BAB 69

120 9 3
                                    

Daritadi Aiden ralit menatap telefon. Qasih yang tidak pernah lari dipembaringan seperti tidak wujud dibuatnya. "Abang... dah masuk maghrib dah ni. Abang nak solat berjemaah dengan Qasih ke, atau abang nak ke masjid?" Sengaja Qasih mengajukan pertanyaan sedemikian. Walaupun lokasi masjid terdekat agak jauh dari hospital akan tetapi besar kemungkinan suaminya lebih memilih jauh daripada solat dengannya dalam keadaan canggung.

Melihat tiada reaksi dari Aiden. Qasih hanya istighfar di dalam hati. Sudah menjadi kebiasaan setiap kali masuk waktu solat kalau bukan ahli keluarga yang lain memapahnya, selalunya Aiden yang akan mendukungnya untuk pergi mengambil air wudhuk, namun kali ini tiada tanda-tanda suaminya itu akan bertindak seperti biasa.

Sengaja dia bermain telefon daritadi, padahal dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Dia bukan sengaja mahu ego tapi kalau boleh biarlah isterinya itu jujur tanpa perlu dia yang memaksa untuk jujur. Sambil memegang telefon, matanya tidak lari mencuri pandang ke arah isterinya. Soalan tadi bukannya dia tidak dengar tapi dia sengaja tidak menghiraukan.

"Nak buat apa tu?" Laju Aiden bergerak meletakkan telefon. Qasih terlihat berusaha untuk duduk. "Kenapa tak cakap? Biar abang tolong. Nak pergi mana?" tanya Aiden. Sambil tangannya pantas memapah sang isteri.

"Nak ambil wudhuk, dah maghrib," jawab Qasih lemah. Dia bersangka baik. Mungkin suaranya tadi terlalu perlahan sehingga tidak kedengaran.

Pantas dia mendukung tubuh Qasih. Dibawa isterinya itu untuk mengambil air whuduk. Walaupun moodnya masih belum baik tapi dia tetap berusaha mejaga isterinya dengan baik.

Sesudah solat fardhu maghrib terlaksana, zikir dan wirid dibaca. Usai itu mereka bersama-sama mengaminkan doa yang dipanjatkan kepada yang Maha Esa.

"Abang... salam," ucap Qasih sambil menghulurkan tangan. Aiden memundurkan diri, "Simpan wudhuk tu, tak lama lagi isyak."

"Kan... boleh wudhuk balik..."

"Habis tu Qasih nak abang bawa Qasih ambil wudhuk balik?" Sedar akan keterlanjurannya, Aiden terus mengetap bibir. "Abang keluar kejap," katanya. Kopiah dibuka seraya dia bangkit keluar dari situ. Qasih sekali lagi dibiarkan terkapar-kapar.

Setelah pintu ditutup. Aiden sambung duduk dikerusi yang tersedia diluar wad. Dia bukannya keluar pergi mana pun, hanya duduk disebalik pintu. Ya Allah, janganlah kata-katanya tadi disalah tafsir oleh Qasih. Dia langsung tak berniat untuk menyinggung perasaan isterinya. Inilah bahana bila membiarkan ego menguasai diri, hasutan syaitan mula mengambil alih.

Jam tangan dikerling sekilas. Nantilah azan isyak baru masuk wad balik, walaupun jauh dilubuk hati rasa rindu dan kasihan sedang bergelojak hebat namun bila memikirkan emosinya yang masih belum stabil, menjauh seketika adalah lebih baik. Kepalanya disandarkan ke dinding sebelum mata ikut terpejam.

***

"Abang dekat mana ni," desis Qasih sendiri. Sudah lebih kurang dua jam dari azan isyak dilaungkan, Qasih terus menunggu kehadiran suaminya.  Sudah terlalu lama menunggu, dia perlahan bangkit sambil bertongkatkan sisi katil. Akhirnya dia memutuskan untuk menunaikan solat isyak sendiri.

Selesai solat. Qasih perlahan-lahan menyusun semula sejadah dan telekung sembari fikirannya tidak terlepas dari memikirkan sang suami. Pasti kesalahan yang dia buat terlalu besar. Kalau tidak, masakan Aiden sampai hati meninggalkannya seperti tadi. "Takpa... sabar Qasih. Astaghfirullahal'azim..." Istighfar diucapkan berkali-kali sambil tangannya mengusap lembut di dada.

Terkedek-kedek dia berdiri menaiki katil, semua pergerakan dilakukan serba perlahan. Tika ini dia sendiri, jadi apapun yang dia buat perlu dilakukan dengan penuh hati-hati.

***

"Maafkan saya, encik... encik..." Aiden terjaga dari tidur. "Maaf. Encik, suami Puan Qasih kan? Saya rasa encik dah terlelap lama dekat sini."

ANTA PERMANAWhere stories live. Discover now