Bab 21

1.4K 99 13
                                    

"Aku bersujud kepada-Mu, ya Allah. Bermunajat memohon agar hati ini diberikan ketenangan seperti sebelumnya. Jagakan hati ini ya Allah. Pelihara diri ini. Jangan sekali-kali Kau menyerahkan urusanku ke atas diriku sendiri."

Dalam sujud, aku menangis. Bersungguh-sungguh memohon pada Dia Yang Satu. Mengharap dengan sepenuh jiwa. Memohon agar diberi petunjuk dan kekuatan hati.

Dalam kelam malam aku tertunduk akur. Mengaku akan kelemahan dan kehinaan diri di hadapan Maharaja Dunia, Pemilik Langit, Bumi, serta hati ini. Tanpa daya aku meminta dan meminta.

Setelah puas bersujud di atas sejadah, aku bangkit, beristighfar berulang kali, kupohon agar segala dosa diampunkan, dan segala aib disembunyikan.

Lama aku berkeadaan begitu, sehingga telefonku berbunyi, menandakan waktu sahur hampir tiba. Segera aku menuju ke katil, mencapai telefon dan mematikan alarm tersebut.

Hari ini hari terakhir Ramadhan. Esok hari raya, hari yang diraikan oleh semua umat Islam.

Aku yakin sambutan raya kali ini akan menjadi sambutan yang paling bermakna dalam hidup aku. Kali pertama aku beraya setelah berpuasa penuh di bulan Ramadhan.

Raya aku sebelum ini hanyalah hari yang hambar seperti hari-hari biasa. Tiada baju raya, tiada makanan-makanan yang enak, tiada sebarang sambutan. Hanya diisi dengan botol-botol vodka hasil dari parti di kelab secara berlebihan.

Mujur aku sudah berhijrah. Mujur aku jumpa jalan ini. Terima kasih, Zat Yang Membolak-Balikkan Hati.

Jam 5.00 pagi.

Pagi ini rasanya elok benar kalau aku dapat melihat sunrise di Coogee Beach. Mata aku pun macam dah tak ada rasa mengantuk lagi.

Aku menuju ke dapur, memanaskan susu segar di dalam microwave. Kurma di dalam tupperware di atas meja aku suap ke dalam mulut, dan susu panas kuteguk perlahan.

Itu sahajalah hidangan aku setiap kali sahur. Kurma dan susu. Mia pula selalunya hanya bersahur di dalam bilik, juga dengan kurma dan air masak, kemudian dia akan menyambung semula tidurnya sehingga subuh tiba.

Masuk sahaja waktu subuh, aku mengetuk perlahan pintu bilik Mia. Tiada jawapan. Tombol aku pulas perlahan. Terkunci. Aku mati kutu. Mia ni nak solat jemaah ke tidak?

"Mia.." Aku ketuk pintu dengan lebih kuat.

Senyap.

"Mia, jom solat." Aku menaikkan sedikit suara.

"Kau solat dulu, Zie.." Sayup-sayup suara Mia kedengaran dari dalam bilik.

Pelik. Selalunya dialah yang paling bersungguh-sungguh mengajak aku solat.

Seusai solat, aku bersiap-siap untuk menuju ke Coogee Beach. Sambil memegang jaket di tangan, sekali lagi aku berdiri di hadapan pintu bilik Mia.

Nak ajak ke tak nak?

Ah, tak payahlah.

Terus sahaja aku menyarung but dan jaket lalu keluar berseorangan menuju ke pantai. Sejuknya rasa hanya Tuhan saja yang tahu. Keluar asap dari mulut aku yang menggeletar kesejukan.

Gelap sungguh keadaan pada pagi ini. Apabila aku melalui lorong-lorong di sebelah deretan kedai-kedai dan pub, aku nampak banyak botol-botol kosong berserakan di lantai dan bertimbun di dalam tong sampah.

Patutlah, malam tadi Friday night.

Tiba-tiba, aku terasa kepalaku dipukul dengan kuat.

"Auch!" Segera aku menoleh ke belakang. Kelihatan dua orang lelaki kulit putih yang tinggi sedang berdiri sambil memegang botol kosong di tangan.

Mencari Jalan PulangOù les histoires vivent. Découvrez maintenant