19: Almari

1.7K 151 33
                                    

Para hadirin mulai berbisik tentang Kirana. Masing- masing hairan dan bertanyakan tentang siapa diri Kirana. Seorang yang lebih bijaksana daripada Puteri Mawar dan seluruh rakyat jelata di negeri itu.

Bendahara Ghani pulang semula ke tempat duduknya. Setelah itu Kak Darmah mengambil alih semula tugasan.

"Tamatlah sudah Peraduan Bistari yang agak sengit tahun ini. Tahniah sekali lagi kepada Kiran, juara kita tahun ini. Dengan segala hormat, patik ingin menjunjung Putera Zulkarnain untuk menyampaikan hadiah kepada Kiran, iaitu seuncang wang emas," ucap Kak Darmah.

Putera Zulkarnain kemudian berkenan untuk menyampaikan hadiah kepada Kirana.

Sementara Puteri Mawar tertunduk menahan malu dan murka. Baginda merasakan sesuatu tidak kena dengan Kirana. Bagaimana mungkin seseorang yang bukan berdarah bangsawan begitu petah dan luas ilmu pengetahuannya berbanding diri baginda yang sudah terkenal dengan kepandaian?

"Junjung kasih, tuanku. Dan dengan itu, patik juga ingin mengingatkan bahawa Puteri Mawar yang tidak berjaya kali ini akan tetap menjalankan dendanya iaitu hidup sebagai petani selama seminggu. Patik berharap tuanku akan belajar sesuatu yang bermanfaat nanti. Patik juga tidak lupa mohon ampun atas segala salah dan silap dalam pertuturan patik sepanjang peraduan tadi berlangsung," ucap Kak Darmah sebelum mengakhiri majlis itu.

Setelah semua orang bersurai, Kirana dengan cepat mendapatkan Kak Darmah.

"Kak, saya nak cakap sikit dengan akak. Boleh?"

"Ye, Kiran. Apa yang tuan hamba ingin katakan tadi?" Kak Darmah memberikan sepenuh perhatian kepada 'pemuda' yang berdiri di hadapannya.

"Akak ingat saya masih tak? Akak yang memberikan saya air sewaktu saya sedang kecewa di tebing sungai," Kirana begitu berharap yang Kak Darmah adalah orang yang sama seperti yang diharapkan.

"Apa maksud tuan hamba? Bukankah ini kali pertama kita berjumpa?" Kak Darmah mengerutkan dahi.

"Tak. Saya masih ingat lagi. Akak orang yang terakhir berjumpa dengan saya, sebelum saya dihantar ke zaman ini," balas Kirana.

"Diam! Jangan tuan hamba mengucapkan sesuatu perkataan dengan sembarangan. Ingat, ini istana. Salah cakap sedikit, padah hukumnya. Hamba tidak tahu apa yang tuan hamba ingin sampaikan. Jangan sekali- kali ungkit tentang hal ini lagi, faham?" Belum sempat Kirana membalas, Kak Darmah sudahpun meninggalkannya.

Keluhan panjang dihela. Satu- satunya harapan untuk kembali ke masa hadapan kini hancur lebur. Tiada apa lagi cara yang tinggal, kecuali berharap suatu hari nanti dia akan bangun dari mimpi yang panjang ini.

Kirana melihat uncang di tangan. Dia mengeluh dengan nasib badan. Apa gunanya wang yang banyak, kalau hati tidak tenteram?

"Kiran, syabas!" Sergah satu suara dari kanan.

Kirana terkejut melihat Putera Rizal muncul di hadapannya dengan sebuah senyuman. Bagaimana boleh dia lupa akan baginda putera yang juga hadir sepanjang majlis tadi?

Baginda yang tidak melepaskan pandangan melihat dan mengagumi Kirana sepanjang Peraduan Bistari tadi. Hati baginda semakin berdegup kencang apabila berhadapan dengan seorang perempuan yang bukan saja bijak, tapi memiliki paras rupa yang menawan. Cantik luar dan dalam, itu mampu untuk menambat hati Putera Rizal.

"Tuanku, junjung kasih," balas Kirana sambil merapatkan kedua- dua tangan ke dahi.

"Sungguh, beta tidak menyangka begitu bijaknya fikiran kau. Beta sungguh kagum dan bangga dengan kebolehan kau. Syabas sekali lagi," tangan dihulur untuk menyampaikan ucapan tahniah.

Pada awalnya sedikit teragak- agak, namun akhirnya disambut juga. Getaran dirasakan apabila kedua- dua tangan bersatu agak lama.

"Tuanku, ramai orang sedang memerhatikan kita," Kirana meminta agar tangannya dilepaskan.

Lagenda Cinta Seribu Tahun (Bhg 1)Where stories live. Discover now