BEM 28

1.2K 84 3
                                    

SEKEPING gambar yang berada di tangannya ditatap lama. Wajahnya tanpa reaksi. Hatinya menjerit-jerit merindukan gadis itu. Dia memang sudah tergilakan gadis itu. Dirinya tekad. Sehingga mati pun dia tak akan lepaskan gadis itu. Gadis itu hanya miliknya. Selamanya miliknya. Inilah dinamakan cinta itu buta. Parah apabila mencintai manusia melebihi mencintai Tuhan.

"Yazir...," panggil Yasmin sebaik saja dia melangkah masuk ke dalam bilik anak bujangnya itu. Mereka baru saja sampai ke Malaysia setelah dua tahun berada di Australia kerana merawat dirinya sehingga pulih seperti sediakala.

"Hurmph..." Yazir hanya menggumam. Tidak ada niat mahu menyahut seruan ibunya itu.

Kedua-dua belah pemegang kerusi roda itu dipegang erat oleh Yasmin. Perlahan dia menolak kerusi roda anaknya itu masuk ke dalam bilik semula. "Jangan duduk dekat luar sangat. Yaz kan belum sihat lagi."

"Yaz nak ambil angin..."

"Ya, ibu tahu. Sekarang ni, Yaz kena makan ubat."

Yazir sekadar menganggukkan kepalanya. Pandangannya tidak dialihkan langsung ke arah suasana luar melalui pintu gelangsar balkoni yang tidak ditutup. "Indira dekat mana, ibu? Ibu kata dia tak ada dekat Malaysia. Dia dekat mana?"

Perbuatan Yasmin terhenti seketika tatkala mendengar soalan yang ditanya oleh Yazir. Dia melepaskan keluhan panjang. Sungguh dia tidak berminat setiap kali Yazir bertanyakan tentang gadis itu. Entah apa yang gadis itu menjampi anaknya sehingga Yazir tidak mampu melupakannya.

"Ibu sendiri tak dapat maklumat tu lagi sampai sekarang. Yang pastinya dia pun berada di luar negara."

"Yaz nak ibu cari dia. Suruh anak-anak buah kita tu cari dia sampai dapat. Yaz nak dia. Ibu faham, kan?"

Yasmin hanya menganggukkan kepalanya. Malas mahu bercakap lebih. Dia kena banyak beralah memandangkan keadaan Yazir masih belum sihat sepenuhnya. Akan dia tunaikan saja apa yang diminta oleh satu-satunya anak bujangnya itu. Untuk mencari gadis bernama Indira Callista itu tidaklah sesusah mana pun. Upah sesiapa saja yang handal dalam pencarian pasti sekelip mata akan menemui maklumat yang dikehendaki.

"Apa cerita pasal lelaki sial yang dah buat Yazir jadi macam ni? Dia masih hidup lagi?"

"Kali terakhir ibu dengar pasal dia, dia mengalami kemurungan yang agak teruk lepas adik dia tu mati."

Bibir Yazir tersungging sebuah senyuman. Sangat sinis. Perlahan-lahan dia menganggukkan kepalanya. Hatinya suka mendengar jawapan yang disampaikan oleh si ibu.

"Lagi-lagi bila Indira tak ada dengan dia. Makin gilalah dia tu gamaknya." Yazir melepaskan tawa sehingga terenjut-enjut bahunya.

Yasmin hanya senyum. Tidak berkata apa-apa. Dia menyuap sebiji ubat ke dalam mulut Yazir kemudian segelas air disuakan pada bibir si anak. "Lepas makan ubat ni, ibu nak Yaz berehat okey? Ibu nak buat kerja sikit."

Yazir menganggukkan kepalanya. Suka saat dirinya sakit. Dibelai sepenuh kasih dan sayang oleh si ibu. Teringat lagi situasi di mana dia baru saja sedar dari koma setahun yang lepas. Kelihatan wajah ibunya sembap dan pucat. Pasti menangis setiap hari kerana dirinya.

"Terima kasih ibu sebab jaga Yaz," ucap Yazir sebaik saja tubuhnya dibaringkan di atas tilam dengan bantuan Yasmin.

Yasmin senyum. Kepala dibawa angguk sekali. Rambut Yazir disebak ke belakang. "Untuk anak ibu. Ibu sanggup buat apa saja. Yazir cepat sembuh. Ibu rindu nak tengok anak ibu macam dulu lagi. Ibu hanya ada Yazir saja."

Yazir menarik tangan Yasmin lalu kekura tangan ibunya dikucup lembut. Dia tahu akan penderitaan yang dilalui oleh ibunya itu sejak dia kecil lagi. Ibu dan dirinya dihina dan dihalau oleh ayah kandungnya sendiri. Begitu juga dengan ahli keluarga sebelah ayahnya. Mulai saat itu, dia tidak pernah langsung bertanyakan tentang Tengku Harun. Sudah dianggap lelaki itu mati dalam hidupnya.

Bidadari Encik Mafia ✔ (2021)Where stories live. Discover now