Bab 35: Kehilangan

56 10 1
                                    

PENGEBUMIAN arwah Syafiqah berjalan dengan lancar. Arwah selamat dikebumikan bersebelahan pusara arwah ibu dan ayahnya. Hujan renyai-renyai juga turun mengiringi suasana yang hiba ini umpama turut sama menangisi pemergian Syafiqah.

Orang ramai sudah beransur-ansur pergi meninggalkan tanah perkuburan. Yang tinggal di perkuburan sekarang hanyalah kenalan-kenalan rapat Syafiq.

"Kami balik dulu. Salam takziah. Aku doakan kau tetap kuat," ujar Paan memberi semangat. Mail di sebelahnya hanya mampu menepuk-nepuk bahu Syafiq yang masih ditawan kesedihan. Mereka berdua akhirnya beredar setelah turut serta dalam proses pengurusan pengebumian ini.

Kini yang tinggal hanyalah Syafiq dan Damia, berserta Pak Ya dan Najihah. Masing-masing menekur tanah merah yang menempatkan pusara gadis syurga itu. Sememangnya, kematian Syafiqah amat dicemburui kerana kematian arwah tergolong dalam mati syahid akhirat. Meninggal kerana menjadi korban kebakaran.

Keadaan abu mayat Syafiqah yang dijumpai bomba tadi amat menyayat hati. Tubuhnya dijumpai dalam keadaan rentung sambil memeluk al-Quran. Yang ajaibnya, kalam Allah itu masih selamat. Allah ... besar sungguh kekuasaan-Mu.

Jika Syafiqah pergi dalam keadaan husnul khatimah, mereka reda. Kematian dalam keadaan yang baik, adalah keinginan setiap umat Islam. Tetapi apa yang mereka tak boleh terima sekarang, Syafiqah pergi disebabkan kedengkian seseorang! Kenapa Syafiqah yang menjadi korban kerana kedengkian itu?

Tadi, pihak bomba melaporkan ada kesan minyak tanah pada pintu hadapan rumah. Setahu Syafiq, dia tak pernah gunakan pun minyak sebegitu dalam rumahnya. Dia pemilik rumah itu, dia tahulah segala selok-belok rumahnya.

Kebakaran ini dirancang seseorang? Pada mulanya Syafiq tidak mempercayai itu tetapi sebaik sahaja pihak bomba menunjukkan sebuah tong berwarna putih dalam keadaan separuh terbakar yang dijumpai berdekatan pintu hadapan rumah, nafas Syafiq menjadi sesak. Dia hampir rebah di tempat kejadian itu tetapi mujur Pak Ya sempat menampan.

Bukan kerana litar pintas atau kebocoran gas tetapi disabotaj orang? Siapa saja yang boleh terima semua itu. Sejak Syafiq mengetahui tentang kebenaran, mulutnya terkatup rapat. Dia membisu tanpa reaksi. Siapa yang sanggup buat begini kepada dirinya sekeluarga?

"Syafiq, Pak Ya balik dulu." Pak Ya menyatakan hasratnya. Tangannya mengusap perlahan bahagian belakang Syafiq untuk menenangkan lelaki itu. "Pak Ya sekejap lagi nak pergi balai polis. Lepas tu malam nanti jangan lupa datang tahlil kat rumah."

Pak Ya mahu bertanggungjawab untuk menguruskan semua. Takkan sekali-kali dia melihat Syafiq yang sedang tersungkur terkapai-kapai berseorangan. Majlis tahlil arwah Syafiqah juga dia mahu untuk uruskan di rumahnya.

Syafiq masih tak beriak apa-apa. Matanya masih tertancap tepat pada batu nisan yang terukir nama Nurul Syafiqah Amani Binti Rahmat. Suaranya seperti sudah habis digunakan kerana meraung sejak semalam. Tak sangka, insan yang sentiasa menemaninya sudah pergi dahulu meninggalkan dirinya.

"Makan jangan lupa, solat jangan tinggal. Istighfar dan doa banyak-banyak. Pak Ya tahu, ujian ini berat untuk Syafiq dan isteri. Pak Ya harap kamu berdua tabah hadapi semua ni," ucap Pak Ya lagi sebelum dirinya lambat-lambat bangun dari duduk.

"Kami balik dulu." Najihah minta diri juga. Dia lalu bersalam dengan Damia dan memeluk gadis itu. Sekarang ini, hanya Damia sahaja yang Najihah harapkan untuk menyalurkan kekuatan kepada Syafiq.

"Assalamualaikum." Serentak Pak Ya dan Najihah beri salam. Damia menjawab perlahan tetapi Syafiq masih diam.

Mata Damia terasa panas sekali lagi. Payung yang dia pegang dari tadi dia letakkan di tepi. Sekarang ini dia biarkan rintik-rintik hujan menyimbah tubuhnya dan suami. Dia juga tak kuat dengan dugaan ini, apatah lagi Syafiq.

KASIH SEMENTARAUnde poveștirile trăiesc. Descoperă acum