BEM 10

1.9K 111 5
                                    

Lima tahun yang lalu,

ALDI berpegangan tangan dengan isterinya sebaik saja keluar dari perut kereta. Rumah bungalow dua tingkat itu dipandang sekilas sebelum jari telunjuk naik menekan punat loceng rumah sehingga kedengaran loceng itu berbunyi nyaring.

"Abang, nak jumpa dia untuk apa? Bukan urusan hari tu dah selesai?" soal si isteri.

"Memang dah selesai. Abang dengan dia ada hal sikit nak dibincangkan."

"Abang percayakan dia ke? Entah-entah dia pun musuh kita dalam selimut. Macam mana?"

Aldi tersenyum sambil menggelengkan kepalanya sekali. Dia faham akan perasaan isterinya yang risau akan dirinya kerana selama ini mudah percayakan orang sehingga mereka dikhianati.

"Kali ni abang percaya dia. Lagipun sayang ingat, kan? Yang abang selamatkan dia."

Si isteri mencebik. "Boleh jadi juga kalau dia nak khianat kita."

Aldi tertawa kecil. Tangan si isteri digenggam erat. "Jangan risau, sayang. Percayakan abang kali ni aje, ya?"

"Yalah."

"Selamat datang, Aldi," sapa Hilmi sebaik saja pintu pagar dibuka secara automatik menggunakan remote di tangannya.

"Hilmi, kan? Qarizh ada dekat rumah?"

Hilmi angguk sekali. "Masuklah. Bos dah tunggu dekat dalam."

Aldi menarik isterinya melangkah bersama masuk ke dalam rumah mewah itu. Sesekali mereka mengimbas isi dalam rumah yang cantik reka bentuknya. Tak nampak langsung seperti rumah seseorang yang digelar mafia.

"Aldi."

Aldi menoleh ke sisi. Kelihatan Qarizh sedang duduk di atas sebuah sofa single sambil membasahkan tekaknya dengan segelas air kosong sejuk.

"Qarizh, akhirnya aku jumpa juga rumah kau ni."

Qarizh herot bibirnya ke tepi. Gelas diletakkan di atas di atas meja kecil bersebelahan dengan sofa yang didudukinya itu. "Duduklah."

Serentak Aldi dan isterinya melabuhkan punggung di atas sofa berangkai dua bertentangan dengan Qarizh.

"Jadi, aku tak nak cakap banyak. Memandangkan kau dengan kumpulan kau dah selamatkan aku dan juga kumpulan aku. Aku letakkan kepercayaan dekat kau bahawa kau bukan musuh aku."

Aldi angguk sekali. "Aku tak minta banyak pun. Cukuplah sekadar kita ada..."

"Perkongsian." Laju Qarizh mencantas percakapan Aldi. Kedua-dua belah sikunya ditahan di atas pahanya kemudian dagunya ditongkat.

Aldi senyum kecil sebelum kepalanya dijatuhkan beberapa kali.

"Kau pun dah letakkan kepercayaan dekat aku?"

"Ya. Aku dah letak kepercayaan aku dekat kau. Dan, aku harap sangat yang kau tak akan pernah mengkhianati aku."

"Aku anti pengkhianat. Sekali aku jumpa, jangan harap aku akan lepaskan. Hancur badan dia aku kerjakan," jawab Qarizh dengan suaranya yang tertekan-tekan. Nampak sangat dia betul-betul anti dengan pengkhianat.

"Baguslah macam tu." Aldi menganggukkan kepalanya.

Maka, bermulalah perbincangan mereka sehingga lewat malam.

QARIZH mencelikkan matanya semula. Angin sepoi-sepoi bahasa menampar wajahnya perlahan. Laut yang terbentang luas di hadapan pandangannya ditenung lama. "Aku minta maaf, Di. Aku tak patut ego pasal benda tu. Kalau tak, mesti kau tak tinggalkan aku. Macam mana aku nak cari orang yang setia macam kau? Sedangkan bekas anak buah aku sendiri khianat aku, weh."

Bidadari Encik Mafia ✔ (2021)Where stories live. Discover now