BEM 6

1.9K 135 1
                                    

BUNYI deruman air terjun membuatkan Indira tersenyum sendiri seraya matanya dipejamkan rapat. Kedua-dua belah tangannya didepakan ke udara. Dia menyedut oksigen segar yang secukupnya sekali gus menenangkan hatinya. Sudah lama dia tidak menjejakkan kaki di kawasan air terjun. Kali terakhir ketika dia masih kecil lagi.

Sungguh dia tidak sangka, Qarizh datang dengan menunggang motorsikal kemudian dirinya dibawa ke sini. Masak-masak dia ingatkan Qarizh membawanya ke pusat membeli-belah. Memang kekok benar tatkala dia membonceng motorsikal berkuasa tinggi dengan lelaki itu.

"Tenang?" soal Qarizh kepada Indira. Dia mengambil tempat tidak jauh dari gadis itu seraya tangannya dibawa silang ke dada.

Indira mengerling Qarizh dari ekoran matanya. Lelaki itu tidak menoleh ke arahnya sebaliknya merenung air sungai yang sedang mengalir deras.

"Ya, tenang. Terima kasih sebab sudi bawa aku pergi sini. Aku dah bertahun-tahun tak..."

"Aku nak kau dengar apa yang aku nak sampaikan ni."

Mulut Indira sedikit melongo tatkala percakapannya dipotong oleh Qarizh tanpa sempat dia habiskan. Sakit hatinya hanya Tuhan saja yang tahu. Kut ya pun, berilah dia habiskan ayatnya itu dahulu. Lelaki di sebelahnya ini memang suka cari gaduh dengannya.

"Apa benda?" soal Indira berbasa-basi. Malas nak beria-ria. Nanti tak fasal-fasal Qarizh potong lagi apa yang dia nak cakapkan.

"Aku nak upah kau jadi penjaga adik perempuan aku. Skop kerja kau senang saja, jaga adik aku. Jaga itu bermaksud semua. Terutamanya keselamatan dia. Sebab aku tahu kau aje yang boleh jagakan dia untuk aku, kalau-kalau aku jauh dari dia."

Tubuhnya dibawa pusing menghadap lelaki itu. Mulutnya terlopong kecil. Jari telunjuk naik menuding dirinya sendiri dengan dahinya yang sudah berlapis-lapis kerana berkerut. Apa yang lelaki itu cuba fikirkan? Dia jadi penjaga kepada adik perempuan Qarizh? Apa lelaki itu ingat muka dia, muka seorang penjaga yang berwibawa ke?

"Penjaga? Apa yang kau cuba maksudkan? Aku tak faham."

"Penjaga. Jaga adik aku. Tak akan itu pun tak faham?" Pandangan Qarizh kini sudah beralih ke arah Indira yang turut berkerut memandang ke arahnya. Dia cakap Bahasa Melayu rasanya. Bukan bahasa asing yang membuatkan gadis itu lambat tangkap apa yang dia cuba sampaikan.

"Okey, itu aku faham. Tapi, kenapa aku? Dalam berbilion manusia dalam dunia ni, kenapa kau pilih aku?"

"Sebab aku kenal kau," balas Qarizh dengan wajah bekunya itu. Langsung tiada reaksi apa-apa.

"Pfft... sebab kau kenal aku? Kau baru aje kenal aku. Bukan dah lama, weh."

Indira menggeleng-gelengkan kepalanya. Sungguh dia tidak faham dengan fikiran Qarizh. Baru jumpa tak sampai berbulan lagi, jauh sekali bertahun. Setakat jumpa, itu pun bukan secara sengaja. Terserempak dalam insiden yang tidak dijangka sama sekali.

"Aku serius, Indira. Aku tak main-main. Adik aku tu satu-satunya keluarga yang aku ada. Aku tak nak dia dalam bahaya seorang diri."

"Adik kau umur berapa sampaikan kau nak upah penjaga bagai ni?"

"23 tahun."

Terkelip-kelip mata Indira merenung wajah Qarizh sekali gus mulutnya ternganga besar. Umur 23 tahun, cara dia bercakap sepertinya adik perempuannya itu berusia tiga tahun. Apa kena dengan mamat seorang ini?

"Seriously? Umur 23 tahun, suruh aku jaga? Kau dah hilang akal ke apa? Dia boleh jaga diri sendirilah!"

Indira menyuarakan ketidakpuasan hatinya. Umur 23 tahun dah boleh berdikari sendiri. Sama seperti dia dulu sewaktu arwah Ilman Renaldi dan Izz Benazir sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Bidadari Encik Mafia ✔ (2021)Where stories live. Discover now