Bab 36

1.2K 110 11
                                    

Aku dan Aria perlahan-lahan menyusup masuk ke dalam Newton Hall melalui pintu belakang. Keadaan di dalam lecture hall tersebut sedikit malap, dan hanya lampu di pentas hadapan sahaja yang menyala.

Kesemua hadirin sedang menumpukan perhatian kepada persembahan nyanyian oleh Lah Ahmad di hadapan. Aku dan Aria pula terus mengambil tempat duduk di sudut belakang hall.

Ya, aku telah membuat keputusan untuk hadir kembali ke majlis ini. Aku tidak mahu terus memencil diri dari komuniti. Aku ingin mengubah prinsip diri. Aku ingin menyumbang kepada masyarakat.

Jadi, ini adalah langkah pertama yang dapat aku fikirkan. Hadir memberi sokongan kepada rakyat Palestin.

Bukan kerana Uzai, bukan kerana Aria, bukan kerana ingin bersaing dengan Aina, tetapi lebih kepada ingin memperbaiki diri.

Mujur ada Aria. Walaupun kata-kata dan teguran daripadanya lebih bersifat sedikit tajam dan menusuk hati, namun aku tahu semua itu berguna demi menyedarkan aku dari terus hanyut dalam sandiwara dan drama yang dicipta oleh diri sendiri.

Aku mula tenggelam dalam menghayati nyanyian Lah Ahmad yang sangat membuai jiwa dan memberi satu rasa keinsafan dalam diri. Kesemua lagu-lagunya yang berunsur ketuhanan amat sesuai dibawa dan dipersembahkan untuk majlis seperti ini.

Kelihatan beberapa pegawai-pegawai kerajaan Malaysia memenuhi kerusi di bahagian hadapan, kemudian diikuti dengan barisan para hadirin lelaki, dan barisan-barisan tempat duduk di bahagian belakang diisi oleh penonton perempuan.

Persembahan Lah Ahmad kemudian diakhiri dengan satu perbincangan tentang isu-isu yang timbul kesan daripada kebangkitan Arab ataupun Arab Spring yang disampaikan oleh pengerusi Save Palestine, Uzair Abdullah.

Aku di belakang hanya melihat Uzai yang sedang bersemangat membincangkan peranan Ikhwanul Muslimin dalam proses kebangkitan rakyat Mesir. Dalam hati timbul rasa sayu memerhatikan susuk tubuh itu yang kelihatan sedikit letih dan susut.

Pasti berat beban yang sedang tergalas di bahunya ketika ini. Beban untuk membimbing ummah kembali menuju ke puncak kegemilangan Islam.

Pasti hatinya letih berhadapan dengan segala macam cacian dan kecaman dari pelbagai sudut hanya untuk membawa apa yang diperjuangkan. Perjuangan yang entah bila akan selesai.

Betullah orang kata, hidup berdakwah ini penuh dengan cabaran dan dugaan. Kadang kala penghujungnya bukan kegemilangan, kadangkala pula hanya penuh dengan kegelisahan dan kesedihan.

Ada Nabi yang penghujung hidupnya masih mempunyai pengikut yang sedikit, ada pula yang mati dibunuh oleh kaum sendiri. Ternyata, jalan perjuangan ini bukan semestinya mendapat sanjungan di pengakhiran.

Entah kenapa tiba-tiba air mata mula jatuh menitis ke pipi tanpa dapat aku menahan. Mungkin kerana rasa belas kasihan dan kagum yang menebal terhadap Uzai mula bercampur-aduk dalam sanubari di kala ini.

Terasa lengan kiri aku disentuh perlahan. Aku segera menoleh ke arah Aria di sebelah. Dia tidak mengendahkan, namun terus menggenggam lembut lenganku, cuba memberikan ketenangan kepadaku yang tenggelam dalam emosi sendiri.

Aku kembali memandang ke hadapan, mendengar ucapan Uzai yang hampir menuju ke penamatnya seraya meneruskan majlis dengan acara yang terakhir iaitu sesi lelongan.

"Di sini ada satu lukisan yang dilukis oleh seorang artis dari Palestin. Kami akan melelong lukisan ini dan hasil dari duit lelongan akan sepenuhnya didermakan kepada rakyat Palestin. Jadi, saya akan memulakan sesi lelongan dengan meletakkan harga sebanyak $50."

Selesai sahaja bicara Uzai, beberapa orang hadirin mengangkat tangan dan mula membida harga.

"$60."

Mencari Jalan PulangWhere stories live. Discover now