BEM 30

1.4K 79 6
                                    

SKRIN telefon bimbitnya ditatap lama. Hampir sejam dia dalam keadaan begitu. Entah ke berapa kali dia mengulang bacaan mesej ringkas yang dihantar oleh Indira melalui aplikasi WhatsApp itu. Sekejap-sekejap dahinya berkerut. Sekejap-sekejap dia meramas rambutnya perlahan. Dia sendiri tidak tahu sama ada dia harus membalas mesej itu ataupun tidak. Hatinya masih lagi marah pada gadis itu. Sakit pada hatinya begitu susah untuk dipulihkan semula. Indira menghilangkan diri begitu saja bagaikan meninggalkan torehan yang paling dalam di hatinya.

"Bos..."

Qarizh memalingkan wajahnya ke belakang. Kelihatan Saif dan Zane sedang berdiri di depan muka pintu biliknya yang tidak tertutup. Dia memang sengaja tidak menutup pintu biliknya itu. Senang dia hendak memanggil anak-anak buahnya dari dalam bilik sahaja.

"Hmmm..."

"Saya baru dapat info. Dan saya tak pasti sama ada bos nak hadir atau tidak," ujar Saif sambil melangkah mendekati Qarizh yang masih lagi duduk di atas katil.

"Apa dia?" soal Qarizh dengan keningnya terangkat sebelah. Dahinya berkerut nipis.

"Tengku Yasmin mengadakan parti hari kelahiran Tengku Yazir pada hari Ahad ini. Dilangsungkan pada jam 8:00 malam sehingga 12:00 malam." Begitu detil sekali Saif memberikan informasi itu kepada Qarizh.

"Jadi, sekarang ni. Kau nak suruh aku rosakkan majlis dia ke apa?" Kening Qarizh makin terjongket tinggi.

"Hurm... idea saya. Kalau bos sudi nak ikut, bos saja tunjuk muka dekat dia orang. Mesti sekarang ni dia orang ingat bos tengah sakit ke. Kemurungan. Mana tahu? Itu pendapat sayalah. Bos tunjukkan diri yang bos boleh bangkit."

Qarizh terdiam seketika. Otaknya sedang berfikir apa yang dikatakan oleh Saif sebentar tadi. Ada benarnya juga apa yang Saif katakan.

"Lepas tu, bos bolehlah bagi amaran dekat dia orang yang bos tak akan duduk diam." Zane mencelah setelah sekian lama menjadi pemerhati.

Qarizh mengangguk-anggukkan kepalanya. "Hari Ahad ni?"

Serentak mereka menganggukkan kepala.

"Sediakan baju aku untuk malam tu. Lepas tu, suruh Hilmi dengan Adiyan ikut aku. Korang bahagikan tugas masing-masing. Siapa yang jaga markas dan siapa yang jadi pemantau aku dari jauh."

Saif menganggukkan kepalanya. Arahan Qarizh diterima. Segera dia meminta diri untuk menyambung pekerjaannya lalu menarik pergelangan tangan Zane yang masih tercegat di sisinya.

Qarizh hanya memandang kosong saja langkah anak-anak buahnya itu sehingga hilang daripada pandangannya. Perlahan-lahan bibirnya mengukirkan senyuman penuh maksud tersirat. Sinis. Rasa tidak sabar pula dia hendak bertentang mata dengan Tengku Yazir. Musuh utamanya. Pembunuh adiknya. Dan juga pemusnah masa depannya.

"Yazir obseskan Dira. Patut ke aku bawa Dira sekali? Mungkin itu boleh membuatkan dia semakin panas hati." Qarizh tersengih sambil menggelengkan kepalanya.

"Ada gunanya juga Indira Callista ni. Inilah balasannya sebab kau dah mempermainkan perasaan aku. Kau ingat aku nak berlembut hati macam dulu lagi ke? Kau dah torehkan luka paling sakit dalam hati aku ni. Jangan harap sewenang-wenangnya aku nak maafkan kau."

Telefon bimbit yang berada di sebelahnya dicapai semula. Segera dia membuka aplikasi WhatsApp lalu membalas mesej ringkas yang dihantar oleh Indira beberapa minit yang lalu. Senyumannya tidak lekang dari bibir. Dua hari lagi dia akan berjumpa dengan Yazir. Berkobar-kobar rasanya.

Tengku Qarizh Nadim

Waalaikumussalam. Aku masih simpan lagi nombor kau. Kalau nak jumpa, esok pagi aku akan tunggu kau dekat kafe yang selalu kita pergi dulu tu. Kau pergi sendiri. Aku tak ambil kau macam dulu lagi. Tepat jam 11:00 pagi, aku tunggu dekat sana.

Bidadari Encik Mafia ✔ (2021)Where stories live. Discover now