10: Kirana, Bukan Kiran

1.7K 165 19
                                    

"Kiran, kau dipanggil untuk menghadap Permaisuri Kemboja. Kau selesaikanlah kerja kau dahulu, lepas itu barulah aku bawa kau untuk menghadap baginda ya?" Datang Seti ke dapur istana untuk menyampaikan titah Permaisuri Kemboja.

"Baiklah, saya siapkan yang ni sekejap saja, lepas tu saya ikut awak," Seti yang berumur sebaya dengan Kirana, mengangguk dan berdiri menunggunya.

"Hai... Bertuahnya badan. Kesemua permaisuri berkenan menghadapnya. Tidak macam kita ini, bertahun- tahun sudah bekerja tetapi dipanggil sekali pun tidak," sindir satu suara kecil dari seorang lelaki yang bekerja di dalam dapur itu juga.

"Kau ini pun tak sedar diri. Muka kau tak tampan seperti Kiran. Macam mana permaisuri berkenan," sindiran dibalas balik oleh Kak Merah, sambil menghadiahkan senyuman menggoda kepada Kirana.

Kirana hanya tersenyum dan memilih untuk tidak membuat sebarang serangan balas. Baginya bertengkar dengan teman sekerja umpama racun dan ia tidak akan menyelesaikan sebarang pertengkaran, malahan akibatnya akan menjadikan suasana kerja rasa janggal dan kekok.

Sebaik selesai dengan tugasnya, Kirana mengikuti Seti untuk menghadap Permaisuri Kemboja. Dari jauh lagi, baginda permaisuri kelihatan sedang beristirehat di singgahsananya. Melihat saja kelibat Seti datang diikuti dengan Kirana, wajah baginda permaisuri bertukar menjadi begitu ceria.

"Patik datang menghadap, tuanku," Kirana mengangkat sembah.

"Jadi, kaulah Kiran. Tampan juga orangnya," puji baginda permaisuri sambil tangannya memberi isyarat kepada semua dayang- dayang yang berada di situ untuk keluar meninggalkan baginda, Kirana dan Seti.

"Junjung kasih, tuanku."

"Begini. Beta mendapat tahu dari anakanda beta, Putera Alauddin bahwa kau pandai berbahasa asing. Benarkah apa yang beta dengar?" Soal baginda permaisuri dengan penuh berminat.

Lama Kirana mendiamkan diri sebelum dia mengangguk perlahan. Sungguh dia tidak menyangka bahwa Putera Alauddin akan melaporkan hal itu kepada sesiapa terutama seorang permaisuri.

"Jangan takut. Boleh beta ingin tahu dari mana kau mempelajari bahasa asing itu?" Soalan yang paling ditakuti Kirana akhirnya terlepas juga. Fikirannya jadi celaru. Alasan apa yang paling masuk akal yang boleh dia bagi?

"Kenapa diam? Jawaplah," soal baginda permaisuri lagi sambil tersenyum sebaris, apabila Kirana hanya diam membisu.

"Dari negeri patik, tuanku. Patik berasal dari negeri yang jauh sekali dari sini," mungkin memberitahu sedikit kebenaran akan diterima oleh baginda permaisuri.

"Di manakah negeri kau itu, Kiran? Bagitahulah beta. Beta ingin tahu," perasaan curiga kini semakin membuak di dalam diri baginda permaisuri.

"United States of America, tuanku," dengan penuh keyakinan dan loghat yang dibuat- buat, Kirana membuat cerita tentang negeri asalnya. Mendengarkan loghat yang dituturkan Kirana, baginda permaisuri jadi terpegun. Bunyi yang asing namun indah didengar.

"Oh... Beta tidak pernah mendengar nama negeri itu. Baiklah... Tidak mengapa. Begini... Beta ingin menawarkan kau satu tugas, iaitu menurunkan ilmu bahasa asing yang kau ada kepada anakanda beta. Bagaimana pada hemat kau, Kiran?" Dengan penuh hati- hati agar tidak tersalah cakap, baginda permaisuri memberi tawaran kepada Kirana.

"Tapi... Patik tidak ada pengalaman mengajar, tuanku. Tapi... Kalau itu permintaan tuanku, patik akan berbesar hati dan berusaha untuk mengajar Putera Alauddin," Kirana merapatkan kedua tangannya ke dahi, mengangkat sembah.

"Bagus kalau macam tu. Esok kau sudah boleh mulai mengajarnya. Seti akan memberitahumu bagaimana aturannya. Dan, bukan Putera Alauddin yang beta maksudkan, tetapi Putera Iskandar. Kau boleh pergi sekarang," Permaisuri Kemboja memberi isyarat tangan menyuruh Kirana beredar, namun Kirana terkedu mendengarkan nama putera yang baru disebut.

Lagenda Cinta Seribu Tahun (Bhg 1)Where stories live. Discover now