BEM 5

2.1K 121 4
                                    

DARI tadi telinganya didendangkan dengan pelbagai bunyi tumbukan dan tendangan dari dalam bilik yang terletak di antara dapur dan juga ruang tamu. Dia hanya duduk seperti tunggul seorang diri di atas sofa sambil memakukan pandangannya pada pintu bilik khas itu. Dulu, pernah sekali dia menjejakkan kaki ke bilik itu tetapi kantoi pula dengan si abang. Sampai sekarang dia tidak jejak lagi bilik itu. Bilik itu memang mengundang aura seram dan ngeri bagi sesiapa yang berani melangkah masuk ke situ.

"Haih... bosannyalah. Apa bendalah yang abang aku buat dengan Si Adiyan tu? Teruk juga bunyi aku dengar dari dalam bilik tu. Teringin juga nak tengok."

Qasrina melepaskan keluhan panjang sambil melepaskan ikatan rambut sehingga rambutnya yang panjang terurai melepasi pinggang. Wajahnya diraup sekali. Luka pada lengannya tadi sudah siap berbalut dengan kemas.

"Buat apa?" soal Hilmi yang baru saja melangkah masuk ke dalam rumah sambil menyelitkan Glock 19 ke belakang kocek seluarnya.

"Menunggu dan terus menunggu. Penat!" jawab Qasrina sambil mendepakan kedua-dua belah tangannya atas bibir sofa. Kepala didongakkan merenung siling.

"Bos dekat dalam lagi?"

Qasrina angguk. "Abang Hilmi tak payahlah masuk sana. Dah ramai tadi dengan abang Qas tu. Apa kata teman Qas dekat sini." Bibirnya dicebikkan. Dia betul-betul kebosanan. Hendak memejamkan mata langsung tak boleh. Mungkin matanya sudah terbantut mahu tidur dek dirinya diculik oleh Si Adiyan yang merupakan bekas anak buah abangnya itu.

"Kenapa tak tidur?"

"Tak boleh tidur. Macam mana nak tidur kalau bunyi bising macam tu?"

Hilmi mengerling ke arah pintu bilik itu sebelum menganggukkan kepalanya sekali. Nak tak nak, dia akur dengan permintaan Qasrina. Kasihan juga sekiranya ditinggalkan gadis ini sendirian tanpa teman. Selagi Qarizh tidak menyeru dirinya, bolehlah dia menemani Qasrina buat sementara.

"Tak mengantuk?"

Qasrina menggelengkan kepala. Dia pandang saja Hilmi yang sedang melabuhkan punggung betul-betul di sebelahnya. Bercantum kening dibuatnya. Dah macam tak ada sofa yang kosong nak diduduknya. Nak juga duduk dekat dengannya.

"Abang mengantuk sebenarnya tapi tulah..." Hilmi merenggangkan otot-ototnya yang terasa kejang. Sudah lama dia tidak merasai nikmat tidur seperti orang lain.

"Tidur jelah. Nanti Qas kejut." Senyum Qasrina.

"Eh, mana boleh. Nanti mengamuk abang Qas. Mati abang dikerjakannya."

Tergeleng-geleng kepala Hilmi membayangkan Qarizh mengerjakan dirinya sehingga patah riuk segala tulang-temulangnya. Hanya gara-gara dia tertidur saja. Ketuanya itu bukan boleh dibuat main. Tersilap langkah ibarat dibaham dengan buaya.

"Erm..."

Qasrina tidak menjawab sebaliknya selamba saja dia melentukkan kepalanya pada bahu Hilmi membuatkan lelaki itu sedikit terkejut. Rambut lebat milik gadis itu memenuhi ruangan kornea matanya.

"Qas..." Tertelan air liurnya tatkala terasa tubuh Qasrina terlalu dekat dengannya. Ini kalau Si Qarizh tu nampak. Mahu dia kena lambung dari rumah ini terus sampai ke negara lain.

"Qas, mengantuk...," jawab Qasrina lalu dia menguap kecil. Tak cukup dengan melentukkan kepalanya, dia memeluk pinggang Hilmi ibarat memeluk bantal guling kesayangan yang berada di rumahnya.

"Aduh..." Hilmi mengurut pelipisnya. Habislah Qarizh nampak ni. Mati dia. Mati!

TUBUHNYA disandarkan pada dinding dengan tangannya disilangkan ke dada. Anak mata coklatnya merenung tajam ke arah Adiyan yang sedang duduk di atas kerusi dalam keadaan berikat. Peluh bercampur darah berjuraian pada wajah Adiyan sama sekali dia tidak peduli. Hatinya terlalu sakit. Sakit dikhianati oleh orang yang selama ini dia percayai.

Bidadari Encik Mafia ✔ (2021)Where stories live. Discover now