BAB 40

37 5 0
                                    

ANGGUN memeluk lalu menyembab wajahnya yang penuh dengan kesan calar dan luka ke lututnya. Cahaya bulan sipi-sipi menerangi ruangan penjara yang didudukinya. Penjara itu sejuk dan agak busuk dengan bau bangkai binatang, namun ia langsung tidak menganggu Anggun. Gadis itu hanya diam membisu, melerakan dirinya diseksa oleh pengawal Istana.

Perlahan-lahan Anggun mendongak memandang bulan purnama yang berdiri tegak di atas langit gelap.

'Maafkan angah, along. Apa yang angah lakukan ini semua salah, bermula dari niat sehinggalah tindakan angah. Angah harus sedar diri, angah lemah dan tidak berdaya untuk melawan mereka yang berdarjat tinggi,' monolog Anggun.

"Keluarga kecil seperti kita mudah untuk diinjak," sambungnya lagi. Otak ligat memikirkan keadaan ibu dan bapanya yang berada di Johor riau. Ya Allah. Kesal.

Kepala kembali disembab ke lutut.

"Bunga.. Ya Allah, Bunga.. Mengapa sampai sebegini keadaanmu?," tanya Angkasa, amat khawatir dengan Anggun yang cedera. Anak mata perang cair miliknya jatuh melihat kaki sehinggalah ke anak mata Anggun.

Tiang kayu yang kukuh dan agak berjarak antara satu sama lain menjadi pemisah antara mereka berdua.

Jejaka itu cuba menahan amarah, sejujurnya mahu saja dia memberontak dan membantah keputusan yang dibuat oleh baginda sultan. Namun, apakan daya. Dia juga adalah seorang insan yang lemah.

"Pulanglah. Kita berdua sudah tidak ada apa-apa lagi," ujar Anggun lemah sambil memalingkan wajahnya dari Angkasa. Walhal dalam hati, perasaan hiba itu sudah muncul sejak tadi.

"Tidak semudah itu untuk aku lepaskanmu, Bunga. Aku tidak kisah dengan apa yang telah dilakukan olehmu. Aku cuma mah-"

"Usah beritahu Puteri Mahkota tentang keadaan hamba. Jika Tuan Muda Lanang Arjuna atau baginda bertanya soal keberadaan hamba, katakan saja yang hamba sudah pulang ke Johor riau," potong Anggun dengan nada yang agak serius. Matanya masih enggan memandang Angkasa.

"Bunga.. Aku boleh memohon kepada baginda sultan untuk ringankan hukumanmu. Jadi, tolong bertahan ya. Aku akan sedaya upaya membantumu keluar dari neraka dunia ini," kata Angkasa memberi harapan kepada sang kekasih.

"Usah membuang masa tuan hamba untuk membantu hamba yang hina ini. Cukuplah untuk tiga tahun kita berkenalan..."

"Bagaimana dengan perasaan ikhlasku terhadapmu pula, Bunga? Apa engkau fikir ia semudah itu untuk melupakan kenangan kita selama ini? Aku sudah bersedia untuk membina masjid kita berdua, aku cukup bersedia untuk menjadi seorang suami penyayang buatmu dan aku juga cukup sedia untuk menjadi pendamping hidup dan matimu, Bunga," luah Angkasa sedikit kecewa dengan Anggun yang hanya mementingkan diri sendiri.

Tanpa diketahui Angkasa, gadis itu dalam diam sudah mengalirkan air mata. Dia juga takut akan kehilangan Angkasa. Namun, apakan daya. Benda sudahpun berlalu.

"Setiap hari aku tidak lupa untuk mengadu dan memberitahu kepada sang Pencipta betapa besar cintaku terhadap engkau.. Setiap hari bahkan setiap detik aku berdoa agar kita berdua berjaya membina masjid bersama."

Angkasa kemudian melutut, pandangannya jatuh ke tanah. Matanya kian memerah serta mula berair, dan pada akhirnya si jejaka menitiskan air mata. Dia tidak dapat menahan kesedihan dan kesengsaraan yang dihadapi oleh dirinya. Apakah begitu susah untuk mereka berdua hidup bersama?

"Hamba percaya akan ada pengganti buat tuan hamba. Pengganti yang jauh lebih baik dari hamba. Bunga bukan untuk Angkasa. Bunga bukan untuk sesiapa melainkan milik Allah," balas Anggun menahan sebak.

Gadis itu kemudian memberanikan diri untuk memandang sang kekasih, sejurus itu semakin deras air matanya mengalir ke pipi. Buat pertama kalinya, dia melihat Angkasa kecewa, amat kecewa dengan dirinya.

Puas Ku Merayu [H]Where stories live. Discover now