BAB 39

28 4 0
                                    

ANGGUN memandang sayup ke arah langit yang dipenuhi dengan taburan bintang itu. Fikirannya sekarang ini semakin memburuk, apakah dia patut meneruskan rancangannya untuk membunuh sultan ataupun hidup bahagia bersama Angkasa sambil diselubungi perasaan bersalah seumur hidup? Gadis itu menyayangi abangnya, Nasrudin dan dia juga amat mencintai Angkasa. Buntu.

Telapak tangan kanan dibuka. Pandangan Anggun kemudian beralih pada sehelai kain yang membaluti serbuk beracun itu. Sempat dia menghela nafas kecil sebelum menaruh semula kain tersebut ke dalam sakunya.

"Aku sudah buat keputusan. Sesiapa saja tahu betapa sakitnya menanggung perasaan yang telah lama dipendam. Maafkan aku jika ini membuatkan mereka bersedih. Ini saja caranya untuk melarikan diri dari kongkongan diri sendiri", kata Anggun separa berbisik. Dia menahan air mata daripada tumpah.

Kemudian, kakinya mengorak langkah ke arah dapur diraja. Sebaik saja dia tiba dihadapan pintu dapur itu, dia mengukir senyuman manis. Gadis itu menyapa setiap orang yang dikenalinya. Kelakuan yang dibuat seperti biasa agar yang lain tidak tahu rancangannya.

Anggun segera mendekati dulang santapan malam buat Sultan Mahmud Shah, Tun Teja dan raja Ahmad Shah yang diletakkan di atas sebuah meja kayu jati.

"Bima, biar aku saja yang hidangkan kepada
baginda sultan", Pelawa gadis itu sambil memandang ke arah rakan sekerjanya, Bima.

Lantas saja lelaki itu melihatnya hairan, Bima kemudian bercekak pinggang sambil memegang erat kain buruk dalam genggamannya.

"Apakah engkau mahu kira kerja ini sebagai tugasan terakhir engkau di Istana?"

Anggun sedikit terkesima dengan ayat yang dilontarkan oleh Bima. Namun, selang beberapa saat, dia dapat menangkap apa yang dikatakan oleh Bima tadi. Bukan dia tahu apa Anggun akan mati lepas ni, yang dia tahu hanyalah Anggun akan melepaskan jawatan sebagai dayang Istana saja.

"Benarlah apa yang engkau kata itu, Bima. Sudah, bawa ke mari dulang santapan itu. Biar aku saja hidangkannya"

"Sebentar. Ada sesuatu yang aku perlu beri sama engkau"

"Ada apa? Apa kali ini engkau mahu mengusikku dengan seekor lipas lagi? Atau binatang lain?", soal Anggun yang sudah masak dengan perangai jejaka tersebut.

Bima lantas menggeleng sambil berlari anak ke arah kabinet kayu yang berada tidak jauh daripada Anggun berada. Kabinet itu kemudian dibuka luas lalu dia mengambil sebatang cucuk sanggul perak bercorakkan bunga-bungaan.

"Siapa yang bagi?", tanya Anggun tatkala Bima segera menyerahkannya kepada gadis itu.

"Siapa lagi jika bukan Tuan Angkasa. Dia sendiri yang datang ke mari, katanya puas dia mencari engkau di setiap pelosok Istana namun kehadiran engkau tidak dapat dikesan olehnya. Jadi, dia arahkan aku untuk beri kepada engkau"

"Oh..", Anggun mengukir senyuman kecil sebelum menyambut cucuk sanggul tersebut.

Kemudian, dilihatnya pada sebuah ukiran kecil yang terdapat dihujung aksesori tersebut. Kali ini, dapat dia rasakan bahawa air matanya mula bertakung, matanya mulai merah dan sedikit pedih. Disapu lembut ukiran tersebut sambil menahan sebak.

'Teruntuk sekuntum bunga yang telah memekari hidupku..'

Cukup membuatkan Anggun berasa sebak dan rasa bersalah kerana ingin meninggalkan jejaka tersebut dari dunia ini. Tidak adil.

"Lagi satu, dia panggil engkau sebagai Bunga. Bukannya Anggun. Namun setelah dia memerincikan perwatakan dan penampilanmu, akhirnya aku tahu siapa Bunga yang dia maksudkan. Siapa lagi gadis yang ada disini bijak memanah jika bukan engkau? Maka dari situ, aku tahu engkaulah yang dia maksudkan"

Puas Ku Merayu [H]Where stories live. Discover now