar yang sedikit terhad dilihatnya sekilas. Damia masih tak berhenti berbual dengan "kekasih hati" di talian. Yang gerangan di hujung talian itu pun, tadi kata sibuk bukan main. Tetapi bila Damia telefon saja, ada masa pula mahu berbual.

"Alham ... dulillah, mak cik. Damia rajin je mengaji. Saya nampaklah perkembangan dia tu." Dengan suara yang tertahan-tahan, Najihah terpaksa jua berbohong.

Damia memang rajin datang mengaji tetapi dia rasakan yang Damia itu suka mengelat. Mana taknya, sepanjang dua minggu dia mengajar, Damia hanya menghabiskan 10 minit sahaja menghadap al-Quran. Masa yang selebihnya pula, sudah tentu dihabiskan untuk melayan Syafiq.

"Baguslah macam tu. Mak cik tahu Damia tu budak baik." Mak Siti terus hamburkan tawa.

Najihah hanya tersenyum hambar. Sampai sekarang, dirinya tak mampu berterus-terang. Air matanya yang berlinang turun membasahi pipi. Sudahlah, dirinya memang lemah. Dirinya memang seorang pekalah.

*****

Berkobar-kobar dia hari ini mahu keluar rumah. Perasaan teruja dan gembira sudah menyelubungi hati. Bila dilihat sahaja tudung bawal berwarna biru yang sudah berbalut elok di kepala, hatinya makin teruja. Tak sabar mahu bertemu si pemberi hadiah itu untuk ucapkan rasa yang tersimpan secara berdepan.

"Amboi! Awal benar kamu bersiap nak pergi ngaji tu. Ada apa?" tegur Mak Siti tatkala anaknya sedang berjalan melintasinya.

"Mana ada apa-apa pun, mak. Angah bersiap awal pergi mengaji pun, salah ke?" dalih Damia lagi.

Mak Siti gelengkan kepalanya. "Kerja nak menjawab je kamu ni." Lalu matanya segera tertumpu kepada skrin telefonnya.

Damia julingkan mata ke atas, Dah ditanya soalan, mestilah kena jawab. Ini tidak, menjawab pun salah.

"Mak."

"Hmm ... apa?" Mata Mak Siti masih tak lari dari tertuju menghadap telefon.

"Mak tak jaga kedai ke hari ni?"

KASIH SEMENTARAजहाँ कहानियाँ रहती हैं। अभी खोजें