BAB 38

22 3 0
                                    

"Barang-barang ini hendak ditaruh dimana, Ketua?"

"Taruh sahaja di atas meja. Perlu diperiksa terlebih dahulu", balas Angkasa sambil berjalan ke arah mereka dengan kedua tangan digenggam pada belakang tubuh badan.

Jejaka bermata coklat cair itu segera meneliti setiap bahagian yang ada pada senjata itu. Anak matanya jatuh ke kancing istinggar kemudian tangannya pula mula menyentuh pada seluruh permukaan senjata tersebut dengan lebih teliti.

"Dua buah istinggar ini bermasalah. Hantar kepada tukang besi diraja nanti", Angkasa memberi arahan. Salah seorang perajurit lantas mengangguk lalu mengambil dua buah istinggar yang dimaksudkan oleh Angkasa tadi.

Tidak lama kemudian, jejaka itu beralih pula untuk melihat rentaka dan pemuras. Satu persatu Angkasa sentuh dan lihat bagi disemak sebelum menjadi kegunaan bila perang nanti. Jika berlaku kesilapan, dia yang terpaksa bertanggungjawab.

Sebaik saja Angkasa berpuas hati, dia lantas mengangguk sambil memandang beberapa orang perajurit yang berbaris di belakang meja panjang tersebut. Terbit sebuah senyuman kecil, sungguh berpuas hati.

"Selain daripada dua laras senjata tadi, alhamdulillah senjata yang lain dalam keadaan yang elok. Kalian boleh membawanya masuk ke dalam gudang penyimpanan senjata. Kemudian, dua buah istinggar itu tolong hantar kepada tukang besi diraja. Beri arahan kepadanya untuk perbaiki dengan kadar yang segera",  arah Angkasa selaku ketua perajurit Istana Melaka.

"Baiklah"

Para perajurit tadi segera mengangguk faham lalu mereka bergegas meletakkan barangan tersebut ke dalam gudang dan salah seorang daripada mereka pula bergegas ke arah kediaman tukang besi diraja bagi menyerahkan senjata-senjata yang hendak diperbaiki.

"Terima kasih atas kerjasama kalian", ucapnya sebelum melangkah pergi.

Sebaik sahaja dia berada di hadapan gerbang asrama perajurit Melaka, Anggun mula menyapanya dengan sebuah senyuman yang lebar. Dia mengenggam sebuah busur panah di tangan kanannya sambil berpakaian seperti seorang lelaki.

"Ada apa kamu ke sini, Bunga? Ingin mengajak aku berburu? Sekarang?", bertalu-talu soalan dilempar oleh Angkasa.

Anggun pantas mengangguk.

"Mari luangkan masa bersama. Jika sudah tuan hamba ingin jadikan hamba sebagai isteri, maka tuan hamba hendak turuti apa yang hamba inginkan. Boleh?"

"Sudah tentu boleh. Namun, mengapa kamu tiba-tiba saja ingin aku berbuat sedemikian?"

"Saja. Hamba takut jika kita berdua tidak sempat untuk disatukan", sengih Anggun sambil memandang wajah bakal suaminya itu.

"Sebaik saja kamu dilepaskan dari istana, aku berjanji akan menikahimu. Kamu tidak perlu khawatir, Bunga. Aku akan menjaga dan melindungimu dari segala ancaman yang boleh memisahkan kita berdua. Pegang janjiku ini"

"Manis sungguh mulut tuan hamba", puji Anggun sambil mengukir senyuman.

"Manakan tidak manis, muka saja pun sudah manis dipandang", seloroh jejaka itu menambahkan lagi tawa wanita yang berada dihadapannya itu.

"Beri masa aku bersiap dahulu ya. Kamu duduk di sini"

Angkasa segera mengeluarkan sehelai sapu tangan berwarna hitam miliknya dari saku baju melayu lalu dibentang di atas sebatang kayu yang boleh dijadikan tempat duduk.

"Silakan duduk, atmaku"

"Terima kasih wahai kesatriaku", balas Anggun sambil tersenyum manis.

***

"Harum semerbak baunya. Cuba engkau hidu bunga ini, Arjuna", arah Intan sambil mendekatkan sekuntum bunga kenanga di hidung mancung milik Arjuna.

Jejaka itu mengangguk perlahan.

Puas Ku Merayu [H]Where stories live. Discover now