BEM 31

1.2K 81 5
                                    

TUBUHNYA dipusingkan beberapa kali ke kanan dan ke kiri. Wajahnya berkerut-kerut melihat penampilannya sendiri di hadapan cermin meja solek. Entah berapa jam dia menghabiskan dengan hanya menilik pakaiannya itu. Biar betul Qarizh menyuruh dia memakai seperti ini untuk ke parti hari jadi itu. Dia mana biasa pakai gaun-gaun seperti puteri kayangan ini. Sudahlah boleh tahan seksi juga gaun yang diberikan oleh Qarizh ini.

"Biar betul dia suruh aku pakai macam ni? Ke wayar dalam otak dia dah putus? Dia tahukan yang aku tak minat pakai gaun macam ni. Aduh..." Indira bermundar-mandir di dalam biliknya. Masa hanya berbaki sejam saja lagi sebelum Qarizh sampai mahu menjemputnya.

"Dira, kau dah siap ke? Lagi sejam ajekan Qarizh nak datang ambil kau?" soal Aditya yang berdiri di luar bilik Indira.

"Haaa... ya. Aku tengah siap lagi ni."

Aditya menggelengkan kepalanya. Perempuan memang kalau bersiap lama betul. Termasuklah Indira Callista. Nampak saja brutal. Tapi perangai perempuan tulen tetap ada dalam dirinya. Memang tak boleh lari.

"Aku nak keluar dulu ni. Apa-apa call aku tau. Ingat pesanan angah dengan Abang Kizo tu. Jangan lupa."

"Ya, ya. Aku ingat. Hati-hati keluar tu."

"Okey." Aditya terus menuruni anak tangga lalu menghidupkan enjin motorsikalnya. Tak sampai beberapa saat, dia terus menunggang motorsikalnya meninggalkan pekarangan rumah.

"Nak tukar ke tak, eh? Kalau nak tukar, nak pakai baju apa? Sempat ke kalau nak tukar? Tapi nanti Qarizh marah pulak aku tak pakai baju yang dia bagi ni. Ah... sudah. Serabut kepala otak aku."

Indira menghenyakkan punggungnya di atas katil. Rambutnya diselakkan ke belakang dengan perasaan sebal. Matanya ditunakkan ke arah cermin meja solek yang berada di hadapannya.

"Gaun ni memang cantik. Tapi sesuai ke aku pakai gaun macam ni? Inilah kali pertama aku pakai gaun macam ni. Bila tengok balik, nampak cantiklah pulak." Bukan main Indira mengangkat bakulnya sendiri. Dalam tidak sedar, dia memuji dirinya sendiri.

"Biasanya kalau lelaki yang pilihkan apa-apa baju mesti sesuai dengan perempuan tu. Ini mesti Qarizh yang pilihkan. Jadi mestilah sesuai dengan aku, kan?" soalnya pada diri sendiri. Bibirnya menguntum sebuah senyuman kecil.

"Pakai sajalah. Bukan selalu Qarizh nak belanja aku gaun comel macam ni. Mana tahu hari ini mood dia baik. Bolehlah aku luahkan perasaan dekat dia lepas habis parti tu nanti." Indira melepaskan tawa kecil. Dia membelek-belek penampilannya buat kali terakhir sebelum membetulkan sedikit rambutnya yang dilepaskan begitu saja.

"Siap!" Tangannya ditepuk beberapa kali. Beg disilangkan pada tubuhnya. Langkah disusun keluar dari bilik lalu menuruni anak tangga demi tangga sehingga sampai ke tingkat bawah. Kelihatan beberapa orang anak buah Izz dan Kizo sedang membuat tugasan masing-masing.

"Dah siap dah?" soal Hadi, salah seorang anak buah Izz dan Kizo.

"Sudah. Ada dengar bunyi hon kereta tak?" soal Indira dengan penuh teruja. Tidak sabar dia mahu bertemu dengan Qarizh untuk sekali lagi. Meskipun lelaki itu masih bersikap dingin dengannya. Indira tekad untuk memujuk lelaki itu sehingga Qarizh berlembut hati dengannya.

Hadi menggelengkan kepalanya. "Aku tak dengar bunyi hon apa-apa. Belum sampailah tu. Tunggulah dekat bangku depan tu. Sekejap lagi sampailah tu. Ni kau pergi parti tu sampai pukul berapa?"

Indira menyilangkan tangannya ke dada. Tangannya naik mengusap dagunya sambil bibirnya terherot sedikit ke tepi. "Tak pastilah sampai pukul berapa. Biasanya kalau parti habis lewat, kan?"

Hadi sekadar menganggukkan kepalanya. Saja dia bertanya, boleh dia agak-agak masa pulang adik kepada ketuanya itu. "Kau hati-hati. Jangan ingat dah tak ada musuh yang nak kacau kau. Ingat apa pesanan abang kau tu."

Bidadari Encik Mafia ✔ (2021)Where stories live. Discover now