Bab 14

1.5K 98 5
                                    

Aku merebahkan tubuh ke atas katil. Kepenatan selepas keluar berjalan-jalan dengan Mia dan Mariam ke Auburn, sebuah suburb yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Hari ini buat pertama kalinya aku masuk ke dalam masjid. Sebelum ini aku hanya memerhati sahaja di luar. Tak pernah ada keinginan untuk menjejakkan kaki di rumah Allah itu.

Semenjak aku baik dengan Mia dan Mariam, aku sudah semakin kerap mengikut mereka solat. Tiada sebarang bacaan yang keluar dari mulut aku, hanya tubuh yang menurut bongkok dan sujud.

Aku pelik juga kenapa mereka tidak pernah mengajarkan aku bacaan-bacaan dalam solat. Pernah sekali aku utarakan persoalan ini kepada Mariam.

"Terapkan akidah dulu, Suzie. Akidah itu penting. Kenal dahulu Allah, kenal dahulu Tuhan kamu. Saya nak kamu tanam dahulu rasa cinta kepada Dia.

Saya juga takut kalau kamu belajar banyak perkara baru dalam waktu yang singkat, nanti kamu terbeban. Tak apa, biar perlahan-lahan."

"Tapi Mariam, bukankah solat itu penting?"

"Memang penting. Tapi mengenal Allah itu juga penting. Nabi kita Muhammad dulu pun melakukan penerapan akidah selama 13 tahun di Mekah sebelum berhijrah ke Madinah.

Di Madinah barulah syariat-syariat diturunkan. Setelah akidah dan pegangan para sahabat kuat dan teguh.

Itulah yang sedang cuba saya lakukan terhadap kamu. Tapi kalau kamu sudah bersedia untuk belajar bacaan solat yang sempurna, sudah tentulah saya sangat gembira dan berbesar hati.

Nanti saya ajarkan kamu membaca al-Quran."

"Tak cukupkah saya untuk membaca tafsirnya sahaja?"

"Cukup, Suzie. Tapi saya mahu menanamkan kecintaan kamu pada bahasa Arab, bahasa ahli syurga. Al-Quran itu sendiri diturunkan dalam bahasa Arab, sudah tentulah lebih elok jika kita dapat membacanya dalam bahasa asalnya, bukan?"

Penerangan Mariam yang lembut dan jelas itu memberikan ketenangan dalam hati ini. Tiada sebarang hukuman, tiada paksaan. Hanya penuh dengan kelembutan dan galakan.

Aku semakin jatuh cinta dengan jalan ini.

"Zie." Mia terjengul di muka pintu.

"Ya?" Aku menyahut tanpa memalingkan muka. Tak larat.

Mia melangkah masuk ke dalam bilik. Dia duduk di atas katil sebelah aku.

"Esok hari pertama Ramadhan. Kau nak join aku puasa?" Perlahan Mia bertanya.

Aku berkerut dahi. Esok Ramadhan?

"Err.. Boleh. Tapi aku tak pernah puasa. So, apa yang aku kena buat?"

Mia senyum. "Tak susah pun. Kau cuma tak boleh makan dan minum lepas subuh sampai maghrib."

Lagi berkerut kening aku. "Itu je?"

"Ya." Mia angguk sungguh-sungguh.

"Bolehlah kalau macam tu."

"Okay. Esok aku kejut kau sahur."

"Apa pulak tu?"

"Makan sebelum subuh. Persediaan sebelum nak puasa sehari. Kalau tak nanti lapar."

"Oh..." Baru aku faham.

"Rehatlah dulu. Aku nak masak untuk sahur." Ujar Mia lalu bangkit.

"Mia."

Panggilan aku menghentikan Mia.

"Kenapa kita kena puasa?"

Mia diam. Dia kembali melabuhkan duduk di sebelahku.

"Pertama sekali, kau kena tahu. Kita orang Islam. Tuhan kita Allah. Tugas kita adalah untuk mengikuti segala apa yang Dia suruh, dan tinggalkan segala apa yang Dia larang, tanpa bantahan."

Mencari Jalan PulangWhere stories live. Discover now