2: 1019 masihi

2.5K 181 17
                                    

25 Julai 1019

Setelah beberapa waktu terlelap, Kirana akhirnya membuka mata dengan berat. Kepala terasa berat dan badan terasa letih. Dia mengagak, dia telah tidur selama lebih kurang sepuluh jam kerana cahaya matahari tidak kuat memancar.

Ingatan terakhirnya ialah Shahdan. Tiba- tiba hatinya kembali sakit. Kirana mengesat sisa airmata di hujung mata. Dia cuba mengingat lagi tempat terakhir dia berada. Jarinya memicit- micit pelipisnya yang terasa berdenyut.

Kenapa tempat ini kelihatan begitu asing? Kirana mulai menoleh sekeliling. Kiri dan kanan sunyi sepi. Pokok yang hijau banyak memenuhi kawasan tersebut, manakala tidak jauh dari situ terdapat sebatang sungai yang jernih mengalir. Dia mengagak dia sekarang berada di sebuah hutan.

Wanita tua.

Baru Kirana teringat akan dia. Wanita tua yang berpakaian baju kebaya warna coklat dan kain sarung bercorak batik. Bukankah sepatutnya wanita itu berada dengannya ketika itu?

Bagaimana mungkin Kirana berada di tempat begitu asing, walhal tempat terakhir yang dia ingat ialah tebing sungai di sebuah kota yang pesat dengan pembangunan dan bunyi hiruk pikuk dunia? Mungkinkah dia diangkat dan dibawa masuk ke dalam hutan, soal Kirana sendiri?

Kirana dengan segera melihat pakaian di tubuhnya. Seluar jeans dan kemeja lengan panjang berwarna merah jambu masih utuh di tubuhnya. Nafas lega dihela. Dengan kepala yang masih terasa berat, Kirana mengumpul kekuatan yang tersisa untuk bangkit berdiri dan mencuba untuk mencari jalan keluar dari hutan itu.

Mujur saja hutan itu tidak begitu tebal. Terdengar suara riuh- rendah tidak jauh dari kawasan lapang beberapa meter dari tempat Kirana berada. Kirana mulai melangkah keluar dari hutan itu dan melihat suasana yang begitu aneh. Hatinya berdegup kencang dan perasaan takut mulai hadir. Bulu tengkuknya meremang.

Di manakah dia berada ketika ini? Bagaimana mungkin dia berada di sebuah kampung yang nampaknya begitu terpencil? Siapa membawanya ke situ? Orang ramai yang lalu- lalang kelihatan berpakaian klasik. Lelaki memakai baju dan seluar lusuh yang diperbuat daripada kain, manakala perempuan pula memakai baju yang seakan sama dengan lelaki dan kain sarung di bawah. Kirana dengan cepat bersembunyi di sebalik pokok besar.

Kirana mengira tempat itu adalah sebuah pasar di mana orang ramai membeli sayur dan barangan basah. Gerai- gerai yang hanya beratapkan daun nipah dan dinding daripada papan kayu. Dan yang menarik perhatian Kirana ialah, wajah mereka yang rata- rata nampak agak kusam dan sedikit gelap.

"Saudari! Apa saudari buat di sini?" Sergah satu suara dari belakang.

Kirana terperanjat dan mengurut dadanya. Perempuan yang menegurnya mengimbas Kirana dari atas ke bawah dengan mata yang membulat.

"Maafkan saya. Saya rasa saya tersesat masuk kampung awak. Saya dari Bangsar sebenarnya," Kirana menghulurkan tangannya kepada perempuan itu.

Tangan disambut lalu tangan Kirana diusap dan dibawa mendekat ke wajah perempuan tadi. Matanya meneliti kulit Kirana yang begitu halus dan putih berbanding kulit kaum perempuan di kampung tersebut. Sekali lagi matanya mengimbas tubuh Kirana dari atas ke bawah, lalu mengambil beberapa langkah ke belakang dan menundukkan kepalanya sedikit.

"Maafkan hamba kerana kurang ajar dengan tuan puteri. Hamba tidak tahu yang tuanku adalah tuan puteri," kedua tangan disatukan tanda memohon maaf.

Kirana hairan dengan apa yang baru diucapkan oleh perempuan itu. Kirana menghampirinya dan menurunkan tangannya, "saya bukan tuan puterilah. Nama saya Kirana. Saya tersesat masuk dalam kampung ni. Saya nak minta tunjuk jalan keluar dari kampung ni."

Mendengarkan pengakuan Kirana, perempuan itu mengangkat wajahnya dan memandang Kirana, "saya Melati. Kalau bukan tuan puteri, pasti saudari dari anak bangsawan, kan?"

Lagenda Cinta Seribu Tahun (Bhg 1)Where stories live. Discover now