Bab 50

1.6K 110 18
                                    

"Mama tidur sini jelah malam ni." Aku memberikan cadangan setelah keadaan mama kembali reda.

Mama mengangguk. "Mama pun bercadang macam tu jugak."

Air teh di dalam cawan yang aku bancuh sebentar tadi dihirup perlahan oleh mama. Dia termenung jauh sambil meletakkan perlahan cawan di atas piring.

Keadaan di meja makan itu sedikit sunyi. Aku hanya memerhatikan mama yang sedang melayan perasaan. Wajahnya jelas tampak susah hati.

Aku tahu mama pasti berasa takut untuk pulang ke rumah Joe setelah dikasari sebegitu. Bagus juga, aku memang tak suka dia bersama dengan duda tak guna itu.

Lagi pula mama dan papa belum bercerai. Jadi lebih lama dia duduk dengan Joe, lebih bertambah dosanya pada papa dan pada Tuhan.

Tiba-tiba mama bangun dari kerusi dan menyanggul rambutnya yang kusut masai. Timbul pula rasa kagum apabila aku melihatnya. Ternyata mamaku ini masih lagi cantik, walaupun sudah dimamah usia.

Bukannya cantik kerana suntikan-suntikan di mukanya. Cantik yang aku maksudkan adalah cantik dari segi penampilan sebagai seorang wanita yang berkerjaya, matang, dan independent.

Aku sebagai perempuan yang semakin bertambah dewasa pastilah akan melihat ibuku sendiri sebagai model pertama untuk dijadikan contoh. Biasanya anak-anak pasti akan melihat orang terdekat mereka untuk dijadikan reference dalam hidup mereka, sama ada boleh dijadikan ikutan atau boleh dijadikan pengajaran untuk dijauhi.

"Mama nak bersihkan diri, nak tukar baju dan rehat. Mungkin mahu tidur sekejap." Kata mama kepadaku.

Aku turut bangun dan mengangguk. "Nanti nak dinner Hana panggil mama eh. Kita dinner sama-sama."

Mama mengangguk dan terus keluar dari dapur. Aku mengambil cawan mama yang masih berisi sedikit dan aku teguk bakinya sehingga habis. Kemudian, aku membawanya ke sinki.

Selesai membasuh, aku naik ke dalam bilikku untuk bersiap-siap menunaikan solat Asar. Sementara menunggu waktu Asar tiba, aku keluar ke koridor dan memerhatikan pemandangan di luar.

Jelas kelihatan bandaraya Kuala Lumpur yang terbentang di hujung sana dengan Menara Kuala Lumpur dan Menara KLCC yang berdiri megah mencakar langit. Tiba-tiba fikiran ini menggamit semula memori-memori lalu.

Aku tersenyum sinis. Selalunya waktu-waktu sebegini aku akan seperti cacing kepanasan. Tidak pernah langsung mahu melekat di rumah. Selagi ada alasan untuk keluar, aku akan keluar.

Aku terbayang jika hidup aku masih lagi sama seperti sebelum ini. Pasti sekarang aku sudah membuat perancangan untuk ke mana-mana kelab malam untuk berhibur sehingga pagi-pagi buta. Bagaikan orang yang tiada tujuan hidup.

"Hai Hana." Tiba-tiba terdengar suara aku dipanggil dari bawah.

Aku menoleh ke bawah. Kelihatan seorang lelaki pertengahan umur sedang melambai ke arahku sambil tersenyum. Di tangannya terdapat sebatang rokok dan tin bir.

Ayah Aiman. Keadaannya masih tidak berubah. Masih teruk seperti dahulu.

Kadangkala aku dapat rasakan yang dia seperti ada sakit mental. Dia selalu bercakap sendirian seperti sedang berborak dengan seseorang. Mujur ada pembantu rumahnya untuk menjaga segala kebajikannya.

Aku hanya menjeling, mengangguk sedikit dan terus masuk ke dalam bilik. Malas mahu melayan, nanti karang muncul pula memori-memori lama yang pahit.

Aku masuk ke dalam dressing room yang menempatkan segala pakaian, beg tangan dan kasut kepunyaanku. Aku membelek pakaianku satu demi satu. Keluhan berat aku lepaskan. Aku menggeleng perlahan.

Mencari Jalan PulangWhere stories live. Discover now